Ahad, 11 Ogos 2019 | 10:15am
REMAJA belasan tahun leka bermain tarikan dikenali Super Pinball. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Taman permainan lasak tertutup

GARA-GARA masa santai menikmati donut kegemaran terganggu dengan kerenah anak perempuan yang kerap memanggilnya melihat aktiviti di dalam taman permainan tertutup, akhirnya lelaki dari Finland, Taneli Sutinen muncul dengan idea membina sebuah taman permainan tertutup, SuperPark menggabungkan pelbagai tarikan.

Bersesuaian dengan definisi, all-in-one indoor activity park, SuperPark Malaysia menjadi pilihan semua lapisan usia, tanpa mengira tahap kecergasan apabila hampir ke semua tarikan yang ada, anda boleh layan.


TRAMPOLINE aktiviti sukan bagus untuk kesihatan kardiovaskular digemari kanak-kanak. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria


AKTIVITI dikenali Tube Slide umpama anda bermain di taman tema air. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Maknanya permainan digemari kanak-kanak, orang dewasa mahupun ibu bapa boleh main bersama, sekali gus mampu mempereratkan hubungan kekeluargaan.

Semua permainan atau tarikan di taman permainan tertutup ini, tidak menggunakan peralatan bermotor untuk menggerak atau menghidupkannya.

Justeru, terpulang kepada pengunjung bermain di situ, persekitaran bersih, tiada karbon dibebaskan.

Pelbagai tarikan menarik

Penulis berpendapat, gabungan semua permainan dan tarikan yang begitu banyak di bawah satu bumbung, tidak timbul rasa malu apabila permainan kita anggap khusus untuk budak atau kanak-kanak, orang dewasa juga boleh layan dan lebih penting ada sesetengah permainan itu mampu mengeluarkan penuh, membakar kalori, sangat bagus untuk kesihatan kardiovaskular.

Anak-anak pula sentiasa di bawah pengawasan ibu bapa, tempat permainan tertutup, tiada isu kanak-kanak hilang mahupun berdepan masalah cuaca seperti panas dan hujan.


PERMAINAN Pedal Car direka khusus untuk orang dewasa dan kanak-kanak. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria


MENDAKI tembok atau Super Climb menguji ketahanan fizikal individu berkenaan. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Bagi mereka yang membeli tiket kategori all day, pengunjung bebas keluar masuk ke taman permainan tertutup itu. Selepas berkunjung ke restoran dan membeli-belah, sambung aktiviti sihat di premis berkenaan.

Justeru, premis berkenaan sentiasa menjadi pilihan pelancong terutama Korea Selatan dan Asia Barat apabila tiba musim percutian mereka.

Pengunjung lazimnya membawa anak ke taman permainan itu, selain mengambil peluang membeli-belah di bangunan sama.

Eratkan hubungan

Pelajar, Wan Adrianna Melindde Iman, 15, dari Setiawangsa, Kuala Lumpur, berkata taman permainan tertutup itu mempunyai pelbagai tarikan untuk semua kategori usia di bawah satu bumbung, malah beliau berpeluang menikmati apa sahaja tarikan yang ada di sekeliling, malah premis berkenaan selamat, ibu bapa mampu memantau aktiviti mahupun pergerakan anak.


KANAK-KANAK seawal usia tiga tahun layan aktiviti Flying Fox. NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Bagi Siti Nuraisyah Zulkapli, 30, berasal dari Senawang, Negeri Sembilan yang mempunyai anak seawal usia tiga tahun, mengakui tarikan seperti Flying Fox memberi peluang beliau dan anaknya menikmati permainan berkenaan bersama-sama, sekali gus dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

FAKTA NOMBOR

-------------------

* 12, 121 meter persegi

keluasan SuperPark Malaysia

* 26 tarikan

jumlah permainan ditawarkan

* RM70

harga tiket dewasa & kanak-kanak

pada Sabtu/Ahad/cuti umum & cuti sekolah

(super day-all day)

INFO

------

* Aktiviti di taman tertutup yang tidak menggunakan sebarang peralatan bermotor ini merangkumi tiga tahap kecergasan pelbagai usia iaitu Adventure Area, Game Arena dan Freestyle Hall

* Terletak di aras empat, pusat beli-belah Avenue K, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, kedudukannya sangat strategik iaitu berhadapan Menara Berkembar PETRONAS (KLCC)

* SuperPark Malaysia beroperasi pada Disember 2018

146 dibaca
Berita Harian X