Sabtu, 30 Jun 2018 | 8:00am
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Hari penentuan Zahid, KJ

HARI ini, perwakilan dari 191 bahagian UMNO seluruh negara akan memilih pemimpin baharu mereka, daripada jawatan tertinggi sehingga pengisi 25 kerusi ahli Majlis Tertinggi (MT).

Suasana pemilihan kali ini pasti berbeza, sekurang-kurangnya tidak semeriah dahulu lantaran tewasnya UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sehingga Putrajaya dan majoriti negeri tidak lagi dikuasai.

Meriahnya cuma dari segi calon yang menawarkan diri bertanding, jumlahnya begitu ramai termasuk mereka yang tidak dikenali sehingga perlu ada senarai pemimpin pilihan untuk diundi atau 'cai' sebagai panduan bagi perwakilan.

Tumpuan pastinya terhadap jawatan paling utama parti, saingan sengit dijangka di antara tiga personaliti.

Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditentang bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin (KJ) dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau mesra dipanggil Ku Li.

Calon untuk membantu Presiden pula hanya menyaksikan pertembungan di antara Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kem setiap calon mengemukakan senarai alasan masing-masing mengapa pemimpin disokong mereka harus diangkat menjadi nakhoda. Dalam sedar atau tidak, ada juga terselit hujah yang secara tidak langsung memburukkan lawan bos mereka.

Penyokong Zahid menggunakan barisan kalimah yang menekankan faktor kesetiaan dan pengalaman, kem KJ pula berhujah UMNO perlu pemimpin muda sambil mengambil contoh daripada kekalahan parti itu pada PRU lalu akibat hilangnya undi generasi belia.

Mereka yang mahu melihat Ku Li diangkat sebagai Presiden adalah kumpulan yang berada di tengah-tengah, tidak mahu Zahid dan juga KJ menjadi nakhoda.

Mereka menolak Zahid yang dilihat warisan kepemimpinan lama yang kalah pada PRU lalu, mempertahankan Datuk Seri Najib Razak serta gagal melakukan perubahan dalaman parti sehingga UMNO dan BN akhirnya terlepas Putrajaya.

Mereka juga tidak mahu KJ diangkat sebagai teraju kerana dianggap gagal menarik sokongan orang muda, dilihat sebagai pemimpin elitis dan kononnya sekadar mahir sebagai berhujah dan popular di atas kertas sahaja.

Dalam tempoh berkempen, pelbagai kenyataan, pendirian dan jaminan dikeluarkan setiap calon. Sama ada sedar atau tidak, terselit juga kenyataan yang secara tidak langsung 'menyerang' lawan.

Pengalaman Ku Li cabar Tun M

Ramai menjangka pengundian jawatan tertinggi akan memihak kepada Zahid atas kedudukannya sebagai pemangku Presiden, malah mempunyai hubungan baik dengan pemimpin bahagian.

Namun, pengaruh KJ juga tidak boleh dinafikan, terutama hubungannya dengan pemimpin Pemuda yang ramai di antara mereka juga sudah ada kedudukan pada peringkat bahagian.

Bagi Ku Li, sokongan terhadapnya lebih banyak didorong faktor pengalamannya mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perebutan kerusi Presiden UMNO pada 1987 dahulu, selain menjadi pilihan perwakilan dan ahli parti 'neutral'.

Namun, ada pihak melihat Ku Li sekadar pemimpin transit dalam fasa pemulihan UMNO dan berasa KJ lebih layak memimpin parti bagi tempoh jangka panjang.

Saingan antara Annuar dan Mohamad atau lebih mesra dipanggil Tok Mat lebih santai, malah tidak kelihatan sedikit pun aksi serang menyerang di antara mereka.

Atas kertas, Tok Mat adalah calon pilihan kerana beliau dilihat sebagai pemimpin 'bersih', bijak dan dihormati kawan serta lawan. Malah, Annuar sendiri mengakui lawannya itu mempunyai kelebihan.

Jawatan Naib Presiden pula menyaksikan beberapa bekas menteri dan Ketua Menteri merebut tiga kerusi yang diperuntukkan, manakala 25 kerusi MT pula ditandingi 106 calon, termasuk bekas menteri serta Ahli Parlimen.

Untuk perwakilan, pemilihan kali ini adalah peluang terbaik untuk mereka memilih mengikut rasa hati sendiri, bukan kerana arahan atau 'wahyu' sesiapa pun, termasuk orang atasan.

Ini juga mungkin kali pertama buat sesetengah perwakilan diberi 'kuasa' memilih teraju parti mereka.

Ia kerana perebutan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO bukan perkara yang lazim kerana kali terakhir pertembungan untuk menjadi nakhoda parti itu adalah 31 tahun lalu.

Kali terakhir jawatan Timbalan Presiden dipertandingkan pula pada 1993 apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar penyandang, Tun Ghafar Baba. Ghafar bagaimanapun menarik diri sebelum pertandingan yang menyaksikan Anwar menang tanpa bertanding.

Nasihat untuk perwakilan, pilih pemimpin bagi memastikan kelangsungan parti dan bukan demi kepentingan peribadi.

Untuk calon bertanding pula, jangan ego jika menang dan pastikan janji memulihkan semula UMNO ditepati. Jangan dipinggirkan lawan yang kalah kerana sumbangan mereka pasti berguna untuk parti yang sedang lelah.

Yang kalah, diharap berhati besar untuk menerima kekalahan dan tidak merajuk, sebaliknya terus membantu pemimpin dipilih jika mahu melihat UMNO kekal relevan dan mungkin gagah kembali.

Menang atau kalah, pertandingan merebut jawatan adalah tanda suburnya demokrasi, tidak wajar dijadikan alasan untuk melihat parti berpecah-belah dan mungkin terkubur suatu hari nanti.

Berita Harian X