Selasa, 28 Ogos 2018 | 10:59am
SEMANGAT sayangi negara harus disemai dalam diri setiap rakyat sejak kecil tanpa mengira agama dan bangsa.

Ketepi politik demi penyatuan jiwa 'merdeka'

“MERDEKA! Merdeka! Merdeka! Demikian laungan penuh semangat Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957.

Laungan keramat sebanyak tujuh kali yang kemudiannya diiringi oleh seruan azan oleh tokoh agama Islam, iaitu Datuk Hassan Azhari, satu simbolik berakhirnya penjajahan British ke atas Persekutuan Tanah Melayu dan sekali gus lahirnya sebuah negara baharu dengan Islam agama rasmi bagi Persekutuan.

Rakyat Malaysia kini sekali lagi menyambut ulang tahun kemerdekaan selepas menderita selama lebih 170 tahun dijajah oleh British.

Bagi ayah, ibu, datuk dan nenek kita yang sempat merasai betapa sukarnya kehidupan di bawah pemerintahan penjajah, tentunya sambutan kemerdekaan ini amat bermakna bagi mereka. Ini disebabkan mereka mampu membuat perbezaan di antara kehidupan di bawah penjajah dan setelah kemerdekaan.

Namun, bagi mereka yang lahir pada era pascakemerdekaan, erti kemerdekaan mungkin agak sukar untuk mereka hayati.

Ini disebabkan kehidupan selepas merdeka pasti sangat jauh berbeza kerana negara diperintah sendiri oleh pemimpin dari bangsa dan agama yang sama, bukan lagi dari bangsa berkulit putih yang asing bagi kita.

Tiada sekatan

Syariat bebas diamalkan, kemajuan negara berkembang pesat, ekonomi negara semakin kukuh, peluang melanjutkan pelajaran terbuka luas, perniagaan boleh diceburi tanpa sebarang sekatan.

Semua ini hasil usaha dan jerit perih generasi terdahulu yang berjuang dengan keringat dan darah sehingga tercapainya kemerdekaan.

Sesungguhnya kemerdekaan amat tinggi nilainya. Merdeka bermaksud bebas daripada perhambaan. Justeru, pemilihan tema Sayangi Malaysiaku sebagai tema Hari Kebangsaan ke-61 amat bertepatan kerana semangat untuk menyayangi negara, suatu yang harus disemai dalam diri setiap rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Semua rakyat Malaysia harus berganding bahu berusaha untuk mempertahankan kemerdekaan negara. Pinggirkan fahaman politik dan perbezaan pandangan kerana siapa pun kita, kita rakyat Malaysia.

Sambutan hari kemerdekaan haruslah dijadikan titik tolak ke arah penyatuan fikrah dan persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia. Pemimpin yang dipilih oleh rakyat dan diberi mandat untuk memerintah tidak seharusnya ‘menganaktirikan’ puak atau golongan yang tidak menyokong mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Adil dan saksama

Pemimpin apabila dipilih untuk memimpin negara, meskipun bukan dengan sokongan 100 peratus dari seluruh rakyat, tetap wajib melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan adil dan saksama kerana mereka bukan pemimpin bagi rakyat untuk parti tertentu saja, bahkan mereka pemimpin untuk semua.

Jangan sesekali pemimpin lupa bahawa kepemimpinan itu satu tanggungjawab, bukan satu kemuliaan. Nabi Muhamad SAW bersabda:

“Semua kamu ialah penjaga (pemerintah) dan setiap penjaga (pemerintah) akan disoal tentang mereka yang di bawah pemerintahannya” - Hadis riwayat Bukhari.

Bagi rakyat pula, kemerdekaan ini sepatutnya digunakan sebaik mungkin untuk sama-sama membangunkan negara tercinta.

Rakyat dan pemimpin haruslah berganding bahu meskipun berbeza fahaman politiknya. Jangan biarkan sentimen kemarahan serta dendam terus menular dalam diri.

Jadilah rakyat yang bijak. Rakyat yang mampu mengawal nafsu dan emosi demi negara tercinta.

Rakyat harus berani memberi pandangan, bahkan mengkritik dasar kerajaan tetapi harus dengan cara yang berhemah.

Ini membolehkan hubungan di antara rakyat dan pemimpin terus subur segar tanpa sebarang prasangka buruk yang akhirnya akan menghakis kepercayaan di antara kedua-dua pihak. Jika ini berlaku, pastinya amat merugikan kita semua.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X