Khamis, 1 Ogos 2019 | 3:34pm
Sebahagian pengunjung berpeluang memberi gajah makan selepas menyaksikan persembahan gajah di Kenyir Elephant Conservation Village (KECV). - NSTP/Aswadi Alias

Bercanda dengan gajah liar

GAJAH memiliki sifat sensitif. Mudah merajuk dan hidupan liar yang kuat cemburu.

Apabila ‘mahut’ iaitu gelaran kepada pengembala gajah cuba mendekati gajah lain, gajah peliharaannya akan buat ‘perangai’ mengamuk dan menunjukkan aksi kurang senang.


Penulis (tiga dari kiri) bersama sebahagian pengamal media bergambar kenangan ketika melawat Kenyir Elephant Conservation Village (KECV) pada Program Ekspresi Kenyir, Ekspresi Media 2019 di Tasik Kenyir, Terengganu, baru-baru ini. - NSTP/Aswadi Alias

Itulah fakta yang tidak ramai tahu. Aksi hidupan liar ini boleh saksikan ketika berkunjung ke perkampungan gajah, Kenyir Elephant Conservation Village (KECV), iaitu pusat konservasi haiwan yang menjadi salah satu tarikan menarik untuk industri pelancong di Tasik Kenyir.

Dibuka pada 2012, KECV menempatkan 18 ekor gajah tempatan liar berusia antara lima hingga 46 tahun yang asalnya menceroboh kawasan kebun dan perkampungan.

Pusat konservasi itu diwujudkan bagi mengekalkan habitat gajah, namun pada masa sama memberi penjagaan yang baik.


Pengunjung KECV berpeluang bermandi bersama gajah. - NSTP/Aswadi Alias

Gajah berjiwa sensitif

Pegawai keselamatan KECV, Zulkifli Abd Rahman, berkata pusat konservasi ini menerima kunjungan antara 1,000 hingga 1,500 pelawat setahun dengan purata seramai 15,800 pengunjung, tahun lalu.

Kira-kira 20 peratus pelancong asing manakala selebihnya rakyat tempatan dan pada musim cuti sekolah lebih ramai pelajar datang melawat.

“Kebanyakan menganggap gajah adalah haiwan liar tetapi apabila dididik dengan betul, gajah antara binatang yang mudah jinak dan mesra manusia.


Salah satu daripada sembilan jambatan gantung yang menjadi laluan utama pengunjung di KECV. - NSTP/Aswadi Alias

Gajah akan mudah terasa dan cepat sedih apabila pengunjung yang bermesra akan meninggalkan mereka.

“Memandangkan gajah adalah haiwan yang sensitif, kita sering menasihatkan pengunjung tidak mempermainkan ketika memberi mereka makan kerana jiwanya sensitif, “ katanya ditemui ketika lawatan Ekspresi Media Kenyir 201, anjuran Tourism Malaysia, baru-baru ini.

Mahut faham sifat gajah

Di hutan simpan Hulu Telemong ini ada sembilan jambatan gantung sejauh 600 meter dengan ketinggian 13.8 meter, tampak tenang dengan bunyi unggas memecahkan suasana.

Di sini kita dapat lihat cara hidup gajah lebih dekat dan boleh memberinya makan dan mandi bersama gajah di sungai berdekatan.

Gajah diberi makan rumput jenis napier lima kali sehari. Haiwan ini tidak suka air dan keadaan panas, jadi perlu dimandikan lima kali sehari sebelum jam 6 petang.

Lebih menghiburkan, pengunjung berpeluang menonton aksi lucu gajah jinak mempamerkan kebijaksanaan ketika membuat persembahan istimewa selama setengah jam seperti cara ibu bapa gajah mencari makanan dan menidurkan anaknya.

Gajah ini dilatih oleh mahut dari Thailand dan Terengganu.

Hidup liar yang jinak

Mahut dikenali sebagai Farhan, berkata penjaga gajah perlu membiasakan diri mengangkat dan membersihkan najis selama tiga bulan untuk membina kemesraan antara mereka.

Tugasan ini mencabar dan memerlukan kesabaran tinggi supaya dapat menjinakkan supaya mendengar arahan.


Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Tourism Malaisia, Iskandar Mirza Mohd Yusof berpeluang mandikan gajah ketika melawat KECV. - NSTP/Aswadi Alias

Guru Sekolah Tabika Perpaduan Wakaf Baru, Kelantan, Nor Zayumie Che Azmi, 26, berkata pusat konservasi hidupan gajah tempat terbaik pelancong terutama kanak-kanak dan pelajar memahami cara hidup, mendekati dan bermain dengan haiwan ini. Ia adalah proses pendedahan awal untuk perkembangan minda.

INFO

Mengenai KECV:

* Dibuka pada 9 Mei 2014

* 9 jambatan gantung; 6 hentian; 5 menara

* Tinggi jambatan gantung : 13.8 meter

* Keluasan : 256 hektar

* Persembahan gajah dua kali sehari

* Gajah dipantau Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara Negeri (PERHILITAN).

* 3 tiga tan rumput untuk makanan gajah

Fakta mengenai gajah

* Boleh tidur berdiri

* Makan 200 jenis tumbuhan

* Gajah berjalan 100 km sehari, keluasan 169,000 meter persegi.

* Gajah dewasa makan antara 100 hingga 250 kilogram (kg) sehari

* Anak gajah makan antara 80 hingga 100 kg sehari

* Jangka hayat gajah antara 60 hingga 70 tahun

* Berat 1 tan

* Ketinggian 7 meter

Berita Harian X