Jumaat, 19 April 2019 | 11:00am
PELBAGAI reaksi masyarakat sejak pengumuman hibah Tabung Haji sebanyak 1.25 peratus baru-baru ini. - Foto hiasan

Fahami makna sebenar hibah

PELBAGAI reaksi masyarakat sejak pengumuman hibah Tabung Haji sebanyak 1.25 peratus baru-baru ini. Ada yang tidak percaya sambil membandingkan hibah keseluruhan 2017 pada kadar 6.25 peratus dan 2016 dengan 5.75 peratus.

Ada juga berkira-kira mengeluarkan semua simpanan di Tabung Haji kerana menganggap tidak lagi menjadi sumber pelaburan kompetitif. Tidak kurang kecewa, membandingkan dividen Bank Rakyat yang lebih tinggi berjumlah 13 peratus dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) 6.50 peratus untuk 2018.

Apa pun masyarakat Islam diajak memahami perkara sebenar berdasarkan fakta dan analisis pakar, agar tidak terkeliru dengan cakap-cakap netizen yang teruk menghentam Tabung Haji. Bak kata pepatah ‘jangan kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar.’

Secara umumnya umat Islam begitu cakna mengenai hukum hakam ibadah berbanding ekonomi dan muamalat, sehingga mudah dipengaruhi sentimen tertentu.

Lebih membimbangkan, ada umat Islam seronok bermuamalah dengan aktiviti perbankan riba yang haram, pada masa sama, mempersoalkan hibah atau hadiah yang bersifat sukarela diberikan Tabung Haji.

Hukum hibah

Perlu diketahui hibah dari segi bahasa bermaksud pemberian sama ada dalam bentuk benda seperti hadiah dan sedekah. Di sisi syarak, hibah bermaksud suatu kontrak yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain ketika hidup, tanpa mengharapkan sebarang balasan ataupun gantian.

Hukum hibah sunat dan sangat digalakkan dalam Islam sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.” (Surah al-Nisa’ ayat 4).

Dalam amalan perbankan dan kewangan Islam masa kini, hibah biasa diberikan pihak bank kepada pemilik akaun wadiah yang melaksanakan kontrak atau akad simpanan bersama institusi kewangan yang patuh syariah.

Pemberian ini bersifat sukarela dan budi bicara pihak bank kepada penyimpan. Jika difahami konsep wadiah asalnya sekadar akad simpanan yang tidak mendatangkan apa-apa keuntungan. Justeru, masyarakat Islam jangan sesekali salah dalam konsep hibah sehingga menganggap ia seolah-olah kemestian yang menguntungkan pelaburan.

Dalam konteks Tabung Haji, penubuhannya pada peringkat awal untuk menyediakan suatu tabungan terpelihara daripada unsur riba bagi umat Islam menunaikan fardu haji.

Prof Diraja Ungku Aziz adalah individu bertanggungjawab mencadangkan penubuhannya kepada pihak kerajaan melalui kertas kerja bertajuk ‘Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-Bakal Haji’ pada Disember 1959.

Cadangan diterima kerajaan dan Perbadanan Wang Simpanan Bakal Haji ditubuhkan. Pada 1969, perbadanan ini digabungkan dengan Jabatan Hal Ehwal Haji dan dikenali sebagai Lembaga Urusan dan Tabung Haji melalui Akta 8/1969. Pada 1995 ia dikenali pula Lembaga Tabung Haji berdasarkan Akta 535 Akta Lembaga Tabung Haji yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 1995.

Sokong pelan pemulihan

Di sudut pandang lain, umat Islam diajak melabur bagi meraih keuntungan berlipat ganda pada hari akhirat. Ini dapat dilaksanakan dengan menginfak lebih banyak harta ke jalan Allah SWT seperti berwakaf yang pahalanya tidak putus selama-lamanya.

Lebih daripada itu masyarakat Islam turut diajak mempertahankan institusi Tabung Haji sebagai satu daripada syiar Islam yang tidak terdapat di mana-mana negara Islam lain. Dengan jumlah deposit RM75.413 bilion pada 2018 dan 9.3 juta pendeposit, ia suatu yang sangat dibanggakan.

Sehingga kini, ia masih menjadi tabungan utama untuk kira-kira tiga juta umat Islam yang mendaftar untuk menunaikan fardu haji.

Justeru, umat Islam diajak terus menyokong pelan pemulihan Tabung Haji dan segala usaha terbaik untuk memantapkan pengurusan kewangannya, sekali gus menjamin keuntungan lebih baik pada masa mendatang.

Dalam hal ini pandangan pakar syariah dan kewangan Islam, Datuk Dr Daud Bakar, agar Tabung Haji menyediakan akaun wadiah untuk pendeposit dan mudharabah untuk pelabur, disokong agar kepentingan kedua-dua pihak dapat dipelihara.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Pasir Gudang, Johor

1265 dibaca
Berita Harian X