Ahad, 13 Januari 2019 | 11:26am

'Ikut matlamat, bukan tangkap muat'

Hampir semua pelajar yang menerima tawaran ke Tingkatan Satu di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan SBP Integrasi (SBPI) sudah mendaftarkan diri di seluruh negara.

Daripada 6,606 pelajar yang berpeluang ke MRSM bagi sesi persekolahan 2019, sejumlah 4,492 pelajar yang mewakili 68 peratus adalah daripada keluarga berpendapatan rendah dalam kategori B40. Bagi Tingkatan Empat, 1,522 pelajar mengesahkan penerimaan tawaran yang mana 978 pelajar atau 64 peratus daripada keluarga B40.

Jumlah ini mencatatkan kenaikan 26 peratus untuk keluarga B40 berbanding pada 2018.

Ketika hari pendaftaran di MRSM, SBP dan SBPI baru-baru ini, banyak peristiwa meruntun jiwa dapat dilihat atau dilaporkan media, khususnya kelompok keluarga B40 yang datang membawa anak dalam serba kekurangan, terpaksa meminjam wang untuk urusan pendaftaran, selain ada yang terpaksa menebalkan muka menumpang bermalam di rumah saudara atau adik-beradik.

Ini belum lagi perbelanjaan keperluan anak di asrama dan meninggalkan sedikit duit poket untuk menampung keperluan di sekolah dan asrama. Ada keluarga B40 yang anak mereka mencatatkan keputusan cemerlang, awal-awal lagi sudah menyerah kalah dengan tidak menggalakkan anak membuat permohonan ke sekolah berasrama.

Bagi yang bersemangat untuk menghantar anak ke MRSM atau SBP, akhirnya tewas juga dan tidak mendaftarkan anak mereka ke Tingkatan Satu atau Tingkatan Empat selepas melihat surat tawaran dengan jumlah wang yang perlu disediakan, tidak termasuk perbelanjaan pengangkutan, makan-minum atau penginapan yang membabitkan ratusan ringgit.

Sesungguhnya pengalaman dan empati mengajar kita jadi dewasa. Gesaan bekas pelajar MRSM yang kini Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amirudin Hamzah supaya MARA menampung sepenuhnya kos pelajar daripada keluarga B40 yang berjaya ke MRSM bagi memastikan mereka tidak menolak peluang itu, menyerlahkan beliau dapat menyelami hati budi keluarga terbabit.

Apatah lagi, Amirudin pernah hidup bersama dengan pelajar kurang berkemampuan di asrama, kelas atau ketika ‘outing’. Kita mengharapkan perjuangan beliau untuk membawa masalah keluarga B40 ke mesyuarat Kabinet mendapat sokongan dan perhatian sewajarnya dalam membantu mengurangkan beban kewangan mana-mana pihak demi kepentingan pendidikan anak-anak kurang berkemampuan atau miskin.

Dalam pada peluang dan ruang dibuka untuk golongan B40, soal kualiti tidak seharusnya dikompromi. Malah, bukan langkah bijak apabila syarat kemasukan ke MRSM, SBP atau SBPI tidak lagi dipatuhi, sehingga ada murid yang mendapat 2A dalam mata pelajaran turut mendapat tempat di SBP.

Prestij SBP harus dijaga, apatah lagi matlamat asal penubuhan sekolah seumpama ini untuk melahirkan pelajar terbaik daripada yang cemerlang. Kemasukan anak keluarga B40 ke SBP berlandaskan ‘asalkan tidak memperoleh gred D’ berbanding syarat minimum 3A sebelum ini, seharusnya dinilai semula pada masa akan datang.

Jika tidak, SBP tidak lagi menjadi tarikan dan memberi motiviasi untuk anak-anak kita di peringkat menengah rendah menjejakkan kaki ke sekolah ‘terbaik’. Semoga matlamat penubuhan MRSM atau SBP yang lain bagi menambahkan bilangan Bumiputera profesional yang mampu berdaya saing di bidang sains dan teknologi dalam kalangan golongan kurang berkemampuan, terutama dari luar bandar terus dipertahankan.

Begitu juga kelemahan ketara yang ada sebelum ini, khususnya ada MRSM atau SBP seperti dikuasai kelompok elitis, pengenaan yuran keterlaluan sehingga ke tahap sekolah swasta dan peluang yang terhad untuk keluarga B40 diperbaiki.

Biarlah sesuatu pendekatan yang dilakukan kerajaan benar-benar mendatangkan hasil dan impak kepada keluarga terbabit. Sudah banyak pendekatan ‘tangkap muat’ oleh kerajaan terdahulu dalam membuka peluang pendidikan kepada kelompok sasaran, termasuk menempatkan kelompok tertentu di universiti swasta gagal, sebaliknya ia memberi untung kepada pihak yang satu lagi.

Malah, pendekatan masuk universiti oleh pihak tertentu atau institusi pengajian tinggi sebelum ini melalui ‘jalan mudah’ tanpa mengira kemampuan pelajar terbabit, termasuk dari segi kelayakan minimum dan penguasaan bahasa asing menyaksikan pelajar terbabit hanya bertahan beberapa semester dan kemudiannya menarik diri atau disingkir kerana gagal memenuhi syarat lulus ditetapkan.

Penulis adalah Pengarang Eksekutif Pengeluaran BH

3226 dibaca
Berita Harian X