Isnin, 28 Ogos 2017 | 6:52am
KAKITANGAN ASA Niaga Kompleks Datuk Shaari Jihin memasang jalur gemilang di sekitar pekarangan Jeti Penumpang Kompleks Datuk Shaari Jihin, Pelabuhan Klang bagi menyemarakkan lagi semangat cintakan negara menjelang sambutan kemerdekaan ke-60. - Foto Faiz Anuar

Semai patriotisme cabaran merdeka

KHAMIS ini, 31 Ogos 2017, genap enam dekad Malaysia mengecapi kemerdekaan. Jika diambil kira umur penjawat awam di Malaysia, 60 tahun itu adalah usia bersara.

Maknanya, tempoh 60 tahun menikmati kemerdekaan itu adalah satu jangka masa yang boleh dikira sudah lama. Namun, apakah jarak masa jaminan sesebuah negara yang merdeka itu stabil dari sudut politik, ekonomi dan juga sosial?

Lihat sahaja Indonesia yang menyambut kemerdekaan ke-77 dan Filipina untuk ke-119 tahun sebagai perbandingan. Atau kita bandingkan dengan Ghana, juga menyambut kemerdekaan yang ke-60 tahun pada 2017.

Semestinya bukan jarak masa menjadi kayu ukur dalam melihat kemajuan, kestabilan dan kemakmuran sesebuah negara yang merdeka. Tunjang utama kepada kejayaan sesebuah negara merdeka adalah kesefahaman serta keyakinan antara pemimpin dan rakyat.

Jika sesebuah negara dipimpin oleh pemimpin yang hebat, merangka dasar yang bagus, mengurus ekonomi dengan baik tetapi rakyatnya tidak beri kerjasama dan tidak menyahut setiap perancangan pemimpin, maka sukar negara itu maju dan berjaya kerana tiada kerjasama antara akar umbi dan kepemimpinan negara.

Tetapi, di Malaysia sejak 60 tahun lalu, kita bersyukur kerana dipimpin oleh pemimpin bertanggungjawab dan rakyat sentiasa berikan kerjasama serta kepercayaan tinggi, terutama kepada enam Perdana Menteri yang memimpin negara sejak 1957.

Namun, adakah merdeka ini hanya sebagai sebuah hadiah pejuang terdahulu untuk dinikmati anak bangsa pada hari ini? Atau merdeka ini hanya sambutan tahunan yang wajib diraikan rakyat?

Sambutan kemerdekaan semakin sepi

Malaysia belum pun mencecah satu abad menyambut kemerdekaan. Apatah lagi ingin mencapai usia satu alaf. Tetapi saban tahun, nilai meraikan kemerdekaan semakin sepi dan sayu, terutama dalam jiwa generasi muda.

Tidak dinafikan ada juga sesetengah generasi muda yang menyambut dengan penuh pengertian, namun bagi sesetengah yang lain, kemerdekaan hanyalah perkataan yang muncul pada Ogos setiap tahun.

Pada fikiran mereka, apabila sesebuah negara itu mencapai kemerdekaan, maka selamanya negara akan aman dan tenteram kerana sudah ada pasukan tentera yang mengawal sempadan negara dan polis yang menjaga ketenteraman awam.

Namun, kelekaan ini harus cepat disedarkan kerana jika kita melihat kepada Iraq yang merdeka pada 1932 dan menjelang tahun ke-70 mereka ingin menyambut kemerdekaan, negara itu diserang dan pemimpin utama Saddam Hussein digulingkan. Sehingga hari ini, keadaan di Iraq tidak bertambah baik jika mahu dibandingkan dengan keadaan sebelum mereka diserang.

Justeru, generasi muda perlu lekas sedar dan buka mata melihat erti kemerdekaan, menikmati nilai kemerdekaan dan menjiwai pengorbanan serta perit jerih pejuang kemerdekaan yang menggadai harta dan nyawa mereka semata-mata mahu memastikan Malaysia bebas daripada genggaman penjajah yang mengaut keuntungan hasil bumi kita selama 446 tahun.

Semailah sifat dan nilai patriotisme dalam diri kerana inilah negara kita. Di sinilah tanah tumpahnya darah kita dan di sinilah langit yang kita junjung serta bumi yang kaki kita berpijak.

Lahirkan semangat cinta kepada negara seperti semangat Leftenan Adnan yang berjuang hingga kehabisan peluru sedangkan beliau tidak pernah berjumpa kita malah bukan juga saudara mara kita tetapi semangat patriotisme yang begitu tinggi dalam jiwa dan sanubarinya kerana mahu mempertahan bumi bertuah ini daripada bangsa asing.

Jelmakanlah sedikit patriotisme demi negara. Keluarkan sedikit wang membeli Jalur Gemilang. Luangkanlah sedikit masa membawa ahli keluarga menyambut hari kemerdekaan. Sumbangkan sedikit tenaga dalam menjayakan aktiviti sempena bulan kemerdekaan. Jiwa patriotisme itu wajib ada dalam setiap diri kita yang bergelar rakyat Malaysia.

Semai patriotisme dalam jiwa orang muda

Jangan dibiarkan semangat menyambut kemerdekaan itu hanyut oleh arus kemajuan dan kemakmuran yang kita kecapi pada hari ini. Perkara ini amat jelas dalam kalangan generasi muda kerana mereka dilahirkan dalam zaman serba cukup dan lengkap.

Perkara ini bukanlah salah atau kesilapan mereka tetapi jika tidak disemai semangat patriotisme dalam jiwa mereka, dibimbangi keselesaan dan kemakmuran yang dikecapi ini gagal disyukuri dengan baik.

Akibatnya, jiwa mereka kosong dan tiada semangat perjuangan. Mereka melihat tanggungjawab memakmurkan negara adalah tugas pemimpin. Menjadikan negara maju dan membangun juga tugas pemimpin.

Mereka hanya mahu menjalani kehidupan seharian dengan tenteram. Maka jangan dibiarkan jiwa generasi muda kita pada hari ini kosong tanpa ada semangat patriotisme di dalamnya.

Peranan untuk memupuk, menyemai dan menanam semangat patriotisme kepada generasi muda seharusnya digalas oleh ibu bapa. Penceritaan mengenai perjuangan mendapatkan kemerdekaan perlu bermula dari rumah.

Sekali-sekala bawalah anak meraikan hari kemerdekaan, bercuti melawat tempat bersejarah dan mengunjungi muzium dan tugu bersejarah. Sekurang-kurangnya sebagai ibu bapa, kita ada usaha melahirkan semangat patriotisme dalam jiwa anak-anak.

Kemerdekaan yang dikecapi bukan hanya untuk generasi kita pada hari ini. Kemerdekaan ini adalah sebuah wasiat dan amanah yang perlu kita jaga dengan baik untuk generasi akan datang.

Kitalah yang bertanggungjawab menyerahkan negara dan kemerdekaan ini dalam keadaan yang sama dan lebih baik kepada generasi masa hadapan. Berilah mereka peluang sama adil dalam menikmati keamanan dan kemakmuran seperti mana yang kita kecapi pada hari ini.

Sesungguhnya, merdeka itu bukan hanya sebuah perkataan. Merdeka adalah sebuah perjuangan dahulu, kini dan selamanya. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Ke-60. Negaraku Malaysia, Sehati Sejiwa.

Penulis ialah Setiausaha Agung Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (ASPIRASI)

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X