Selasa, 25 September 2018 | 10:59am
Foto hiasan

Nikah usia muda jangan jadi sesalan

CADANGAN kerajaan untuk menaikkan had usia minimum perkahwinan daripada 16 kepada 18 tahun, disambut reaksi berbeza pelbagai pihak.

Ada yang melihatnya satu keperluan dalam usaha membendung perlanggaran hak asasi terhadap kanak-kanak, terutama menghalang pihak tertentu mengambil kesempatan mengeksploitasi golongan bawah umur untuk kepentingan peribadi.

Malah, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sudah pun meminda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) (Pindaan) 2018 mengenai had umur minimum perkahwinan bagi wanita Islam yang dinaikkan daripada 16 kepada 18 tahun.

Imbas kembali, isu ini mula mendapat perhatian apabila satu persatu kes perkahwinan gadis belasan tahun bawah umur dengan lelaki berusia didedahkan media, pertengahan tahun ini.

Jarak usia yang jauh berbeza menyebabkan perkahwinan bawah umur menjadi bualan masyarakat, selain ada pihak yang mendesak kerajaan bertegas menangani isu berkenaan.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencadangkan had usia minimum perkahwinan dinaikkan kepada 18 tahun bagi melindungi kesihatan, keselamatan dan hak kanak-kanak di negara ini.

Kertas kerja mengenainya akan disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum dibentang pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi mendapatkan sokongan.

Seks luar nikah

Ada juga pihak melihatnya dari perspektif agama, termasuk Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar yang berpendapat had minimum usia boleh berkahwin sebaliknya diturunkan kepada 14 tahun untuk perempuan dan 16 tahun bagi lelaki.

Hujah yang diberikan mufti berkenaan adalah untuk mengelak remaja terdedah kepada hubungan seks di luar nikah.

Ada logik juga hujah dikemukakan Bungsu kerana jika diamati lebih dalam, langkah menaikkan had usia minimum perkahwinan sebenarnya belum tentu mampu menyelesaikan isu perkahwinan kanak-kanak yang masih dalam skala kes terpencil.

Masalah utama yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan dan masyarakat sebenarnya adalah menangani seks luar nikah, terutama membabitkan pasangan muda Islam.

Ahli Dewan Negara, Senator Asmak Husin menyatakan, perkahwinan bukanlah jalan penyelesaian kepada masalah zina atau hamil luar nikah yang berlaku dalam kalangan remaja hari ini.

Isu lebih utama, katanya, ialah keperluan mewujudkan kesedaran kepada ibu bapa untuk sentiasa memberikan perhatian terhadap anak mereka.

“Ibu bapa sepatutnya perlu terus memberi perhatian kepada anak walaupun selepas anak mereka berkahwin untuk mengelak perceraian pada usia muda,” katanya.

Sehubungan itu, pencegahan pada peringkat awal perlu untuk mengelak remaja bawah umur terbabit dalam melakukan perbuatan tidak bermoral, termasuk seks luar nikah dalam usia masih muda.

Perkembangan media sosial yang banyak mempengaruhi gaya hidup masyarakat hari ini, termasuk golongan bawah umur memburukkan lagi keadaan.

Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Awal, pula mencadangkan agar penetapan had usia minimum perkahwinan di negara ini diselaraskan dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Katanya, undang-undang sedia ada yang perlu dilihat dan ada kaitan dengan cadangan menaikkan had usia minimum boleh berkahwin adalah kes rogol statutori yang bertujuan melindungi kanak-kanak bawah umur daripada menjadi mangsa rogol.

Ia memperuntukkan sebarang hubungan seksual di antara lelaki dan perempuan bawah umur 16 tahun sebagai rogol, tanpa mengambil kira sama ada dilakukan dengan kerelaan atau sebaliknya.

“Jika ada cadangan menggubal had umur minimum perkahwinan, had umur bagi kes rogol statutori juga perlu dikaji semula supaya undang-undang berkenaan selari,” kata Noor Aziah.

Beliau juga berpendapat, had usia perkahwinan bukan kebimbangan utama dalam isu ini, sebaliknya usaha untuk menghentikan perkahwinan di antara lelaki berusia dengan gadis belasan tahun yang perlu diberikan perhatian segera.

Jarak usia yang terlalu jauh di antara pengantin lelaki dengan wanita sehingga tiga kali ganda disifatkan sebagai sesuatu yang amat tidak sesuai dan perlu diberi perhatian.

Peranan ibu bapa

Islam tidak pernah meletakkan usia sebagai satu perkara wajib dalam menentukan syarat seseorang itu layak berkahwin.

Pada masa ini, undang-undang negara menetapkan had usia minimum perkahwinan bagi orang Islam ialah 16 tahun untuk perempuan dan 18 tahun untuk lelaki.

Pengecualian berkahwin bagi individu bawah umur bagaimanapun diberikan kepada mereka sekiranya mendapat kebenaran Mahkamah Syariah.

Rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) mencatatkan 5,362 permohonan kebenaran nikah bawah umur diterima daripada kanak-kanak Islam di seluruh negara sejak Januari 2013 hingga Disember tahun lalu.

Kebanyakan pasangan muda berkenaan dikaitkan dengan kes seks luar nikah sehingga hamil yang memaksa mereka memilih bernikah dalam usia awal.

Malah, usia baligh juga tidak boleh dijadikan ukuran bagi melayakkan seseorang itu berkahwin atau bersedia mendirikan rumah tangga jika tahap kematangan mereka untuk berfikir atau membuat keputusan dalam hidup masih diragui.

Seperti penjelasan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, sama ada perkahwinan itu wajar dilangsungkan atau sebaliknya selepas seseorang remaja baligh, bergantung kepada penilaian dan peranan ibu bapa yang lebih faham situasi anak mereka.

Dalam erti kata lain, ibu bapa sendiri perlu bijak membuat keputusan dalam menentukan masa depan anak supaya apa yang dipilih tidak memudaratkan atau mendatangkan penyesalan.

Berita Harian X