Ahad, 9 Jun 2019 | 7:39pm
PELBAGAI sajian istimewa yang menjadi pilihan pengunjung.. NSTP/Zubir Mohd Yunus

Pisang goreng keju

SEKIRANYA bercuti ke Langkawi, Kedah, selain laksa dan rojak, menu wajib patut dicuba ialah pisang goreng keju air tangan, pemilik premis Santai @ Kuza & Luke Cafe atau ringkasnya Santai Cafe terletak di Jalan Pantai Kok, Ku Adzhar Ku Abdul Aziz atau Kuza, 44.

Pisang goreng keju dihasilkan Kuza begitu digemari sehingga menjadi sebutan dalam kalangan pengunjung domestik terutama sekitar Kedah dan Pulau Pinang gara-gara kelazatan dan kerangupan hidangan berkenaan.

PISANG goreng keju menu wajib cuba.. NSTP/Zubir Mohd Yunus

Malah, pelancong asing bertandang di sekitar Pantai Kok, kali pertama menikmati hidangan berkenaan, mereka pasti datang semula ke kafe sama.

Perkara ini diakui Kuza yang baharu mengusahakan premis makanan itu lima tahun lalu.

Beliau berkata, mewarisi resipi pisang goreng keju daripada ibunya yang pernah berniaga pisang goreng di tepi jalan selama enam tahun.

“Apabila saya mengambil alih perniagaan pisang goreng daripada ibu dan membuka kafe, saya hanya menambah baik cara penyediaan sajian berkenaan dengan menambah keju, selain menggunakan tepung istimewa.

“Menariknya, walaupun keju semakin mencair, tapi pisang goreng masih kekal rangup, tidak lembik. Saya menggunakan resipi asli apabila adunan tepung itu masih mengekalkan air tangan ibu,” katanya.

Beliau berkata, pengunjung yang bertandang ke Langkawi, wajib cuba pisang goreng keju sajian istimewanya dan nilai sendiri kelazatan serta keistimewaannya.

Premis makanannya terletak di laluan utama ke destinasi pelancongan popular sekitar Pantai Kok, justeru kehadiran pengunjung asing sangat menggalakkan, selain penduduk tempatan.

Sajian lain yang turut menjadi pilihan ialah siakap asam pedas yang menggunakan kombinasi resipi baba nyonya Melaka dan Johor.

Justeru, gulainya tidak terlalu pekat dan pedas, sekali gus memenuhi selera ramai.

“Kami menggunakan rempah-ratus tempatan untuk menaikkan aroma asam pedas itu. Sebagai memenuhi selera pelancong asing, kami turut menyediakan masakan Barat. Konsep kami, fusion Asia dan Barat, justeru cita rasa pelanggan Melayu atau Mat Salih, pasti dipenuhi,” katanya.

Berita Harian X