Khamis, 18 April 2019 | 11:00am
PH mengetengahkan isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa khususnya skandal 1MDB. - Foto hiasan

Siapa kata kerajaan PH tak bela Melayu, Islam?

Parti Amanah Negara (AMANAH) yang berusia lebih kurang tiga tahun, ditubuhkan pada 16 September 2015 hasil daripada pergolakan yang berlaku dalam PAS. Tanpa menyebut sebab dan musabab berlakunya pergolakan itu, AMANAH yang berusia begitu muda sudah diuji dengan menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti di Sungai Besar, Kuala Kangsar dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sarawak.

Apa pun, AMANAH sejak dilahirkan sudah membuat gabungan dengan parti-parti seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. AMANAH menyedari bahawa pada peringkat awal ini kita tidaklah sekuat mana melainkan pergantungan kerjasama dengan parti rakan dalam Pakatan Harapan (PH).

Munculnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta rakan lain, kemudian bekerjasama dan menjadi komponen PH, menguatkan lagi gabungan ini dalam menghadapi Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

PH mengetengahkan isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa khususnya skandal 1MDB, menyebabkan rakyat meyakini PH dan menolak BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei 2018 lalu. Ditambah pula sokongan daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) dan beberapa individu di Sabah dan Sarawak, membolehkan PH mengambil alih pemerintahan negara pada PRU-14 lalu.

Kita sedar sebahagian besar orang Melayu khasnya di Semenanjung masih kuat berpegang kepada UMNO dan juga PAS. Golongan yang tidak berparti sama ada Melayu atau bukan Melayu khasnya memberi keyakinan kepada PH pimpinan Dr Mahathir, sekali gus memberi undi yang agak tinggi bagi membolehkan PH melebihi kerusi yang dipungut BN dan diiktiraf untuk memerintah negara 9 Mei lalu.

Isu kaum perangkap fikiran rakyat

Memang undi orang Melayu secara umumnya tidak begitu melonjak kepada PH. Antara faktor terutama adalah isu perkauman yang dimainkan UMNO dan PAS. Mereka membawa naratif bahawa yang menguasai, menerajui serta mempelopori PH adalah DAP yang kebanyakan pimpinannya adalah kaum Cina dan India.

Selepas Dr Mahathir (BERSATU) mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, diikuti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR) sebagai Timbalan Perdana Menteri, Lim Guan Eng (DAP) sebagai Menteri Kewangan, Tan Sri Muhyiddin Yassin (BERSATU) sebagai Menteri Dalam Negeri, saya (AMANAH) sebagai Menteri Pertahanan, dengan Gobind Singh Deo (DAP) sebagai Menteri Penerangan, maka kerajaan PH dituduh dikuasai oleh bukan Melayu.

Apatah lagi apabila Menteri Kewangan dan Menteri Penerangan yang secara tradisinya dikuasai UMNO, kali ini dikuasai menteri daripada DAP. Oleh itu, naratif bahawa kerajaan PH dikuasai DAP dan bukan Melayu, terus dicanangkan oleh UMNO dan PAS sehingga ia memerangkap fikiran rakyat Malaysia khasnya orang Melayu.

Persepsi ini berjaya menenggelamkan soal rasuah dan penyelewengan yang dilakukan kerajaan terdahulu, terutama oleh Najib melalui 1MDB dan rakan-rakannya. Malah UMNO dan PAS turut membuat propaganda bahawa orang Islam yang rasuah dan menyeleweng adalah lebih baik dan selamat untuk kita bernaung di bawahnya berbanding orang bukan Islam atau Melayu DAP, sekalipun mereka tidak menyeleweng.

Tanggapan ini sudah ditanam begitu lama (iaitu) ‘seburuk-buruk orang Islam yang zalim lebih baik daripada orang bukan Islam yang adil’. Soal konsep ini betul atau tidak, tidak menjadi persoalan. Namun, konsep ini ditanamkan oleh pengkuliah-pengkuliah di seluruh negara, mengambil hujah yang kononnya mereka pelajari daripada ajaran agama Islam itu sendiri.

Perjuangan PH

Maka naratif atau persepsi yang mengatakan bahawa kerajaan PH ditunggangi bukan Melayu, bukan Islam sudah diyakini ramai malah sudah dipegang oleh sebahagian besar orang Melayu dan orang Islam di Malaysia khasnya di Semenanjung, namun tidak di Sabah dan Sarawak.

Oleh itu, setiap kali berlaku pilihan raya kecil, terutama selepas peristiwa anggota bomba, Allahyarham Muhamad Adib Mohd Kassim yang terkorban dalam rusuhan di kuil di Selangor itu, menjadikan keyakinan orang Melayu khasnya yang terperangkap dalam hujah UMNO dan PAS semakin kuat dan semakin ketara.

