Ahad, 20 Oktober 2019 | 1:22pm
Peserta terpaksa mendongak mencari jawapan berdasarkan emblem yang dilekatkan di siling Astaka Tugu Negara. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Teroka Kuala Lumpur

TERPAKSA mendongak untuk mencari jawapan yang terlekat di atas siling sepanjang dua astaka di Kompleks Tugu Negara, antara yang paling mencabar ketika menyertai XTVT Race 2019 sekitar Kuala Lumpur. 

Peserta yang terdiri daripada 63 orang dengan 21 pasukan termasuk penulis yang mewakili BH, diberikan 10 logo atau emblem pelbagai bentuk dan perlu mencari nama serta negara pasukan berdasarkan logo diberikan. 

Bukan saja keliru kerana terdapat ratusan logo yang hampir sama yang terlekat di situ, perkataan yang tertulis juga sukar dibaca kerana kedudukannya yang tinggi dan kelihatan samar disebabkan silau cahaya matahari. 

Antaranya emblem berbentuk seakan lebah milik Royal Air Force Butterworth Station, kuda bersayap milik Burma Royal Air Force dan piramid milik Egypt SWG.

Paling melucukan apabila gelagat kami diperhatikan orang ramai terutama beberapa pelukis potret serta peniaga di situ yang mengakui, baharu menyedari kewujudan semua emblem berkenaan walaupun sudah sekian lama berada di situ. 

XTVT Race 2019 bertemakan ‘Menerokai Kuala Lumpur (KL) seperti orang tempatan’, dianjurkan sebuah majalah berkonsep percutian.  

Kesemua peserta dilepaskan dari pusat beli-belah Sunway Putra Mall tepat jam 8 pagi dan dibawa ke lokasi perlumbaan pertama di Taman Burung dengan menaiki bas Hop On Hop Off. 

Di atas bas, peserta perlu mengambil swafoto berlatar belakangkan bas berkenaan dan bersama pasukan lain sebagai salam perkenalan.


Peserta-peserta menaiki bas KL Hop-ON Hop-Off ketika menyertai XTVT Explorace sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Sebaik tiba di Taman Burung Kuala Lumpur, berdekatan Taman Tasik Perdana peserta perlu menyiapkan silang kata berkaitan nama burung yang terdapat di zon satu dan tiga, berdasarkan petunjuk diberikan. 

Peserta perlu banyak membaca setiap papan tanda berkaitan pelbagai spesis burung yang jarang didengari dan ditemui seperti enggang gatal birah (Anthracoceros malayanus), enggang mahkota, burung hantu Sampok Kubur dan Merbah Kapur. 

Paling sukar apabila peserta diminta mengambil swafoto bersama burung merpati dan burung merak yang langsung tidak begitu ‘mesra’ pengunjung.

Semuanya perlu disiapkan dalam tempoh satu jam sebelum peserta perlu bergegas berjalan kaki ke Tugu Negara yang terletak kira-kira 1.2 kilometer dari Taman Burung untuk mencari nama berdasarkan emblem yang diberikan.

Perlumbaan itu juga membawa peserta menerokai kawasan sekitar Pasar Seni dan Dataran Merdeka untuk berswafoto yang memberikan dua markah bagi setiap gambar yang di muat naik ke Instagram.

Peserta juga berpeluang mengenali lebih dekat peralatan muzik tradisional dan seni tarian di Muzium Muzik, Muzium Negara menerusi soalan dikemukakan. 

Lebih menarik, peserta diperkenalkan dengan permainan Orang Asli Jakun iaitu kerchang yang diperbuat daripada gelung rotan dan bertali.

Permainan itu memerlukan pemain mengeluarkan dan memasukkan kembali tali daripada gelung rotan tanpa memotong tali berkenaan dalam satu minit.

Ternyata permainan itu tidak semudah yang disangka dan tidak semua peserta berjaya mengeluarkan atau memasukkan kembali tali berkenaan. 

Tugasan seterusnya di Kompleks Kraf, Jalan Conlay memerlukan peserta membeli permainan batu Seremban berharga RM5 dan bermain dengannya, menganyam dua jenis ketupat iaitu ketupat sate dan bawang serta mewarna batik.


Peserta bermain congkak di Kraftangan Jalan Conlay. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Lokasi terakhir, peserta menuju ke kafe Franco di Sunway Putra Mall untuk menamatkan perlumbaan dengan meneka lima perisa daripada buah-buahan di dalam jus yang disediakan di situ. 

Perlumbaan XTXT Race berakhir pada jam 2.30 petang itu dimenangi pasukan Kumpulan The Bilis yang membawa pulang tiket penerbangan pergi balik ke Istanbul, Turki untuk tiga orang serta wang tunai RM1,000.

Kumpulan penulis berpuashati walaupun hanya terpilih sebagai Kumpulan Paling Gigih namun paling penting adalah berpeluang mengenali budaya dan keunikan yang tersembunyi di bandaraya ini.

Hadiah disampaikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Muhammad Bakhtiar Wan Chik.


Muhammad Bakhtiar (dua kanan) menyampaikan hadiah kepada Pemenang utama pada majis penyampaian hadiah ketika menyertai XTVT Explorace sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 di Muzium Negara, Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
Berita Harian X