Ahad, 4 Ogos 2019 | 5:45pm
Pemilik Faroz Cafe, Puan Sri Faridah Idris bersama hidangan istimewa yang disediakan di restorannya di Taman Tun Dr Ismail. - NSTP/Owee Ah Chun

Nikmati sajian tradisional di restoran klasik Eropah

Menikmati sajian Melayu seperti nasi kerabu, nasi dagang, nasi lemak, sup tulang dan juga laksa dalam suasana kampung sudah menjadi kelaziman.

Namun memberi pengalaman indah bagaikan anak bangsawan, apabila dapat menjamu selera sajian berkenaan dalam suasana serba mewah berkonsepkan taman Inggeris dan klasik Eropah di Faroz Cafe.


Laksa johor yang menyelerakan. - NSTP/Owee Ah Chun

Keunikan hiasan dalaman restoran yang terletak di Taman Tun Dr Ismail ini yang sering dianggap ‘kedai perabot’ setiap kali menjenguknya dari luar. Mana tidaknya, ruang luas dipenuhi dengan sofa empuk bersaiz besar selain bangku rona keemasan dan meja marmar, memberi keselesaan pelanggan.

Menarik pandangan sebaik kaki menjejak masuk ke dalam kafe ini ialah gabungan hiasan dalaman rona emas dan merah seakan berada dalam istana mini. Bahagian dinding krim tidak dibiarkan kosong sebaliknya diperindahkan dengan rekaan ‘wainscotting’ klasik rona keemasan yang memenuhi ruang hingga ke atas siling menonjol gaya mewah.

Lebih indah bagaikan berada dalam taman, hiasan bunga hidrengea memenuhi ruang dinding masuk serta ratusan bunga mawar memenuhi anak tangga menuju ke tingkat dua.


Keenakan kuah kari ayam ini dimasak khas untuk dinikmati bersama nasi dagang yang enak. - NSTP/Owee Ah Chun

Semua perincian itu adalah hasil idea pemilik Faroz Cafe, Puan Sri Faridah Idris yang mengambil inspirasi dari restoran yang pernah dikunjunginya ketika melancong ke luar negara di United Kingdom antaranya London, Paris dan Venice.

Restoran deko taman

“Saya dapati menikmati sajian enak dalam suasana hiasan dalaman yang menarik, tenang dan romantik. Namun saiz kedai yang kecil kerana ruang terhad memberi rasa sedikit tidak selesa.

“Jadi bagi memberi keselesaan kepada pelanggan dengan gaya ala taman dan klasik Eropah saya bawa semua elemen itu ke dalam kafe ini. Tujuannya hanya mahu pelanggan menikmati sajian Melayu dan barat dalam suasana selesa, romantik dan menenangkan jiwa.

“Walaupun ada sajian barat yang dihidangkan tetapi saya suka mengetengahkan makanan Melayu. Menariknya, hampir semua sajian dari serata negeri di Malaysia boleh dinikmati di Faroz Cafe.

“Antaranya, nasi kerabu dari Terengganu, nasi dagang dari Kelantan, lontong dari Johor dan laksa disajikan di sini kerana saya mahu memartabatkan makanan Melayu yang boleh dinikmati dalam suasana mewah,” katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.


Steak daging yang lembut walaupun sudah sejuk. - NSTP/Owee Ah Chun

Sajian berat paling enak yang dihidangkan ialah nasi dagang. Berwarna putih dan merah adalah kombinasi dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu membangkitkan selera apabila digaul bersama gulai kari ayam manis dan pekat rempah serta berlemak hasil perahan santan segar.

Melengkapkan pinggan sajian dinikmati bersama sambal ikan, acar buah dan keropok ikan. Nasi kerabu juga tidak mengecewakan. Warna biru bukan pewarna hasil air bunga telang kaya khasiat. Sajian popular dalam kalangan masyarakat Terengganu ini sarat dengan hirisan ulam kampung dan menjadi keutamaan dinikmatinya bersama ayam percik atau ikan goreng tepung.

Selain itu, menyeimbangi selera pelanggan yang datang dari pelbagai bangsa dan masyarakat, sajian Seared Steak Moroccan style Ribeye turut dihidangkan. Keenakan daging stik tidak dinafikan kelembutannya. Mudah dihiris dan dikunyah, enaknya dengan gabungan sos lada hitam.

Pelanggan tidak perlu bimbang kerana sajian seperti laksa Johor, sup tulang merah lamb bone marrow dengan kuah merah dimakan bersama roti mantou kukus atau goreng. Braised Lamb Shank juga lembut dan enak.

Barista ilham kopi wajah

Antara tarikan istimewa ialah kopi dengan wajah pelanggan. Biasanya lukisan seperti bentuk bunga, bentuk hati dan wajah anak patung beruang dihasilkan di atas permukaan cawan kopi menggunakan teknik dan kepakaran barista membancuh kopi bersama susu. Hasilnya membuatkan pelanggan rasa sayang untuk menghirupnya.

Tetapi lebih sayang lagi untuk menghirup kopi di kafe ini walau sekali apabila wajah sendiri yang menghiasi permukaan atas cawan kopi. Inilah keunikan yang tidak ada di tempat lain kecuali di Faroz Cafe.

Selain kopi jenis latte, cappucino dan mocha pelanggan boleh melihat wajah sendiri di atas secawan coklat panas yang memang sedap. Bagi penggemar sajian pembuka selera dan pencuci mulut, Faroz Cafe turut menyediakan cekodok pisang malah kek coklat brownies sizling bersama aiskrim vanila yang dilimpahi coklat cair juga antara menu popular.

INFO:

Faroz Cafe

* Lokasi: 39, Jalan Tun Mohd Fuad 3, Taman Tun Dr Ismail

* Operasi : Isnin hingga Sabtu (10 pagi - 10.30 malam)

* Harga : antara RM6 hingga RM120

Berita Harian X