Sabtu, 2 March 2019 | 11:27am

Menu sihat, rasa lazat

MENCUBA makanannya, segala-galanya cukup rasa seperti cogan kata Restoran Mama Kim Sauna Mee, where healthy is yummy, sekali gus mengetepikan tanggapan kebanyakan orang sajian sihat tidak menyelerakan.

Buktinya, hidangan tetap lazat tanpa monosodium glutamate (MSG), gula, tepung putih atau perisa tambahan, tetapi sebaliknya menggunakan sumber beras dan gula perang, garam bukit memperlihatkan cara penyediaan makanan berkhasiat.

Meskipun berkonsepkan makanan sihat, restoran yang terletak di Sri Hartamas, Petaling Jaya ini adalah kesinambungan konsep dua dalam satu dengan tema Jaga Pemakanan dan Jaga Penampilan yang ditawarkan HerbaLine Facial Spa.

Jadi kebanyakan menunya bercirikan masakan kukus, panggang dan rebus tetapi menyediakan makanan Barat, ala-cart yang sihat dengan mempunyai lima warna sihat terutama sayur-sayuran hijau, makanan segar cukup membangkitkan selera.

Sajian sauna cukup mengenyangkan. Mi dibuat sendiri, rasanya enak dihirup bersama kuah sup panas, penuh dengan pelbagai sayuran, jagung, cendawan dan isi ikan, menjadikan ia menu kesukaan pelanggan.

Meskipun selera masakan yang diketengahkan berkonsepkan makanan Cina, hidangan seperti nasi goreng cendawan liar dan chicken chop tidak mengecewakan terutama bagi penggemar makanan pedas.

Dengan menyajikan hidangan sihat dan memenuhi keperluan diet seimbang apatah lagi makanan berasaskan bahan segar, rempah ratus buatan sendiri demi memberikan rencah rasa asli, enak tanpa penggunaan garam berlebihan seperti kelaziman masakan.

Restoran ini diasaskan wanita Cina bernama Liu Kim Hwa yang mahir dalam kulinari dan masakan.

Beliau juga mesra disapa dengan panggilan Mama oleh kakitangan, hinggalah nama Mama Kim menjadi nama restorannya.

Ketika menemubual pengurus cawangan di restoran berkenaan, katanya, restoran mereka mempunyai banyak ketuhar bersaiz besar membolehkan ia dipanaskan hingga suhu 300 darjah Celsius.

Dengan bantuan ketuhar itu sup untuk mi sauna sentiasa menggelegak, enak dengan timbunan sayuran hijau, lobak merah, kubis Cina, rebusan tulang ayam, cendawan Jepun dengan hirisan ikan atau berasaskan sayuran bagi Vegeterian.

Hidangan enak seperti menyediakan sendiri di rumah, melengkapkan gizi seimbang apabila pilihan sajiannya dari beras perang, labu membuatkan nilai per kalori lebih rendah berbanding sajian biasa.

Tidak hanya kepelbagaian menu sihat, minuman istimewa juga baik untuk sistem detoks tubuh terutama minuman berasaskan serai, epal hijau dan buah-buahan lain sebagai minuman teh panasnya.

Info

* Konsep lima warna khasiat - Percaya gabungan lima warna membantu menyeimbangkan diet dan pemakanan sihat.

* Tiada warna putih - menggantikan gula, tepung dan beras putih kepada warna perang, bagi membentuk pemakanan yang sihat.

* Peraturan 80 / 20 - 80 peratus adalah sayur-sayuran, 20 lagi adalah daging membuatkan diet sempurna.

* Garam mineral laut - membasuh dan merendam sayur-sayuran dan buah-buahan dengan garam ini untuk menghapuskan racun kimia.

Berita Harian X