X
Sabtu, 21 Julai 2018 | 12:41pm
'Himpunan Bantah dan Penyerahan Memorandum Pengiktirafan UEC oleh Kerajaan Melaka' yang disertai lebih 200 orang di perkarangan Masjid Al-Azim, Bukit Palah. - Foto Rasul Azli Samad
'Himpunan Bantah dan Penyerahan Memorandum Pengiktirafan UEC oleh Kerajaan Melaka' yang disertai lebih 200 orang di perkarangan Masjid Al-Azim, Bukit Palah. - Foto Rasul Azli Samad

Menanti suara DBP dalam polemik UEC

SEHINGGA kini, kedudukan bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa kebangsaan masih terumbang-ambing. Ironinya, pentadbiran negara sejak merdeka dipegang oleh bangsa Melayu, lalu kita selaku masyarakat umum masih tertanya-tanya di mana silapnya?

Kira-kira setahun sebelum merdeka pada 22 Jun 1956, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau nama asalnya Balai Pustaka, ditubuhkan di Johor Bahru hasil kesepakatan yang dicapai pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga yang turut dihadiri wakil Kerajaan Indonesia, diketuai Menteri Pendidikan Pengajaran dan Pendidikan Indonesia, Prof Dr Prijana.

Kongres yang berlangsung di Singapura dan Johor Bahru pada 16 hingga 21 September 1956 itu juga menyaksikan nama Balai Pustaka yang asalnya dipetik daripada nama sebuah penerbitan di Indonesia (Balai Poestaka), diubah kepada DBP sesuai dengan status negara yang baharu mencapai kemerdekaan dan perlu mempunyai identiti sendiri, selain taraf DBP sebagai badan yang mempunyai anggota lembaganya sendiri.

Malah, DBP memiliki akta sendiri, iaitu Akta 213, Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Disemak 1978) (dikanunkan pada 1959 sebagai Ordinan No 25 tahun 1959) sebelum dipinda pada 1995, yang antara lain dengan jelas menggariskan 'untuk menggalakkan termasuk memberi arahan, ulasan, nasihat, bantuan, bimbingan, latihan atau pengawasan berhubung bahasa kebangsaan.'

Namun, menjelang ulang tahun kemerdekaan ke-61 pada 31 Ogos ini, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dilihat terancam berikutan ura-ura Kementerian Pendidikan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), sebagai syarat kemasukan ke perkhidmatan awam dan universiti awam (UA).

Tuntutan UEC sebenarnya sudah lama kedengaran kerana sebelum ini kerap dibuat oleh MCA. Malah, pada 29 Mac 2000 Jemaah Menteri ketika itu bersetuju UEC digunakan sebagai kelayakan masuk ke universiti swasta, tetapi ia tidak diterima untuk masuk ke UA, Kolej Tuanku Abdul Rahman dan program universiti swasta yang difrancaiskan oleh UA kerana UEC dikeluarkan oleh Malaysian Independent Chinese Secondary School (MICSS), iaitu badan yang tidak diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) untuk terus menuntut UEC diiktiraf sebagai syarat kemasukan ke UA dan perkhidmatan awam.

Ikrar iktiraf UEC

Lalu, Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jelas menerima UEC apabila Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menyebut PH berikrar untuk mengiktiraf UEC sebagai syarat kemasukan ke UA, sesuai dengan janji memperkenalkan pengagihan pendidikan yang berkualiti untuk semua peringkat.

Justeru, tidak hairan apabila Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada awal bulan ini mengumumkan UEC diterima sebagai syarat perjawatan di negeri itu kerana ia sebahagian daripada manifesto PH pada PRU-14.

Tindakan ini membangkitkan bantahan. Misalnya, 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilaporkan akan membuat bantahan kerana mendakwa pengiktirafan UEC nyata bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang dikanunkan melalui Akta Pendidikan 1996. NGO seperti Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) akan menganjurkan himpunan aman seluruh negara membantah UEC pada 28 Julai ini. Turut membantah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), selain parti politik seperti UMNO dan PAS.

Tokoh sosiobudaya, Tan Sri Dr Rais Yatim turut membantah kerana pengiktirafan UEC bakal membawa kesan besar yang menyentuh teras peradaban, pendidikan dan nilai kenegaraan. Justeru, beliau menekankan isu ini memerlukan kajian terperinci sebelum dilaksanakan.

