Sabtu, 9 Disember 2017 | 7:18am
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kanan) berseloroh dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (kiri) diperhatikan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sebelum perasmian Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO oleh Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC. - Foto Syarafiq Abdul Samad

Saingan kerusi Naib Presiden diramal sengit

Ketika Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) dilahirkan di Kuwait City pada 10 Januari 1976, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berada di Tingkatan Dua di sebuah sekolah di ibu negara. Pada tahun itu juga, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang menuntut di Universiti Malaya.

Menjelang 10 Januari depan, KJ - Ketua Pemuda UMNO, menyambut hari lahir ke-42 dan pada 4 Januari depan juga, Ahmad Zahid - Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden menyambut hari lahir ke-65.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula menyambut hari lahir ke-57 menjelang 5 Ogos 2018. Ahmad Zahid tua lapan tahun daripada Hishammuddin, manakala KJ muda 15 tahun daripada Hishammuddin atau 23 tahun jauh lebih muda berbanding Zahid.

"Tiada nama lain lagi?" kata seorang perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO kepada penulis ketika kami berbual mengenai siapa bakal menerajui parti itu pada masa akan datang. Setakat ini, itulah antara nama yang paling menonjol. Meskipun soal pemilihan dalam UMNO cuba untuk dielak perbincangan secara terbuka bagi memberi tumpuan kepada persiapan memenangkan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ahli parti tetap membincangkannya secara tertutup sesama sendiri.

Kempen peringkat bawahan

Mungkin bagi meredakan keadaan kerana dikatakan sudah berlaku kempen agak agresif pada peringkat bawahan sejak setahun lalu, maka Perhimpunan Agung UMNO semalam sebulat suara meluluskan usul supaya jawatan Presiden untuk terus disandang Datuk Seri Najib Razak dan slot Timbalan Presiden untuk diisi Ahmad Zahid apabila tempoh sekarang berakhir serta pemilihan baharu dijalankan selepas PRU-14, tahun depan.

Apakah ini pula bermakna, perebutan untuk jawatan Naib Presiden nanti akan menjadi lebih sengit? Pada pemilihan akan datang, Hishammuddin akan menjadi calon tunggal mempertahankan jawatan itu, selepas Ahmad Zahid diangkat menjadi orang nombor dua dalam parti dan sebelum ini Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menyertai pembangkang. Ini bermakna, berlaku dua kekosongan serentak untuk slot hierarki ketiga dalam parti itu, yang jarang berlaku sebelum ini.

Yang pasti, Hishammuddin akan mempertahankan jawatannya, manakala KJ pula dijangka turut serta selain beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT), terutama yang berjawatan menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri, dikatakan turut mengintai jawatan sama.


Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bergambar bersama ketika Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Foto Rosela Ismail

Naib Presiden Kanan

Bagaimanapun, Ahmad Zahid dalam reaksinya semalam berkata, perwakilan UMNO turut mengambil ketetapan bahawa jawatan Naib Presiden kanan parti akan disandang oleh Hishammuddin 'biarpun jawatan Naib Presiden disandang oleh tiga orang, tetapi oleh kerana hanya ada seorang penyandang tunggal, maka kami menerima bahawa jawatan Naib Presiden kanan harus diberikan kepada Hishammuddin.'

Tidak jelas lagi apa maksud sebenar 'ketetapan', sama ada satu slot itu dikhaskan untuk Hishammuddin tanpa bertanding dan dua slot lagi dipertandingkan? Atau UMNO berhasrat mewujudkan jawatan Naib Presiden Kanan, seperti dilakukan oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sarawak.

Tetapi, menurut seorang pengamal undang-undang yang juga perwakilan UMNO Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican, tiga jawatan Naib Presiden terbuka untuk direbut dan ketetapan yang disebut oleh Ahmad Zahid itu, adalah bermaksud supaya bahagian UMNO tetap mencalonkan Hishammuddin bagi jawatan Naib Presiden.

"Kita tidak boleh tutup perebutan untuk tiga jawatan Naib Presiden, cuma ketetapan itu untuk memberi 'jaminan' yang Hishammuddin dicalonkan, memandangkan beliau kini Naib Presiden paling kanan," katanya.

Hishammuddin dalam program Bicara BH semalam mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatan Naib Presiden.

"Itu pasti dan tidak boleh elak kerana orang di bawah mahukan saya (bertanding). Ada dua lagi jawatan untuk dipertandingkan. Sekarang ini orang dok ulang-ulang cakap saya Naib Presiden tunggal, memang berat kerana kita bertiga buat kerja untuk lima orang sebenarnya sekarang. Dulu ada lima pemimpin kita, dua dah keluar dari parti. Jadi yang dua orang lagilah yang melaksanakan kerja. Sebab itu, saya percaya kesedaran pada peringkat perwakilan dan ini disambut baik," katanya.

Kali terakhir jawatan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan pada 1987, apabila Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba memenangi jawatan itu dengan kelebihan 40 undi, mengalahkan penyandang, Tun Musa Hitam.

Ketika Tun Hussein Onn melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1976, Dr Mahathir tidak dicabar dalam pertandingan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan 1978. Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi melantik Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri, Najib juga diberi kemenangan percuma sebagai Timbalan Presiden UMNO pada 2009.

Begitu juga ketika Dr Mahathir melantik Abdullah sebagai Timbalan Perdana Menteri, Abdullah tidak dicabar bagi jawatan Timbalan Presiden pada 2004.

Ahmad Zahid dilantik Majlis Tertinggi UMNO untuk menjalankan tugas Timbalan Presiden selepas parti itu menggantung sebelum memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Februari 2016. Jawatan nombor dua parti UMNO tidak dipertandingkan sejak 1987 atas nasihat dan pandangan Majlis Tertinggi (MT) parti.

Sebenarnya, Hishammuddin sendiri pada satu majlis, baru-baru ini ada menyatakan supaya dua jawatan tertinggi dalam parti tidak dipertandingkan. Rabu lalu pada Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri - semua ketua tiga sayapnya turut membuat ketetapan sama, disusuli dengan sokongan beberapa perwakilan dalam perbahasan masing-masing.

Sebenarnya, apabila usul itu diterima sebulat suara yang bergema di Dewan Merdeka semalam, ia adalah manifestasi kesedaran perwakilan untuk memberi fokus sepenuhnya kepada PRU-14 seperti dinyatakan oleh Ahmad Zahid.

Nescaya, selepas ini semua harus menumpukan kepada usaha bersepadu untuk memenangkan parti pada PRU-14.

Penulis adalah Pengarang Bersekutu (Ehwal Semasa) BH

Berita Harian X