Isnin, 12 November 2018 | 3:07pm
NOR Harlizam (kanan) bersama rakannya menunjukkan 'ubi tonyoh' yang mendapat sambutan menggalakkan di Kampung Bunut Sarang, Tumpat. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

'Ubi tonyoh' laris musim tengkujuh

TUMPAT: Selain putu halba, satu lagi juadah, ubi kayu parut yang lebih dikenali sebagai ‘ubi tonyoh’ kini laris dijual di negeri ini, pada musim tengkujuh.

Menu ringkas yang hanya menggunakan ubi kayu, kelapa muda parut serta sedikit gula dan garam itu boleh dilihat banyak dijual di gerai di tepi jalan.

Penjual, Nor Harlizam Mamat, 34, berkata menu itu dijualnya dengan harga RM3 sebekas di gerainya di Kampung Bunut Sarang sejak seminggu lalu dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

“Setiap hari, saya menggunakan antara 30 hingga 40 kilogram ubi kayu yang dibeli daripada peraih untuk menghasilkan ‘ubi tonyoh’.

“Biasanya peniaga menggunakan ubi kayu berwarna kuning berbanding putih bagi membangkitkan selera dan menampakkan juadah itu cantik,” katanya ketika ditemui di gerainya di sini.

Nor Harlizam berkata, proses menghasilkan `ubi tonyoh’ adalah ringkas dan jika sukar sekalipun ia hanyalah proses memarut ubi kayu berkenaan.


'UBI tonyoh' hanya menggunakan ubi kayu, kelapa muda parut serta sedikit gula dan garam. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Bagaimanapun, katanya, suaminya, Wan Zahari Wan Othman, 50, sedia membantunya dalam kerja memarut ubi berkenaan.

“Selepas diparut secara manual menggunakan alat pemarut, ubi kayu akan direndam seketika sebelum dikukus kira-kira 20 minit.

“Ia kemudian sedia untuk dihidangkan bersama kelapa muda parut yang digaul dengan gula serta sedikit garam dan dilapik di atas daun pisang.

“Pelanggan saya terdiri daripada peringkat usia pertengahan dan semakin lebat hujan, semakin ramai yang datang membeli ubi ini,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 100 hingga 150 bekas dijual setiap hari, bermula jam 10 pagi hingga jam 5 petang.

Katanya, khidmat penghantaran juga disediakan di sekitar Tumpat dan Kota Bharu berikutan permintaan ke atas juadah itu semakin meningkat.

Sehingga kini, katanya, tiga ejen sudah dilantik bagi menjual menu musim tengkujuh itu.

Berita Harian X