Ahad, 22 Disember 2019 | 3:32pm
HAFEEZI (kanan) adunan kek lapis bahan premium pilihan berbaloi.

Kek Lapis Warisan ramuan premium untuk rasa lebih lazat

KEK lapis sebahagian daripada sajian kebanggaan masyarakat di Sarawak yang menjadikannya sebagai manisan wajib setiap kali menyambut musim perayaan.

Aduan antaranya tepung gandum, mentega asli, gula dan telur itu menjadi pilihan tetamu sebagai cenderahati dibawa pulang setiap kali berkunjung ke Kuching, bandar raya negeri Bumi Kenyalang.

Berkunjung ke Kuching seakan-akan tidak sah jika tidak membawa pulang kek lapis untuk dinikmati bersama keluarga ketika menikmatinya ketika minum petang.

Berkunjung ke premis membakar kek lapis yang terletak di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Kuching, pemiliknya M Hafeezi Datuk Abdullah, berkata dia memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri demonstrasi membakar kek.

Beliau yang juga Pengarah Kek Lapis Warisan Sdn Bhd, berkata kek lapis Sarawak banyak keistimewaannya , selain memiliki rasa lazat, aduannya daripada bahan premium ini membolehkan aduan yang sudah dibakar tahan lebih lama.

KEK lapis warisan dibakar dengan pelbagai rasa untuk pilihan mengikut selera pelanggan.

PELANGGAN kedai Kek Lapis Warisan berpeluang menyaksikan bagaimana kek diadun dan dibakar selain menikmati aroma kek.

Memulakan operasi satu tahun lalu, beliau berkata pengunjung terutama dalam kalangan pelancong berpeluang melihat sendiri bagaimana telitinya tukang bakar kek membakar kek dengan penuh sabar.

“Setiap lapisan diadun dengan kemas mengikut tempoh masa ditetapkan bagi mengelakkannya daripada terlebih atau kurang masak bagi menjamin rasa dan kualitinya.

“Ini bagi memastikan setiap lapisan seimbang dan masak sekata. Kami menggunakan oven yang dilengkapi pemanas atas dan bawah. Lapisannya selari, masak sekata dan enak,” katanya ketika ditemui di premis jualan baru-baru ini.

Hafeezi berkata, memandangkan produk ini semakin terkenal, wajar pihaknya menyediakan ruang khas untuk pengunjung melihat sendiri cara memasak, menikmati aroma kek ketika dibakar. Aroma ini antara daya penarik pelanggan membeli.

Pada masa sama juga, beliau berkata pengunjung berpeluang menikmati semua jenis kek yang dijual di sini dengan pelbagai perasa antaranya masam manis, asli, gula apong, buah prune dan keju.

“Kami menyediakan dua pilihan iaitu lapis biasa dan kek lapis premium. Pastinya pilihan premium diadun menggunakan mentega asli dan tepung daripada biskut marie yang diayak halus untuk rasa lebih sedap.

“Kelazatannya terbukti dan ramai pelanggan datang kembali untuk menikmati sajian kek lapis asli kami di sini,” katanya.

Berita Harian X