Ahad, 14 Oktober 2018 | 4:15pm
HAMPIR 100 hidangan masakan Cina halal seperti ditawarkan untuk memikat selera pelanggan.- Foto Ihsan
Sup ketam sirip ikan yu antara yang digemari pelanggan. Foto Ihsan

Masakan halal untuk pelbagai kaum

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar

[email protected]

Sajian masyarakat Cina yang ringkas menggunakan bahan segar ternyata cukup menyelerakan, pastinya menambat hati penggemarnya.

Keenakan menu berasaskan masakan Cina, sudah tidak asing lagi bagi 'lidah' masyarakat Melayu. Justeru, tidak hairan jika ada yang sanggup datang dari jauh semata-mata mahu memenuhi selera mereka.

Bagi memenuhi sajian semua kaum, Restoran Chinese Muslim Abdullah tampil memperkenalkan masakan Kantonis halal bertepatan selera masyarakat setempat.

Pengarah Urusannya, Muhammad Aiman Loh, berkata sebagai saudara baru, beliau faham kesukaran mencari hidangan Cina yang memenuhi konsep syariah sepenuhnya.

Katanya, restoran dikendalikan memberi tumpuan khusus kepada status halal bermula dengan bekalan barang mentah, urusan logistik dan kebersihan dalam penyajian makanan begitu penting.

"Selain penggunaan bahan masakan disahkan kesuciannya, kaedah pengendaliannya juga perlu bersih dan sempurna.

“Sungguhpun sukar, namun restoran ini menyajikan masakan Kantonis enak persis masakan terkemuka di Hong Kong," katanya pada majlis pelancaran restoran itu, di Meru, Ipoh, baru-baru ini.

Muhammad Aiman berkata, hampir 100 hidangan fusion ala Kantonis ditawarkan bagi memenuhi cita rasa pelanggan.


ANTARA menu ditampilkan memenuhi selera pelanggan yang inginkan kelainan cita rasa.- Foto NSTP/EMEL

Beliau berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kulinari ini, berkata beliau memantau setiap sajian dihidangkan.

“Hidangan disaji kepada pelanggan tidak menggunakan pes atau sos segera, sebaliknya diadun sendiri bagi memastikan status halal terjamin.

“Semua hidangan dipelbagaikan dengan kaedah masakan yang dipilih pelanggan,” katanya.


Kelazatan sajian berasakan masakan Cina sudah tidak asing lagi pada masyarakat berbilang bangsa di negara ini. Foto Ihsan

Menu disediakan daripada pilihan ayam, ikan, sotong, udang, ketam, abalone, udang lipan, kupang, sayur-sayuran, tauhu, nasi dan mi.

"Antara hidangan signatur perlu dicuba pelanggan adalah krim labu mentega dan sotong atau udang ribut yang juga resipi turun-temurun keluarga hanya boleh didapati di restoran ini.

"Hidangan lain seperti mentega udang lipan, siakap asam pedas, ayam asap uncang teh, “seafood claypot” memberikan kelainan pada cita rasa," katanya.

Muhammad Aiman berkata, harga dari RM7 sehingga RM70 dan tawaran harga berpatutan untuk hidangan ala Cina.

“Saya jamin harga makanan di sini berdaya saing dan tidak membebankan pelanggan,” katanya.


MUHAMMAD Aiman

Info

Waktu operasi

* Beroperasi setiap hari, kecuali Khamis

* Dibuka jam 4.30 petang sehingga 12 tengah malam

* Lokasi : Jalan Meru Bestari A14, Bandar Meru Raya.Ipoh, Perak

* Berkonsepkan Cina fusion

Berita Harian X