Isnin, 29 Oktober 2018 | 11:00am
- Foto Hiasan

Fahami faktor utama fenomena cuaca ekstrem

JABATAN Meteorologi Malaysia membuat pengumuman berkaitan musim monsun timur laut dengan jangkaan ia bermula pada penghujung Oktober tahun ini, sedikit awal pada kebiasaannya berbanding pertengahan November. Kebiasaannya musim monsun berpanjangan hingga Februari atau Mac dengan tempoh paling aktif dari November hingga Januari. Walaupun banjir biasa berlaku pada setiap musim monsun timur laut, kebimbangan penduduk adalah banjir besar yang melanda negeri di Pantai Timur.

Penduduk mengharapkan kejadian banjir besar sebelum ini seperti di Kelantan dan Terengganu pada Disember 2014 dan di Johor pada Disember 2006 serta Januari 2007, tidak akan berulang.

Mengikut laporan, banjir besar di Kelantan dan Terengganu pada Disember 2014 menjejaskan lebih 500,000 penduduk dan kerugian harta benda serta infrastruktur mencecah RM3 bilion.

Hakikatnya setiap kali musim monsun timur laut, kebarangkalian banjir besar berulang meningkat. Penduduk serta agensi berkaitan perlu bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Cuaca ekstrem sukar diramal

Pastinya jika banjir besar ini boleh diramal lokasi, tarikh dan masa ia berlaku jauh lebih awal, contohnya dua minggu lebih awal, persediaan boleh dibuat untuk memastikan impak kepada penduduk dan harta benda boleh diminimumkan.

Hakikatnya walaupun sistem ramalan iklim wujud, kecekapan ramalan jangka panjang adalah rendah. Bagi model ramalan cuaca jangka pendek, walaupun kecekapan secara relatif lebih tinggi, menurun secara drastik jika melebihi tiga hari dan hampir sifar bagi ramalan melebihi tujuh hari.

Begitu juga ramalan banjir, yang bergantung kepada maklumat daripada model ramalan cuaca, hampir tiada kecekapan bagi ramalan melebihi tiga hari.

Bagaimanapun, ramalan dalam jangka tempoh 24 hingga 48 jam boleh dianggap baik dan berguna kepada agensi berkenaan untuk bertindak dan membantu penduduk bersiap siaga. Sebarang amaran dikeluarkan berdasarkan ramalan dalam jangka masa ini mesti diambil perhatian secara serius oleh penduduk.

Fenomena cuaca ekstrem

Kefahaman mekansime fenomena cuaca ekstrem adalah penting dalam membantu peramal membuat ramalan. Atas sebab ini, mekanisme fenomena cuaca ekstrem di Pantai Timur, sudah lama menjadi subjek penyelidikan penulis dan kumpulan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Hasil penyelidikan penulis mendapati, faktor utama cuaca ekstrem dan banjir besar berlaku ekoran kewujudan kelembapan tinggi menjana sistem perolakan kuat.

Semasa musim monsun timur laut, tiupan kencang berkala angin luluran sejuk akibat pengukuhan sistem tekanan tinggi yang berpusat di Siberia, mengangkut kelembapan udara di atas Laut China Selatan, menuju ke arah Semenanjung Malaysia dan menyediakan bahan utama untuk perolakan kuat berlaku.

Bagaimanapun, terdapat beberapa faktor utama lain yang mengawal kekuatan perolakan dan kedudukan lokasi cuaca ekstrem serta banjir besar berlaku. Pada Disember 2014 banjir besar berlaku di bahagian utara Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu), manakala pada Disember 2006 dan Januari 2007 bahagian selatan (terutamanya Johor) yang mengalami banjir.

Seiring dengan pergerakan palung monsun ke arah selatan, kebarangkalian berlakunya banjir adalah tinggi di bahagian utara pada awal monsun dan sebaliknya, di bahagian selatan pada Januari.

Tetapi lokasi berlaku cuaca ekstrem ini juga dikawal oleh kedudukan lokasi fenomena cuaca yang dipanggil sebagai Pusaran Borneo, yang dicirikan oleh tiupan angin berarah melawan jam dan berskala sinoptik.

Pusaran Borneo yang berkedudukan sedikit ke utara dan berdekatan Semenanjung akan menyebabkan penumpuan maksimum kelembapan dan seterusnya akan menjana hujan lebat di bahagian utara Pantai Timur.

Di sebaliknya, Pusaran Borneo yang terletak di selatan antara Johor dan bahagian barat Borneo akan menyebabkan penumpuan kelembapan maksimum dan hujan lebat di bahagian selatan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Jika Pusaran Borneo ini berkedudukan jauh dari Semenanjung dan di atas Pulau Borneo, ia akan membantu mengangkut kelembapan ke kawasan berkenaan dan mengelakkan hujan lebat di mana-mana kawasan di Pantai Timur.

Faktor ketiga adalah fenomena Ayunan Madden–Julian, iaitu fenomena berkekerapan sekali dalam 20 hingga 60 hari dan dicirikan oleh sistem pusat tekanan rendah atmosfera yang bergerak dari Lautan Hindi ke barat Lautan Pasifik, merentasi kawasan Malaysia dan Indonesia. Pergerakan ini biasanya dibahagikan kepada lapan fasa.

Keadaan bertindan atau kejadian serentak tiga faktor ini, iaitu sistem Ayunan Madden-Julian ini berada pada fasa tiga (iaitu pusat tekanan rendah di sebelah barat Sumatera), diikuti tiupan angin luluran sejuk dan Pusaran Borneo berkedudukan hampir dengan Semenanjung Malaysia, akan menyebabkan penumpuan kelembapan mengukuh dan secara drastik menyebabkan hujan lebat dan banjir besar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Hujan lebat ketika banjir besar di Kelantan dan Terengganu pada Disember 2014 dan di Johor pada Disember 2006 dan Januari 2007, adalah manifestasi daripada kejadian serentak ketiga-tiga faktor ini.

Kajian saintifik perlu diteruskan

Penulis juga mendapati kejadian fenomena El Nino berkeamatan sederhana dan lemah menyebabkan kekerapan hujan ekstrem di bahagian selatan Semenanjung Malaysia meningkat.

Menurut Pusat Ramalan Iklim, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) yang dikeluarkan pada 22 Oktober 2018 lalu, El Nino sederhana kuat atau lemah diramalkan pada penghujung 2018 dan awal 2019.

Ini mungkin menyediakan keadaan yang sesuai untuk hujan lebat berlaku di bahagian selatan Semenanjung Malaysia. Peningkatan suhu dunia akibat pemanasan global juga meningkatkan jumlah kelembapan di udara dan boleh menjadi faktor penting jika pemanasan global berterusan.

Hasil kajian penulis mengenai peranan faktor mempengaruhi hujan ekstrem dan banjir besar ini diterbitkan dalam artikel di jurnal Geophysical Research Letters pada 2008.

Bagaimanapun, kajian saintifik perlu dipergiatkan bagi meningkatkan kecekapan dan keupayaan model ramalan meramal hujan ekstrem dan banjir besar kepada melebihi dua hingga tiga minggu lebih awal.

Penulis adalah Pengerusi, Pusat Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia; & Ahli Panel Pakar Saintifik, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)

Berita Harian X