Selasa, 19 Jun 2018 | 7:05am
(DARI kiri) Tengku Razaleigh Hamzah, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

3 calon presiden ada kelebihan sendiri

SEMINGGU sebelum Aidilfitri, pejabat Tengku Razaleigh Hamzah yang juga kediamannya di Jalan Langgak Golf, Kuala Lumpur tidak sunyi daripada pengunjung.

Sabtu lalu, beliau mengumumkan bertanding jawatan Presiden UMNO. Pengumuman itu dilihat sesuatu yang dialu-alukan atau dibimbangi, bergantung kepada siapa kita berbual.

Bagaimanapun pengumuman itu tidak terhenti di situ apabila Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga membuat pengumuman serupa pada pagi Ahad, walaupun sebelum ini dia mengesahkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden.

Berikutan itu tular di WhatsApp mengenai Pasukan Pembaharuan UMNO Malaysia, yang menamakan Khairy sebagai calon Presiden UMNO dan ahli pasukannya yang kebanyakan daripada sayap Pemuda UMNO.

Khairy berkata, dia mahu ahli UMNO mempunyai pilihan terhadap hala tuju parti itu, malah bersumpah untuk memastikan UMNO kembali kepada 'jiwa sebenar dalam tubuh yang baharu'.

Lawan beliau ialah pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga pemimpin pertama yang mengumumkan untuk bertanding jawatan tertinggi parti.

Kata Zahid, dia mengalu-alukan pertandingan sebegitu kerana parti bersifat terbuka serta demokratik. "Pertandingan ini mesti diguna dengan niat untuk menyediakan UMNO dalam pertempuran politik di luar sana dan tidak mencipta permusuhan dalam kalangan kita."

Perbualan ketika sambutan hari raya menggambarkan pemilihan parti kali ini bukan saja mengenai kelangsungan UMNO, tetapi juga membabitkan rakyat Malaysia terutama orang Melayu.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusof, berkata tujuh individu sudah menghantar nama bertanding jawatan Presiden UMNO iaitu jumlah paling tinggi, namun hanya tiga yang memenuhi kriteria ditetapkan dalam perlembagaan UMNO.

Beliau berkata, senarai muktamad akan diumumkan esok selepas semakan dengan Jabatan Insolvensi dan mungkin ada calon yang mahu menarik diri.

Generasi berbeza

Ketiga-tiga pencabar utama itu daripada tiga generasi berbeza. Tengku Razaleigh berusia 81 tahun, Ahmad Zahid 65, dan Khairy, 42. Daripada tiga calon itu, hanya Tengku Razaleigh saja yang bukan daripada kerajaan pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak, tetapi beliau pernah berkhidmat dalam kepemimpinan pertama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Kewangan serta Menteri Perdagangan dan Industri.

Kenalannya menjelaskan kepada NSTP, Tengku Razaleigh tidak akan menawarkan diri jika tidak meraih sokongan lebih separuh daripada bahagian, malah berkata, beliau tidak akan menawarkan diri jika tidak pasti akan menang.

Dalam sidang media Sabtu lalu itu, beberapa ahli politik hadir meskipun Tengku Razaleigh menyatakan, beliau bukanlah 'Team A' atau 'Team B'. Namun, mereka yang hadir itu dilihat mahu dikaitkan bersekutu dengan beliau.

Bagi Ketua Biro Undang-Undang, Profesional dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Puteri UMNO, Natassia Md Roslan, kehadiran Tengku Razaleigh relevan bagi banyak ahli termasuk kumpulan orang muda meskipun ramai mendakwa, beliau terlalu tua untuk jawatan berkenaan.

"Dia mempunyai pengalaman serta bijak," katanya.

Bagaimanapun, beliau tetap mengakui, ketiga-tiga calon mempunyai kekuatan tersendiri dan menyatakan, kemunculan Khairy untuk bertanding adalah satu kejutan yang diperlukan UMNO. Khairy katanya, tahu apa yang harus dilakukan.

Budak Tingkat 4

Walaupun imej beliau pernah terjejas dengan jolokan 'Budak Tingkat 4' ketika zaman pemerintah Abdullah, beliau dilihat kaya idea segar dan pembaharuan.

Malah, sosok itu turut menerima sokongan daripada pemimpin kanan termasuk daripada Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Begitu juga Dr Mahathir sendiri menganggap Khairy orang paling tepat untuk mengisi jawatan tertinggi parti, manakala Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menzahirkan sokongan kepada beliau.

Dalam perkembangan itu, ada cakap-cakap meminta supaya Ahmad Zahid menarik diri dari perebutan jawatan itu apabila dua figura dikenali ini mengumumkan untuk bertanding.

Tetapi bagi Zahid, yang mengisi kapasiti sebagai pemangku presiden turut mendapat perhatian daripada Dr Mahathir dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apabila ramai yang mahu melihat UMNO berkubur, mereka berdua melihat parti itu masih relevan dalam kancah politik tempatan.

Sebelum bertolak menunaikan umrah pada 7 Jun lalu, Ahmad Zahid bertemu dengan Dr Mahathir. Walaupun ada dakwaan mengatakan Ahmad Zahid yang memohon untuk bertemu tetapi sumber pula berkata, sebaliknya, kerana pertemuan itu turut didakwa bukanlah yang pertama di antara kedua-duanya.

Perdana Menteri itu berkata, Ahmad Zahid meminta nasihatnya mengenai UMNO dan menyatakan pendirian BN dan UMNO untuk menyokong kerajaan jika diperlukan.

"Beliau boleh menyokong kerajaan dan beliau juga boleh menentang kerajaan," kata Dr Mahathir.

Bagaimanapun, sumber mendedahkan, Dr Mahathir juga meminta lebih daripada sekadar apa yang ditawarkan Ahmad Zahid.

Ada cakap-cakap mendakwa calon Yang di-Pertua Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri tidak dipersetujui kepemimpinan Pakatan Harapan.

"Mereka tidak bersetuju dengan pilihan Perdana Menteri dan itu tujuan pertemuan itu berlangsung dengan panjang, dengan BN serta UMNO perlu memainkan peranan.

"Pilihan Tun M boleh dilantik sebagai Yang di-Pertua jika dia mendapat majoriti sokongan kerajaan dan pembangkang," kata sumber itu.

Malah ada juga dakwaan, Zahid bertemu dengan Anwar untuk mencadangkan mereka bekerjasama agar pasukan UMNO-PKR dilihat dalam Parlimen.

Sumber mendakwa, siapa menjadi Presiden UMNO mampu dilihat seawal 23 Jun ini apabila sayap Wanita, Pemuda dan Puteri mengundi pemimpin dan ahli EXCO.

"Walaupun tidak memenangi Pilihan Raya Umum, pemilihan UMNO kali ini paling dinanti-nantikan," kata sumber.

161 dibaca
Berita Harian X