Ahad, 15 September 2019 | 11:01am
Nasi kenduri dihidangkan di atas talam untuk membawa elemen Melayu tradisi. - NSTP/Sairien Nafis
Hidangan klasik kontemporari yang disajikan di Pinggan Puteh. - NSTP/Sairien Nafis

Nikmati nasi kenduri dalam talam

MENGGABUNGKAN pelbagai elemen dalam satu sajian untuk memberi cita rasa unik klasik kontemporari antara kelainan sesetengah restoran untuk menarik pelanggan.

Memasuki Restoran Pinggan Puteh, di Seksyen 7, Shah Alam, seperti berada dalam dua zaman berbeza, uniknya restoran dengan dekorasi moden menggabungkan elemen Melayu klasik tradisional dan moden dalam hidangan adalah sebagai usaha mengenang kembali nostalgia masakan tempatan.

Sajian utama yang unik ialah nasi kenduri, iaitu dihidangkan pelbagai menu di dalam talam lama atau dulang bunga klasik yang biasa digunakan ketika majlis kenduri-kendara berlangsung.

Ayam panggang Abe untuk kategori pinggan besar. Menu ini mengutamakan keenakan ayam dipanggang bersama kuah percik berwarna putih yang popular di Kelantan. Dinikmati bersama nasi impit berbanding nasi putih malah dimakan bersama kuah lemak.


Ayam panggang Abe untuk kategori pinggan besar untuk sajian enam orang. - NSTP/Sairien Nafis

Dekorasi dalaman moden masih memberi aura klasik tradisional dengan dendangan muzik yang dipasang sebagai hiburan. - NSTP/Sairien Nafis

Gabungan elemen klasik, moden

Pemilik Pinggan Puteh, Nurul Farisha Roslan, berkata perkataan ‘Abe’ bermaksud abang dalam dialek Kelantan kerana tukang masaknya lelaki.

Selain itu, pelbagai jenis sajian lontong antaranya lontong labu labi dan lontong rendang goreng turut disediakan.

Nasi impit dipotong dan digoreng terlebih dulu menggunakan bawang putih dan bawang merah menambah wangi sebelum kuah santan lemak manis dimasak dan dicurah pati buah labu di atasnya.


Lontong rendang goreng yang menyelerakan. - NSTP/Sairien Nafis

Tidak ketinggalan pelbagai pencuci mulut mengakhiri menu termasuk kuih abuk abuk gula Melaka dibalut dengan daun pisang dinikmati pula bersama aiskrim vanila. Rasanya amat lazat.

Minuman jus rambutan dengan air soda dan gabungan daun pudina serta serai, selain virgin mojito dan tomyam coke, turut memberi kelainan dalam hidangannya.

Dengan hiasan dalaman ala-Inggeris moden memberi suasana klasik kontemporari apabila pelanggan didendangkan dengan lagu Melayu tempatan.


Air rambutan yang segar dengan rasa pudina. - NSTP/Sairien Nafis

Nurul Farisha berkata, beliau sengaja mengetengahkan konsep moden dengan rekaan dalaman identiti bagi mengingatkan pelanggan dengan warisan budaya Melayu menerusi hidangan dengan dendangan lagu.

“Pinggan Puteh sentiasa mencari kelainan dengan menggabungkan pelbagai elemen untuk memberi kepuasan kepada pelanggan,” katanya

Sempena minggu kemerdekaan, Pinggan Puteh, menyertai pesta makan tahunan Tiffin Food Court yang diadakan selama enam minggu di Petaling Jaya bagi memperkenalkan sajian makanan klasik kontemporari kepada pelancong dalam dan luar negara.


Nurul Farisya bersama sebahagian hidangan yang disajikan di Pinggan Puteh. - NSTP/Sairien Nafis

INFO: Pinggan Puteh

Lokasi: Seksyen 7, Shah Alam,

Harga: RM2 hingga RM40 - Lebih 30 menu dihidangkan

Operasi: Setiap hari (12 tengah hari hingga 11 malam)

Berita Harian X