Sabtu, 20 April 2019 | 10:00am
PENGARAH Serai Group, Najib Hamid dan Ketua Eksekutif Kumpulan Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan MAS, Lau Yin May hadir pada majlis pengumuman itu di Restoran Serai, Pavillion Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Nik Hariff Hassan

Nikmati sajian di Serai, raih ganjaran Enrich

Pelanggan rangkaian restoran makanan dan minuman di bawah syarikat Serai Group, khususnya pemegang kad keahlian Enrich, Malaysia Airlines (MAS) berpeluang mengumpul mata ganjaran berganda dengan menikmati setiap juadah yang dipesan.

Pemberian ganjaran dua kali ganda diperoleh di semua cawangan restoran Serai di seluruh negara termasuk cawangan Jibby & Co, Jibby East dan Jibby Chow.

Pengarah Serai Group, Najib Hamid, mengakui pihaknya berbesar hati menjadi antara syarikat berasaskan makanan dan minuman pertama di negara ini menjalinkan kerjasama menerusi program Enrich.

Beliau berkata, sudah tentu peluang menikmati juadah sekali gus menambah mata ganjaran Enrich tidak akan diperoleh di mana-mana kerana ini adalah pengiktirafan pertama diberi MAS Enrich kepada kami.

“Ini sejajar dengan visi mengembangkan Kumpulan Serai dan menawarkan mata dan ganjaran kepada ahli kelab Enrich untuk terbang bersama MAS.

“Bermula 19 April hingga 31 Mei, Enrich dan Serai menawarkan hadiah RM1,000 berupa pakej makanan apabila mereka menyertai pertandingan Party of 10. Peserta dikehendaki makan di mana-mana restoran dan cawangan Serai dengan minimum bil RM50 seterusnya layak menyertai kempen pertandingan ini. Seramai enam pemenang dipilih setiap minggu,” katanya pada majlis pengumuman itu di Restoran Serai, Pavillion Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Datuk Hazimah Zainudin dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar Pelancongan dan Hal Ehwal Antarabangsa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd Daud Mohd Arif.

Sementara itu, program Kesetiaan MAS Enrich di teruskan lagi pada tahun ini dengan menawarkan lebih banyak mata ganjaran boleh diperoleh kepada ahlinya selepas menjalinkan kerjasama dengan Serai Group.

Ketua Eksekutif Kumpulan Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan MAS, Lau Yin May, berkata Serai adalah syarikat berasaskan makanan dan minuman pilihan tepat dalam menjalin kerjasama memandangkan kedua-duanya mewakili jenama Malaysia.

Makanan tempatan antara faktor menyatukan hubungan kerjasama ini sekali gus menggalakkan ahli Enrich menyokong jenama Malaysia. Maklumat lanjut boleh layari www.malaysiaairline.com/enrich.

250 dibaca
Berita Harian X