Isnin, 8 Julai 2019 | 11:43am
Pelbagai sajian makanan laut premium yang terdapat di Ombak Kitchen, Lucky Garden, Bangsar. - Foto Salhani Ibrahim

Sajian ketam raja Alaska @ Ombak Kitchen

INGIN menikmati sajian makanan laut premium dengan harga berpatutan, puas dan paling penting, lazat, berkunjung sahaja ke restoran Ombak Kitchen yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur.

Anda pasti puas menikmati sajian istimewa, ketam Raja Alaska saiz XXL yang manis semula jadi apabila ia hanya direbus dalam air rebusan istimewa dan bukannya digoreng.

Pemilik restoran, Sharita Loo, berkata boleh dikatakan hampir semua menu disajikan di premis makanannya tidak digoreng, sebaliknya hanya direbus atau dikukus untuk mengekalkan rasa makanan laut asli atau juicy, sekali gus memenuhi permintaan pelanggan supaya hidangan berkenaan segar.

“Menu istimewa kami tentunya ketam Raja Raja Alaska dibawa terus dari Amerika Syarikat (AS) secara segar, bukan sejuk beku.

Sharita Loo bersama ketam Raja Alaska yang direbus dalam air rebusan istimewa. - Foto Salhani Ibrahim

“Ketam bersaiz XXL itu akan direbus dalam air rebusan istimewa untuk mengekalkan keaslian rasa manis isinya. Hanya menu tiram rangup berkeju sahaja yang digoreng, sajian lain semuanya direbus atau dikukus.

“Kami hanya menggunakan tiram dari AS yang disalut serbuk roti dan keju. Apabila digoreng, ia rangup di luar dan lembut di dalam, namun rasa berjus tetap ada,” katanya.

Aduan dibakar

Penulis pula menggemari sajian udang kara Boston Thermidor yang diadun dengan keju, krim dan herba terpilih. Apabila menikmatinya, isi udang kara berkenaan bersama keju dan krim, akan cair di dalam mulut. Keenakan sajian berkenaan pasti terserlah apabila semua adunannya dibakar bersama.

Pencuci mulut istimewa dikenali rainbow desert kerap menjadi pilihan pengunjung. - Foto Salhani Ibrahim

Begitu juga dengan udang kara merah Kanada, juga direbus dalam air rebusan dicampur rempah-ratus diimport dari Barat.

Sharita berkata, dalam sajian masakannya, mereka tidak menggunakan rempah-ratus tempatan, sebaliknya 100 peratus ramuannya diimport.

FAKTA NOMBOR

  • RM300 - Harga seekor ketam Raja Alaska saiz XXL
  • 20 ekor - Udang kara Boston terjual sehari pada hujung minggu
  • 250 orang - Anggaran pelanggan sehari
  • Udang kara Boston Thermidor. - Foto Salhani Ibrahim

    Tiram rangup berkeju. - Foto Salhani Ibrahim

    INFO

  • Alamat: No 12, Lorong Ara Kiri 2, Lucky Garden, Bangsar, Kuala Lumpur
  • Operasi : Dibuka setiap hari mulai jam 5 petang - 11 malam
  • 12 tengah hari - 11.45 malam pada hujung minggu
  • Menampilkan moto: Pakai tangan jer
  • Berita Harian X