Ia menjadi satu pegangan yang diterima pakai sekarang ini bahawa kedudukan orang Melayu, Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu tergugat di bawah pemerintahan PH. PH hendaklah memulakan perjuangan daripada persimpangan yang dicipta ini. Memang selepas hampir setahun pemerintahan PH berlalu, kita menghadapi masalah besar.

Harta Tabung Haji yang hampir RM80 bilion jika tidak diselamatkan, ia akan runtuh. Apabila Tabung Haji runtuh hasil daripada salah urus di bawah pemerintahan BN dahulu, ia akan menyebabkan Moody’s Rating terhadap Malaysia menurun, sekali gus menyebabkan pelabur asing akan menjauhi Malaysia.

Mahu tidak mahu, kerajaan PH yang Menteri Kewangannya adalah Guan Eng, berusaha dan berikhtiar untuk menyelamatkan institusi penting umat Islam dan Bumiputera, iaitu Tabung Haji. Walaupun dalam keadaan kekangan kewangan, Kementerian Kewangan bersetuju untuk mengeluarkan lebih RM17 bilion bail-out untuk menyelamatkan Tabung Haji.

Seluruh ahli AMANAH dan pejuang rakyat hendaklah memainkan isu ini, iaitu kerajaan PH walaupun Menteri Kewangannya adalah Cina DAP, tetapi dia sudah menyelamatkan institusi perniagaan Bumiputera dan tabung terbesar orang Islam.

Sebagai menteri, Guan Eng lebih melihat dari sudut keharmonian, kekuatan politik serta membantu Bumiputera dan orang Melayu Islam berbanding perkauman yang dimainkan oleh UMNO dan BN. Penerangan ini mesti dilancarkan habis-habisan oleh PH khasnya ahli AMANAH bahawa kerajaan PH tidak mengkhianati Melayu Islam dan Bumiputera seperti digambarkan oleh UUMNO/PAS.

Ya, barangkali kita akan mengambil masa sedikit untuk memberikan penerangan ini tetapi saya yakin menjelang pilihan raya umum tiga atau empat tahun akan datang, keyakinan orang Melayu serta umat Islam akan pulih kepada PH, khasnya agenda untuk menguatkan ekonomi dan menaik taraf kedudukan orang Melayu dan orang Islam di bawah PH.

Begitu juga FELDA, satu lagi institusi dikuasai orang Melayu yang turut berlaku penyelewengan sehingga meresahkan peneroka dan hampir menghancurkan institusi itu.

Penyelewengan yang dahsyat itu didedahkan melalui Kertas Putih FELDA oleh Datuk Seri Azmin Ali di Parlimen. Akibatnya, kerajaan PH di bawah Menteri Kewangannya, Guan Eng mengeluarkan lebih kurang RM6.2 bilion untuk bail-out dan menyelamatkan FELDA.

Kuatkan, patahkan serangan

Sepanjang pemerhatian saya, menteri bukan Melayu sama ada DAP dan PKR tidak langsung menentang usaha menyelamatkan institusi Bumiputera seperti Tabung Haji dan FELDA. Mereka bersama dalam Kabinet dan luar Kabinet membela dan ingin memartabatkan kembali institusi Bumiputera ini yang dilingkupkan oleh kerajaan terdahulu.

Inilah perlu kita gambarkan kepada rakyat khasnya orang Melayu dan juga orang Islam untuk mengatasi propaganda perkauman dan agama yang dibawa oleh UMNO, PAS. Satu lagi tabung yang juga dipelopori Bumiputera di mana pendepositnya adalah juga Melayu/Bumiputera adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Walaupun kerajaan tidak bail out LTAT tetapi usaha penstrukturan semula untuk menguatkan institusi ini sedang dilakukan agar ia berfungsi lebih hebat pada masa akan datang dan lebih penting menjaga keselamatan wang pendeposit.

Kita mesti terangkan kepada rakyat bahawa kerajaan PH adalah kerajaan yang membela Melayu, membela Islam, pada masa sama, berusaha untuk menentang rasuah dan penyelewengan yang dilakukan sesiapa sekalipun sama ada orang Islam atau bukan Islam.

Kuatkan dan patahkan serangan UMNO dan PAS bahawa kerajaan PH tidak membela Melayu dan tidak membela Islam. Tonjolkan pandangan kita yang membawa konsep Islam Rahmat Untuk Semua.

Kita pastikan naratif dan persepsi yang ditanam bahawa kerajaan PH tidak membela Melayu, tidak membela Islam, akan patah di tengah jalan.

Penulis adalah Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH)

6732 dibaca
Berita Harian X