Rabu, 28 Januari 2015 | 8:17am

Merotan untuk didik atau dera

Keratan akhbar bahagian Rencana, 27 Januari 2015.
Keratan akhbar bahagian Rencana, 27 Januari 2015.

Jelas sekali, cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mahu mewujudkan akta baharu bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 mendapat maklum balas negatif selepas Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mendedahkan ada peraturan yang menetapkan perbuatan merotan kanak-kanak dianggap kesalahan dan boleh dihukum.

Beliau menjelaskan, peraturan berkenaan perlu dimasukkan ke dalam akta baharu itu berikutan Malaysia terikat dengan perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) 1995 yang ditandatangani pada tahun 1995.

Ia menyatakan kerajaan perlu mengambil segala langkah perundangan dan pentadbiran sewajarnya untuk melindungi kanak-kanak daripada segala bentuk penganiayaan oleh ibu bapa atau pihak lain yang menjaga mereka.

Namun, Artikel 5 dan 18 CRC turut menyatakan negara perlu menggunakan usaha terbaik untuk memastikan pengiktirafan prinsip bahawa ibu bapa memikul tanggungjawab utama bagi didikan dan perkembangan kanak-kanak selaras dengan adat tempatan. Dalam hal ini, ibu bapa perlu diberi ruang dan hak untuk mendisiplinkan anak mereka, tetapi tidak sehingga peringkat mendera.

Apa yang menjadi isu dan dipertikaikan masyarakat dalam hal ini ialah kewajaran memasukkan peraturan menghukum ibu bapa yang merotan anak serta kesannya kepada mereka serta masyarakat. Ibu bapa melihat peraturan dalam akta baharu itu akan mengambil 'hak mutlak' mereka sebagai penjaga atau ibu bapa paling afdal untuk mendidik, membimbing dan mengasuh anak mengikut pendekatan bersumberkan sunah, adat kebiasaan dan undang-undang.

Peraturan tidak relevan

Rata-rata masyarakat dan ibu bapa di negara ini beranggapan, peraturan seperti itu tidak relevan serta mengikut telunjuk Barat. Apatah lagi selepas melihat rakyat Malaysia terpaksa merengkuk di dalam penjara di Sweden kerana didapati bersalah oleh mahkamah di negara itu kerana merotan anak mereka yang dikatakan enggan menunaikan solat.

Dari sudut Islam, hukuman merotan kanak-kanak dibenarkan berdasarkan hadis Nabi SAW bermaksud: "Perintahlah anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah (rotan) mereka jika meninggalkannya ketika berumur 10 tahun serta pisahkan tempat tidur mereka."

Justeru, dalam sudut inilah sesetengah ibu bapa dan keluarga Islam menyifatkan peraturan itu menganiaya dan melenyapkan hak mereka untuk mendidik, membimbing dan membentuk sahsiah anak berteraskan Islam dan adat. Malah, ada ibu bapa mendakwa hukuman kerana merotan anak adalah kunci yang akan membuka laluan seluas-luasnya kepada fahaman liberalisme meresap ke dalam keluarga dan masyarakat Islam di negara ini.

Sedar batas agama, adat

Masyarakat hari ini mengetahui batas agama dan adat kebiasaan dalam merotan anak mereka. Secara azali, tidak mungkin ibu bapa tidak tahu membezakan antara perbuatan menghukum untuk mendidik dan mendera.

Pada umumnya masyarakat tidak tolak mentah-mentah cadangan kerajaan untuk mewujudkan akta baharu bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001, sebaliknya menolak peraturan yang boleh menyebabkan mereka dihukum hanya kerana merotan ketika mendidik anak. Sudah tentu mereka mengharapkan agar apa juga pindaan atau pembaharuan yang hendak dilakukan kerajaan itu diteliti lebih mendalam serta tidak tergesa-gesa bagi mengelak ibu bapa menjadi mangsa keadaan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat wajar berunding dengan semua pihak berkepentingan membabitkan persatuan komuniti, pakar agama dan budaya, pakar psikologi, tokoh Islam dan badan bukan kerajaan (NGO) sebelum keputusan dibuat.

Memetik kata-kata Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, walaupun Malaysia adalah negara yang menyokong CRC, kerajaan tidak perlu tergesa-gesa melaksanakan obligasinya supaya kepentingan terbaik kanak-kanak serta keluarga mereka turut diambil kira, mengikut acuan kita sendiri.

Jika dilihat dari sudut perundangan pula, penggubalan undang-undang melindungi kanak-kanak perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi rujukan utama.

Bermakna, kementerian perlu gubal akta itu dengan mengambil kira Perkara 3 Perlembagaan, iaitu Islam agama bagi Persekutuan. Dalam hal ini, apa yang penting, akta baharu itu tidak bertentangan dengan enakmen syariah dan undang-undang keluarga Islam negeri serta dapat menjamin nasib, masa depan dan hak ibu bapa Islam dalam mendidik anak mereka.

Berita Harian X