X
Khamis, 12 Disember 2019 | 4:04pm
ROZALI Abdul Rani menunjukkan cara meniup tetuang.
ROZALI Abdul Rani menunjukkan cara meniup tetuang.

Tetuang, warisan Melayu yang semakin pupus

TEMERLOH: Menyedari tetuang, iaitu alat perhubungan Melayu dahulu semakin pupus, membuat Rozali Abdul Rani, 47, dari Taman Setia Jasa, dekat sini mengambil inisiatif memperkenal tetuang kepada generasi sekarang.

Katanya, tetuang diperbuat daripada tanduk yang boleh mengeluarkan bunyi dan gema melalui getaran udara yang dihasilkan dengan teknik tiupan dan digunakan untuk memanggil atau memberitahu pada masa dahulu.

Beliau yang berasal dari Kuala Mai, Kuala Krau membuat tetuang di bengkel di rumahnya sejak 1996, sebagai usaha untuk menghidupkan kembali alat komunikasi orang Melayu itu.

Beliau yang berkhidmat sebagai guru diSekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temerloh Jaya bukan sekadar mampu membuat alat berkenaan tetapi turut mahir meniupnya.

Katanya, walaupun nampak mudah untuk meniupnya, namun bukan sebarang orang boleh melakukannya kerana memerlukan kaedah getaran pada bibir.

“Saya mempelajari sendiri kaedah membuat tetuang itu hingga ia berhasil dan tidak meletakkan alat bantuan bagi mengeluarkan bunyi, sebaliknya menggunakan kaedah getaran bibir,” katanya.

Rozali berkata, ssepanjang tempoh lebih 20 tahun itu, beliau banyak menyertai program bagi memperkenal tetuang, selain membawanya ke mana pun beliau pergi.

Menurutnya, cabaran untuk membuat tetuang ialah mendapatkan tanduk kerbau kerana haiwan itu kebiasaan disembelih pada musim perayaan sahaja.

Beliau akan menyertai proses menyembelih dan biasanya bahagian kepala akan dibuang hingga beliau meminta supaya bahagian kepala kerbau diberikan kepadanya.

Razali juga tiada masalah untuk menguruskan kepala kerbau kerana bapanya seorang penggembala kerbau dan beliau sudah biasa dengan haiwan ternakan itu.

“Pada masa dahulu tetuang ini tidak dimiliki oleh sebarangan orang. Biasanya tetuang ini akan dipegang oleh ketua kampung, penghulu atau pun orang-orang yang dipertanggungjawab.

“Sekiranya tetuang ini dimiliki oleh orang ramai, ia tidak boleh dijadikan sebagai semboyan, takut nanti bila semua orang tiup, kita tidak tahu jika tiupan itu menandakan huru-hara, malapetaka ataupun musibah yang melanda,” katanya.

Razali berkata, pada masa dahulu tetuang ini amat bermakna kerana ketika itu tidak ada alat komunikasi yang boleh menghubungkan dari satu tempat ke tempat yang lain.

Katanya, beliau berharaplah warisan bangsa ini tidak dilupakan oleh generasi masa kini, dan boleh digunakan sekarang bak kata pepatah, tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.

Beliau berkata, harga bagi satu tetuang bermula dengan RM80.00 bergantung pada saiz dan boleh mencecah ratusan atau ribuan ringgit.

Katanya, anakala tetuang yang diperbuat daripada tanduk kerbau balau lebih mahal kerana sukar untuk diperoleh.

Beliau turut membuat tetuang daripada tanduk lembu, namun saiznya lebih kecil.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X