Rabu, 20 Mei 2020 | 12:24pm

Chenang jadi 'pantai mati'

LANGKAWI: Lengang dan sunyi. Itu keadaan yang dialami Pantai Chenang, di Langkawi ketika ini tanpa kehadiran pengunjung tempatan atau luar negara yang selalunya hadir sepanjang tahun.

`

Tinjauan hampir satu jam di kawasan itu, semalam mendapati pesisir pantai yang sebelum ini riuh dengan suara pelancong melakukan riadah, kini berubah umpama 'pantai mati'.

Keadaan itu menunjukkan orang ramai, khususnya pelancong mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir 9 Jun ini.

Pekerja syarikat pembersihan Environment Idaman (E-idaman) yang hanya mahu dikenali sebagai Ina berkata, keadaan lengang itu berlaku sejak 18 Mac lalu.

"Sebelum ini sepanjang pantai ini mula dikunjungi pelancong seawal jam 7 pagi untuk berjoging dan bersiar-siar ringan bersama keluarga.

"Ketika menjelang tengah hari, ramai pelancong akan berjemur di bawah matahari, tetapi sekarang sudah tiada," katanya ketika ditemui di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi, Zainudin Kadir mengakui keadaan itu membawa mimpi buruk kepada penggiat pelancongan.

"Semua pengusaha dan operator aktiviti sukan air di sepanjang pantai itu kini terputus mata pencarian dan usaha menyelamatkan mereka perlu disegerakan," katanya ketika dihubungi.

PANTAI Chenang lokasi wajib singgah di Langkawi sunyi sepi. Foto/BERNAMA
PANTAI Chenang lokasi wajib singgah di Langkawi sunyi sepi. Foto/BERNAMA
Berita Harian X