Khamis, 1 Ogos 2019 | 5:29pm
TINJAUAN ke Lorong Haji Taib, Chow Kit. NSTP/Aswadi Alias.

Lorong Haji Taib kekal lubuk rezeki peniaga borong

Nama Jalan Belakang Mati, boleh dikatakan sesuai apabila kini dilihat sepi, tiada lagi dikunjungi orang ramai mencari keperluan harian berbeza dulu meriah.

Ramai generasi sekarang tidak tahu di mana letaknya Jalan Belakang Mati, namun jika disebut Lorong Haji Taib, di Kuala Lumpur ada yang akan tersenyum, malah membuat muka seolah tidak menyukai tempat berkenaan.

Lorong Haji Taib suatu masa lalu digelar kawasan hitam berikutan menjadi pusat aktiviti tidak bermoral seperti pelacuran, penagihan dadah dan gangsterisme.

Namun, sejak 10 tahun lalu, kawasan itu boleh dikatakan `bersih' meskipun tidak sepenuhnya. Lokasi itu mempunyai satu Jalan Haji Taib dan lima lorong iaitu Lorong Haji Taib 1 hingga 5 yang pada siangnya agak sibuk dengan aktiviti perniagaan dan dikelilingi ratusan kedai pemborong.


TAPAK kawasan hitam yang pernah menjadi tempat aktiviti tidak bermoral di Chow Kit. NSTP/Aswadi Alias.


LORONG Haji Taib yang kini menjadi tempat perniagaan dan dikelilingi ratusan kedai pemborong di Chow Kit. NSTP/Aswadi Alias.


TINJAUAN ke Lorong Haji Taib, Chow Kit. NSTP/Aswadi Alias.


SEBAHAGIAN peniaga yang menjual pelbagai barangan di Lorong Haji Taib, Chow Kit. NSTP/Aswadi Alias.


SUASANA lengang di Lorong Haji Taib, Chow Kit. NSTP/Aswadi Alias.

Kebanyakan peniaga di Lembah Klang mengambil barang di kawasan yang sesetengah menggelarnya `Mini Jakarta' dan mula beroperasi seawal jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Pelbagai barangan keperluan dapur, produk tekstil, permainan, wanita, beg, produk membuat kek didapati di situ dengan harga borong.

Jualan barangan terpakai

Bermula jam 4 petang kawasan itu berganti operasi dengan peniaga lain pula akan sibuk membuka khemah menjual barangan terpakai seperti pakaian, kasut, dan barangan kulit, jam, cincin serta gerai makan.

Peniaga, Armen Aminuzar, 45, berkata kawasan itu tidak lagi menjadi tumpuan ramai kerana beberapa faktor membuatkan tempat berkenaan hampir lumpuh.

“Kebanyakan peniaga sudah berniaga berpuluh tahun seperti di kawasan lain khususnya di Jalan Petaling Street dan Jalan Masjid India, namun dari segi keselesaan buat peniaga dan pengunjung di Lorong Haji Taib antara yang jauh ketinggalan.

"Perkara ini sudah berpuluh tahun diperjuangkan tetapi keputusannya sama. Pada asalnya tapak berniaga ini di Jalan Tunku Abdul Rahman dan ketika itu ramai pelanggan berkunjung.

“Selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan kami berpindah sementara ke lorong ini kerana mahu melakukan kerja pembinaan, peniaga hanya akur.

“Lebih 20 tahun kami berada di lorong ini tanpa diarahkan pulang ke tempat niaga asal. Tiada kemudahan asas, pengunjung kurang singgah ke lorong ini membeli barangan,” katanya.

Tiada kemudahan asas

Katanya, disebabkan tiada kemudahan asas yang memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung, tiada lagi pewaris yang hendak meneruskan perniagaan.

“Dulu di sini ada hampir 1,000 peniaga dan kini hanya tinggal kurang dari 500 kedai yang ada kalanya tidak sampai 100 kedai yang dibuka.

"Peniaga asal berniaga berpuluh tahun kebanyakan warga emas dan sebilangannya menyewakan pada warga asing. Kurang kemudahan asas seperti di Jalan Masjid India, jalan tidak rata. Keadaan lebih sulit jika hujan lebat, barangan jualan basah dan peniaga mengalami kerugian,” katanya.

Pengunjung Mohd Faudi Abd Razak, 45, berkata faktor psikologi yang sudah tertanam lama dalam mentaliti masyarakat antara sebab pembeli menjauhi tempat berkenaan.

Selain waktu malam ada pelbagai aktiviti seperti pelacuran, penagihan dadah dan gangsterisme. Orang ramai yang mahu membeli barang di sana khususnya waktu malam merasa takut lebih lagi yang membawa keluarga.

“Kawasan ini pun tidak 100 peratus bersih dengan aktiviti hitam. Sejak Balai Polis Chow Kit beroperasi lebih dua tahun lalu serta wakaf Surau An-Nur sentiasa melaungkan Azan dan nampak lebih selamat dan tenang,” katanya.

INFO

Lorong Haji Taib

* Nama diambil daripada seorang yang mula membuka perniagaan di sini Haji Mohamed Taib Haji Abdul Samad. berasal dari Batusangkar, Tanah Datar, Sumatera Barat Indonesia (1858-1925)

* Beliau memiliki lombong bijih timah, tanah kebun dan rumah serta kedai sekitar Jalan Melayu, Kuala Lumpur.

* Kenalan dekat dengan Sultan Abdul Samad

* Akhir abad ke-19, seorang daripada pedagang dan memiliki pusat pembangunan terkaya di Kampung Bharu.

* Haji Taib memiliki 10 anak, enam lelaki dan empat perempuan

575 dibaca
Berita Harian X