Selasa, 18 Jun 2019 | 9:10am
MOHD Faizal bersama sajian utama Ibrahim’s Fatty Crab yang menjadi pilihan ramai.
RESTORAN Ibrahim's Fatty Crab. - Foto Zunnur Al Shafiq
ANTARA sajian pilihan ramai resipi istimewa Mohd Faizal Fadzil di Ibrahim's Fatty Crab, Ampang Avenue. - Foto Zunnur Al Shafiq

Ketam nipah Clarke Quay kini di Ampang

SEKIRANYA berhasrat menikmati hidangan makanan laut, ketam masak cili Singapura atau lebih dikenali Singapore's chili crab dalam kalangan pelancong, anda perlu membayar sekurang-kurangnya RM250 seekor ketam nipah bersaiz sederhana atau XXL.

Sajian istimewa pengunjung ke deretan restoran mewah di kawasan kejiranan elit, Clarke Quay di tebing Sungai Singapura itu memang terkenal dengan sajian istimewa berkenaan.

Rasanya memang enak, tetapi pelanggan jangan merungut walaupun harganya mahal untuk seekor ketam yang disajikan. Namun, kini anda boleh nikmati sajian sama pada harga lebih murah di Restoran Makanan Laut Ibrahim’s Fatty Crab terletak di Ampang, Selangor.

Restoran berkenaan menyediakan semua hidangan 100 peratus halal boleh dinikmati tanpa was-was. Lebih penting, harganya berpatutan apabila sepinggan dua ekor ketam nipah masak cili Singapura bersaiz sederhana atau XXL harganya cuma RM180 sahaja. Bagi penulis, harga jatuh nombor dua kerana paling utama keenakan sajian berkenaan.

Ternyata, kelazatan ketam masak cili Singapura resipi Mohd Faizal Fadzil, 36, setanding Singapore's chili crab di Clarke Quay.

Ketam dari Indonesia

Ramai orang Melayu suka makanan laut, tetapi pilihan mereka terhad. Justeru, beliau membuka restoran makanan laut untuk memberi lebih pilihan kepada penggemarnya menikmati sajian kegemaran mereka tanpa rasa was-was.

“Tambahan pula, harga yang kami tawarkan berpatutan, semua orang mampu makan ketam masak cili Singapura di sini. Kami menggunakan ketam nipah diimport dari Indonesia bersaiz XXL dan XXXL.


RESTORAN Ibrahim's Fatty Crab menyajikan sajian makanan laut. - Foto Zunnur Al Shafiq

“Saya belajar resipi ketam masak cili Singapura daripada cef yang pernah bertugas di beberapa restoran makanan laut di republik itu, kemudian saya ubah suai resipi berkenaan dengan selera orang kita dengan campuran rasa pedas dan taucu.

“Alhamdulillah, resipi ketam masak cili Singapura, sajian restoran kami mendapat perhatian bukan sahaja dalam kalangan penggemar Melayu, sebaliknya pelanggan Cina dan India termasuk pelancong asing terutama dari China dan Korea turut menggemarinya.

“Kedudukan restoran pula strategik dikelilingi pusat komersial dan kawasan perumahan,” katanya lagi.

Selain pelbagai masakan ketam, pelanggan juga boleh menikmati tiram segar bersaiz XXXL yang diimport dari Amerika Syarikat. Hidangan segar tiram ini dimakan mentah dicampur sos istimewa yang disediakan Faizal, menampilkan rasa lazat. Begitu juga ikan siakap masak stim limau yang ditambah baik resipinya, memberi cita rasa yang tak mampu anda lupakan.

Fakta Nombor

* RM268

Sepinggan dua ekor ketam nipah

saiz XXXL (masak cili Singapura)

* 40 ekor

Ketam nipah disediakan sehari pada waktu puncak

* 100

pelanggan sehari

pada hujung minggu

INFO

* Alamat: Ibrahim's Fatty Crab, No 18, Jalan Avenue 1, Avenue Ampang, Selangor

* Dibuka setiap hari kecuali Isnin, mulai jam 3 petang hingga 11.30 malam (Sabtu & Ahad),

manakala 5 petang hingga 12.30 tengah malam (Selasa hingga Jumaat)

* Memilih moto: The Best Halal Chinese Seafood Restaurant, sajiannya 100 peratus halal

1580 dibaca
Berita Harian X