Ahad, 1 September 2019 | 10:30am
Ayam Gepuk Pak Gembus mempunyai pilihan tiga tahap kepedasan sambal iaitu biasa (tiga cili), pedas (10 cili) dan sangat pedas (15 cili). - NSTP/Aswadi Alias

Ayam gepuk pedas berapi

MAKAN ayam goreng sambil meleleh air, peluh mencurah dari atas kepala dan hidung tiba-tiba berair gara-gara kepedasan.

Sambal campuran cili merah Vietnam dan cili padi kampung digiling secara tradisional menggunakan batu giling gunung berapi, amat luar biasa.

Begitulah penangan ayam goreng yang diketuk lalu dilumur sambal pedas berapi di atasnya, kini tular dalam kalangan penggemar hidangan pedas iaitu Ayam Gepuk Pak Gembus berasal dari Jogjakarta, Indonesia dan diasaskan Rido Adit Wayan atau dikenali Pak Gembus, 30, sejak 2013. Cawangan pertama sajian berkenaan dibuka di Jalan Gombak, Selangor mulai 31 Ogos 2017.

Menggunakan slogan: Tentukan Sendiri Pedasmu Anda Pedas Kami Puas! Sebaik sahaja ayam yang dilumur sambal masuk dalam mulut, ia tidak serta-merta rasa pedas, sebaliknya mengambil masa kira-kira seminit dua, barulah berdesing telinga.

Penulis yang kali pertama mencuba hidangan berkenaan, hanya berani memesan tahap kepedasan sambal biasa iaitu tiga cili.

Namun, sebaik sahaja gigitan pertama, selang beberapa minit, muka penulis merah padam, peluh mula keluar dan makan bersulam air tembikai susu yang dikatakan mampu mengurangkan rasa pedas.

Penulis tidak menolak apabila dipelawa mencuba tahap kepedasan sangat pedas guna 15 cili kerana lagi pedas, bertambah selera walaupun menangis dan peluh mencurah.


Sambal ayam gepuk adalah campuran cili merah Vietnam dan cili padi kampung yang digiling secara tradisional menggunakan batu giling gunung berapi. - NSTP/Aswadi Alias

Pemilik dan pengarah rangkaian restoran berkenaan di Malaysia, Mohd Firdaus Wahid, 28, menjelaskan kebanyakan pelanggannya memilih tahap kepedasan sambal biasa.

Namun, ramai juga dalam kalangan pengunjung muda, memesan ayam gepuk tahap kepedasan sangat pedas, malah rekod pernah mencatatkan ada penggemarnya memesan pedas sambal maksimum iaitu 450 cili!

“Menu kami juga tiada hidangan berkuah atau sup kerana ia memang sajian asli dari Jogjakarta. Bagi yang tidak tahan pedas, sambal berkenaan akan dicampur kacang.

Rata-rata pelanggan kali pertama cuba resipi kami, pasti jatuh cinta dengan kepedasan sambal istimewanya dan akan berkunjung ke premis makanan ini berulang kali,” katanya.


Pelanggan menikmati keenakan Ayam Gepuk Pak Gembus berasal dari Jogjakarta, Indonesia dan diasaskan Rido Adit Wayan atau dikenali Pak Gembus. - NSTP/Aswadi Alias

Ayam Gepuk Pak Gembus

• 30 cawangan sekitar Lembah Klang

• 800 cawangan di Indonesia

• Harga - RM11.90

• Alamat: No 55, Blok G, Platinum Walk, Jalan Langkawi 1, Off Jalan Danau Kota, Kuala Lumpur.

• Beroperasi mulai jam 11 pagi hingga 10 malam. Tutup setiap Jumaat

• Jenama Ayam Gepuk Pak Gembus berasal dari Jogjakarta, Indonesia dan diasaskan Rido Adit Wayan atau dikenali Pak Gembus.

• Ayam gepuk bermaksud ayam yang digoreng lalu diketuk dan dilumur di atasnya dengan pilihan tiga tahap kepedasan sambal iaitu biasa (tiga cili), pedas (10 cili) dan sangat pedas (15 cili).

920 dibaca
Berita Harian X