Bagi Kementerian Pendidikan, sebarang keputusan berhubung pengiktirafan UEC akan bersifat komprehensif dan holistik, tanpa menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Menterinya, Dr Maszlee Malik dalam penjelasannya menekankan Kementerian Pendidikan sedang melakukan kajian menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pengiktirafan UEC.

Jawapan umum

Kenyataan ini bagaimanapun dilihat sebagai 'hanya jawapan umum' oleh Felo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA) dan Insitut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

"Saya rasa itu kenyataan umum untuk menangani isu UEC apabila kementerian menyebut mahu membuat kajian holistik dan komprehensif, iaitu hendak ambil kira daripada segenap perspektif," katanya.

Apa yang berlaku sekarang tegasnya, pengiktirafan UEC didesak untuk disegerakan apatah lagi apabila Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menyebut akan menyelesaikan isu berkaitan pengiktirafan UEC sebaik sahaja beliau memulakan tugasnya di kementerian pada 9 Julai lalu.

"UEC boleh menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan kerana ia bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996 yang menegaskan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan sedangkan UEC dikendalikan dalam bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris," katanya.

Sebenarnya, persoalan yang perlu ditanyakan mengapa menghampiri 61 tahun ulang tahun kemerdekaan, bahasa Melayu masih berada dalam 'lingkaran api' yang kelihatannya semakin lama semakin panas dan kian menghakis kedudukannya?

Ramai daripada kita bersandarkan kedudukan bahasa Melayu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan kononnya kedudukan itu tidak akan diganggu-gugat. Namun realitinya hari ini, sejauh manakah pengaruh sandaran itu?

Kemelut ini secara automatik membuat kita terarah kepada DBP dengan persoalan apakah yang sudah dilakukannya selama ini? Cukupkah dengan penganjuran Bulan Bahasa Kebangsaan yang sudah pun dimulakan sejak 1960-an? Kalau jawapannya ya, mengapa senario ini berterusan berlaku?

Selama 60 tahun, orang Melayu selepas merdeka hidup dalam nostalgia. Sarjana bahasa dan sastera sebahagiannya gemar mengulang-ulang perihal sejarah bahasa Melayu dan kehebatan orang Melayu zaman silam, kedudukan bahasa Melayu yang pernah jadi lingua franca, kehebatan orang Melayu itu menguasai laut dan berada di merata dunia.

Pentadbiran negara terdahulu memperkenalkan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang memberi penekanan kepada bahasa Inggeris dengan tujuan memantapkan penguasaan bahasa itu dalam kalangan pelajar. Anehnya, memantapkan bahasa Inggeris bukan dengan memantapkan sukatan subjek itu, sebaliknya menekan pula subjek Sains dan Matematik.

Lalu PPSMI dibantah dan muncul pula Program Dwibahasa (DLP). Namanya lain, rohnya sama. Sehingga Ogos tahun lalu, RM4.6 juta diperuntukkan kepada DLP yang membabitkan 296 sekolah harian, 15 sekolah agama dan 68 sekolah berasrama penuh. Anehnya, sekolah vernakular tidak terkena pun tempias PPSMI atau DLP ini.

DAP, MCA pertahan UEC

Jadi, hari ini apabila gesaan pengiktirafan UEC dibuat, bukan sesuatu yang aneh. Malah, DAP dan MCA walaupun kelihatan berseteru dalam politik, mereka sepakat mempertahankan UEC.

Malah, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menyebut bahawa UEC menerima pengiktirafan ISO 9001:2008 dari Malaysia, China, United Kingdom dan Jepun.

Jadi, di mana kedudukan bahasa Melayu? Di mana semangat penyatuan orang Melayu? Sudikah masing-masing membuang ego politik dalam mempertahankan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?

Harus diakui cabaran yang menanti bahasa Melayu sangat besar dan berliku, ditambah lagi dengan kedudukan DBP yang dilihat kurang perkasa.

Misalnya, meskipun sudah dihentam menerusi Forum Memperkasakan DBP minggu lalu yang anehnya, menjemput orang luar DBP bagi menyingkap kelemahan DBP, agensi kerajaan itu masih senyap dalam kemelut UEC .

DBP juga ketika DLP hangat diperkatakan, tekun dan taat dengan arahan kementerian meskipun tindakan dan arahan itu bertentangan dengan Akta DBP yang dimaktubkan seperti disebut di perenggan atas. Tiada sedikit pun berdecit atau ada bisikan menentang daripada menara tinggi 31 tingkat itu.

Jadi, dengan isu UEC ini, persoalannya ke mana arah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tumpuan sekarang adakah DBP masih ada suara?

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X