Sabtu, 1 Jun 2019 | 8:34am
NASI Ayam Paris hasil air tangan Nurazimah. - Foto Instagram Nasi Ayam Paris

Nasi Ayam Paris tambat selera, popularkan Malaysia

KUALA LUMPUR: Cukup dikenali dalam kalangan warga Malaysia melalui Nasi Ayam Paris hasil air tangannya, Nurazimah Mohd Karim, 43, mengakui peringkat awal perniagaannya amat mencabar sehingga mampu memiliki pelanggan tetapnya hingga kini.

Berasal dari ibu negara, Nurazimah bertemu jodoh dengan suaminya, Nicolas Moulin, warga Perancis dan mereka dikurniakan empat cahaya mata berusia antara setahun hingga 17 tahun.

Beliau yang menetap di Perancis sejak 2001 mengakui keputusan itu bukan suatu perkara mudah, malah sama sekali tidak menyangka bertemu jodoh dengan ‘Mat Salleh’.


KELUARGA Instafamous dari Parancis, Nurazimah Karim bersama suaminya warga Perancis, Nicolas Moulin meluang masa bersama anak anaknya. NSTP/Hazreen Mohamad

“Pernah saya tanya arwah ibu bagaimana jika saya berkahwin dengan ‘Orang Putih’. Namun, arwah seolah-olah tidak percaya memandangkan ketika itu saya mempunyai teman lelaki berbangsa Melayu.

“Masa berlalu, tidak sangka saya betul-betul kahwin dengan ‘Mat Salleh’. Sudah 18 tahun kami mendirikan rumahtangga. Kenal pun sebab suami saya tersalah orang untuk bertanya mengenai pembekal cakera padat murah di Malaysia,” katanya.

Ibu kepada Adam Daniel, Ida Aili, Jade Nur dan Anna Syifa itu mengakui ketika baru menjejakkan kaki ke negara Eropah itu, beliau agak kekok dengan kehidupan dan budaya, namun lama-kelamaan dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran Perancis.

“Amat mencabar membesarkan anak-anak dengan pertembungan dua budaya, saya besarkan mereka tanpa melupakan sedikit pun tentang nilai dan budaya Melayu terutama bahasa ibunda,” katanya yang popular di laman sosial Instagram menggunakan nama @light.km.

Berkongsi kisah perniagaan nasi ayam di kota fesyen itu, Nurazimah berkata ia bermula ketika perniagaan suaminya, Nicolas Moulin terjejas sekitar 2013 sehingga menyebabkan keadaan ekonomi keluarga tidak begitu stabil.

“Untuk permulaan, saya hanya menyediakan nasi ayam untuk tetamu di rumah inap kami sahaja. Tidak sangka dapat sambutan apabila tetamu berkongsi di laman sosial sehingga tercetus idea pada Disember 2016, saya mula buat penghantaran nasi ayam,” katanya.

Beliau turut mengusahakan pakej percutian, termasuk perkhidmatan pengangkutan dan rumah inap bersama suami tercinta di kota fesyen itu.

Menurut Nurazimah, perniagaan nasi ayam pada tahun pertama agak mencabar memandangkan beliau bukan orang tempatan malah agak sukar untuk mendapatkan bahan mentah, namun laman sosial seperti Facebook dan Instagram menjadi saluran mempromosikan nasi ayam resepi tersendiri itu.

“Bisnes ini saya usahakan untuk memudahkan pelancong yang datang ke Perancis, lebih-lebih lagi mereka yang beragama Islam. Selain promosi melalui media sosial, saya juga tidak segan untuk mengedarkan kad perniagaan sekiranya bertemu pelancong dari Asia,” katanya.

Beliau berkata nasi ayam yang dijual pada harga 10 Euro (RM46) sebungkus itu bukan sahaja digemari pelancong Malaysia malah dari London, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Mengenai proses penyediaan nasi ayam, Nurazimah berkata bahan-bahan bagi menyediakan nasi ayam mudah diperoleh walaupun beliau perlu memandu selama 40 minit dari kediaman yang terletak di Drevail City ke ibu kota Perancis.

“Sesuai dengan nama Nasi Ayam Paris, bahan diperlukan dibeli di kedai Asia di sini, kecuali nasi lemak ayam goreng berempah. Ia memerlukan ikan bilis yang saya perlu import dari Malaysia sebab di sini ia sukar diperoleh,” katanya sambil memberitahu bahawa tempahan nasi ayam dan nasi lemak boleh dibuat menerusi link WhatsApp yang tertera di Instagram @nasiayamparis miliknya.

Ditanya mengenai perancangan perniagaan, bekas pekerja bank itu berhasrat mengembangkan perniagaan rumah inap dan perkhidmatan pengangkutan, selain memiliki restoran bagi memudahkan pelancong dan mereka yang bekerja di Perancis mendapatkan makanan halal.

“Saya menyimpan impian mahu membukan Restoran Nasi Ayam Paris di Malaysia suatu hari nanti,” katanya. - BERNAMA

1318 dibaca
Berita Harian X