Ahad, 14 Julai 2019 | 11:00am
Antara menu hidangan yang terdapat di restoran Mee Udang Mak Jah, Kuala Sepetang, Perak pada program Kembara Media Perak 2019. - Foto Azhar Ramli

Mi Udang Mak Jah ikon Kuala Sepetang

Kuala Sepetang, Perak nama yang cukup sinonim dengan lokasi bagi masyarakat setempat mahupun pelancong luar untuk minum petang.

Namanya saja sudah cukup memberi identiti kepada menu masakan popular mi udang terkenal dalam kalangan masyarakat setempat mahupun pengunjung.

Sesiapa yang bertandang ke Kuala Sepetang, tidak lengkap perjalanan andainya tidak singgah untuk minum petang sambil menikmati keenakan mi undang.

Destinasi yang popular dengan mi udang khususnya restoran Mee Udang Mak Jah, tidak putus dikunjungi peminat makanan laut. Restorannya terletak di kiri jalan dengan jarak dua kilometer dari pekan Kuala Sepetang.

Dibuka pada jam 12 tengah hari hingga 10 malam setiap hari kecuali Rabu, mi udang antara menu utama disajikan kepada pelanggan.

Pengusahanya, Idris Sidan, berkata perniagaan keluarga yang diwarisi enam beradik itu sentiasa dikunjungi pelanggan baik dalam mahupun luar negara.

Pengusaha Restoran Mee Udang Mak Jah, Idris Sidan, 52, bersama menu hidangan yang terdapat di restoran Mee Udang Mak Jah, Kuala Sepetang, Perak pada program Kembara Media Perak 2019. - Foto Azhar Ramli

Beliau berkata, masa operasi dilanjutkan terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah.

“Mi udang asalnya diusaha oleh arwah mak (Tijah Yusuf) 10 tahun lalu. Selain arwah mak mengusahakan perniagaan ini, lokasi Kuala Sepetang memang terkenal dengan menu mi udang sejak dulu.

"Mungkin air tangan arwah mak membuatkan hidangan lebih istimewa sehingga ramai pelanggan mencari restoran Mee Udang Mak Jah sampai hari ini," katanya.

Menurut Idris, selain kuahnya istimewa, udang menjadi bahan utama dipilih segar bagi mengekalkan rasa seperti petua diperturunkan arwah mak.

“Saya memilih udang dari saiz L yang segar dan diambil setiap pagi dari kuala. Selain mi udang, pelbagai menu lain berasaskan udang disediakan iaitu udang celup tepung, kue teow udang, nasi goreng udang dan bihun goreng udang,” katanya kini mewarisi perniagaan bersama adik-beradik daripada pengurusan hingga menjadi tukang masak.

Antara menu hidangan yang terdapat di restoran Mee Udang Mak Jah, Kuala Sepetang, Perak pada program Kembara Media Perak 2019. - Foto Azhar Ramli

Info:

  • Restoran memuatkan 200 pelanggan dalam satu masa.
  • Memerlukan 50 kilogram (kg) udang setiap hari berbanding 100 kg pada Sabtu, Ahad dan musim cuti sekolah.
  • Mi udang biasa RM10.50 dan mi udang istimewa RM13.80.
  • Berita Harian X