Ahad, 13 Oktober 2019 | 10:30am

Belut masak singgang

KELAZATAN mengatasi kegelian. Itulah ayat pertama terpacul daripada mulut penulis apabila kali pertama menikmati pelbagai sajian berasaskan belut di Gerai Amer Kelantan, terletak di Kampung Bharu, Kuala Lumpur, di belakang Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), baru-baru ini.

Buat julung kali, penulis memegang dan ‘beramah mesra’ dengan belut yang masih hidup, badannya licin berlendir dan berbau hanyir, menimbulkan rasa geli maksimum apabila melentok cuba melepaskan dirinya.


Amer akan merebus belut mentah selama tiga minit untuk menghilangkan lendir pada badannya, selain bau hanyir. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Bentuk fizikalnya yang seperti ular itu menambahkan rasa geli sebaik sahaja badannya digenggam lembut. Jangan ‘belai’ dengan kasar.

“Nak pegang belut jangan kasar-kasar, kita perlu ‘belai’ dengan lembut. Kali pertama pegang belut, memang geli, tetapi apabila dimasak tomyam, goreng kunyit, paprik, singgang, goreng berlada dan tiga rasa, saya gerenti anda nak lagi.

“Sekiranya bau belut berkenaan masih hanyir, anda makan tak perlu bayar apa-apa,” kata Amer Belut, 38 iaitu pemilik Gerai Amer Kelantan.


Amer akan merebus belut mentah selama tiga minit untuk menghilangkan lendir pada badannya, selain bau hanyir. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Amer Belut atau nama sebenarnya Zaid Lizalidi mengusahakan perniagaannya setiap hari mulai 5 petang hingga 4 pagi, menambah belut hidup akan dimasukkan dalam baldi berisi ais, lalu ditutup rapat selama lima minit supaya ia ‘pengsan’.

Belut mentah sebelum disiang akan direbus tiga minit untuk menghilangkan lendir pada badannya, selain bau hanyir.

Secara peribadi penulis sangat menggemari belut singgang kerana rasanya padu, seolah-olah sedang menikmati isi ikan keli yang lembut dan kenyal.

Begitu juga dengan lidah lembu, pada mulanya penulis rasa geli hendak makan sebab terbayangkan lidah lembu terjelir keluar, namun sebaik menjamah lidah goreng, teksturnya rangup dan rasanya seperti hati ayam.

Pengunjung kali pertama bertandang ke gerai berkenaan, juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS), Kapten Mohd Arif Ibrahim, 53, mengakui ketika beliau bertugas di luar negara, dia beberapa kali menikmati hidangan belut terutama sajian yang disediakan di sebuah restoran Jepun di Narita.


Pelanggan menikmati pelbagai hidangan belut di Gerai Amer Kelantan, Kampung Baru. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Mohd Arif menikmati belut panggang bersama nasi Jepun, keenakannya tersendiri.

“Tetapi, hari ini saya menikmati belut singgang, memang terbaik, saya bagi lima bintang. Isi belut kenyal dan langsung tiada bau hanyir. Mungkin ini antara nilai tambah yang terdapat di Gerai Amer Kelantan,” katanya.

Fakta nombor

-------------------

* 10 kilogram

belut diperlukan sehari

* 3 bulan

usia belut matang

sedia untuk dimasak

* RM8

Harga semangkuk

Tomyam belut

INFO

------

* Bekalan belut hidup dari beberapa kawasan sawah padi di Kuala Kangsar, Perak.

* Khasiat makan belut ialah membantu menyembuhkan penyakit kulit.

* Menu popular lain ialah lidah lembu goreng, pulut ikan kering, pulut ikan rebus, pulut mangga dan sup burung puyuh.

Pelbagai sajian masakan belut seperti tomyam belut, belut goreng kunyit, belut singgang, dan belut tiga rasa, selain lidah lembu goreng. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam
Berita Harian X