Rabu, 24 April 2019 | 11:00am

Tangkapan terbesar 'kejutan' Hari JPJ

EPISOD rasuah yang didakwa membabitkan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini, tidak langsung mengejutkan kerana boleh diibaratkan seperti epilog drama, yang hanya menunggu masa disudahkan.

Cumanya, episod kali ini mempunyai sedikit kejutan kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak ‘mengutip’ seorang dua, sebaliknya membawa pulang 23 penguat kuasa.

Ironinya jumlah tangkapan terlalu besar untuk ditampung lokap SPRM yang hanya mempunyai empat sel, menyebabkan semua yang ditangkap itu terpaksa dihantar ke lokap berpusat polis di Bayan Baru, Pulau Pinang.

Episod ini bagaimanapun hanya permulaan. SPRM memaklumkan angka keseluruhan 75 individu dikenal pasti, dengan sumber mendedahkan majoritinya pegawai kerajaan, kemungkinan lebih tinggi daripada gred 32.

Jika pada hari itu SPRM mengangkut 75 individu serentak, pastinya mahkamah negeri terlalu ‘meriah’ dengan kehadiran segerombolan individu berbaju jingga beratur sambil menundukkan kepala. Jika 30 orang pun sudah ‘riang ria’ apatah lagi 75.

Saya dimaklumkan sumber bahawa semua 75 disenarai itu sebenarnya mahu ditangkap serentak, namun faktor kekangan khususnya kekuatan pegawai SPRM menyebabkan tangkapan dipecah kepada tiga fasa. Pada tangkapan Sabtu lalu, 22 orang lagi ditahan dan terbaru, puluhan penguat kuasa JPJ lain sedang menunggu diambil keterangan.

Penahanan calar imej

Hal ini sudah cukup memeningkan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid. Beliau bukan orang asing dalam dunia rasuah, kerana sebelum menyertai JPJ, beliau adalah Ketua Penasihat Eksekutif di Pejabat Penasihat Undang-Undang SPRM dan bekas Ketua Unit Integriti dan Naib Presiden Tadbir Urus dan Pengurusan Risiko sebuah syarikat milik kerajaan.

Penahanan segerombolan anak buahnya itu sudah tentu mencabar kewibawaannya yang dilihat sentiasa membawa roh ‘SPRM’ dalam pentadbiran agensi itu. Penahanan terbesar membabitkan penguat kuasa negara ini sudah tentu mencalar imej JPJ. Lebih menyakitkan, tangkap dibuat selepas mereka menyambut Hari JPJ pada 1 April lalu.

Pada hari pertama penahanan dibuat SPRM pun, dikatakan sambutan Hari JPJ sedang berlangsung di pejabat agensi itu di Pulau Pinang dengan kehadiran kenamaan, termasuk Ketua Pengarahnya sendiri.

Meskipun tidak ramai mengetahui kewujudan Hari JPJ, bagi keluarga agensi itu, ia mungkin sambutan dinanti-nanti dengan kemungkinan akan ada pengumuman baharu. Namun, tahun ini, ia dikejutkan dengan penahanan besar-besaran itu.

Saya sempat bertanyakan kepada Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, kenapa ia diadakan serentak dengan sambutan Hari JPJ dan beliau mengesahkan ia kebetulan dan bukannya sengaja dilakukan.

Tambah Azam, setiap operasi dijalankan SPRM memerlukan siasatan dan risikan mendalam khususnya berkaitan aliran wang rasuah yang diterima individu. Bagi kes JPJ ini, ia berlainan daripada kes rasuah lain, kerana wang habuan tidak dibelanjakan untuk membeli aset mewah, sebaliknya dibelanjakan untuk berhibur.

Saya ingin sekali tekankan terhadap kerjasama yang ditunjukkan JPJ dalam operasi ini dan pujian terhadap Shaharuddin yang ternyata benar-benar membawa ‘roh’ SPRM dalam agensi itu apabila memberi respons cukup baik seawal kes diselongkar pada umum, termasuk mengadakan sidang media tergempar.

Cara Shaharuddin membuktikan bahawa beliau benar-benar mahu memberi komitmen dalam memerangi rasuah dalam agensi itu dan memberi peluang sepenuhnya kepada SPRM untuk melakukan penyiasatan.

Kaji semula standard kerja

Sebenarnya, dalam operasi membabitkan penguat kuasa, ia perlu dilaksana berhati-hati kerana setiap agensi penguatkuasan boleh diibaratkan seperti adik-beradik yang memerlukan satu sama lain. Andai tersilap langkah operasi sebegini boleh mengakibatkan mereka saling bermasam muka.

Saya sendiri difahamkan, operasi SPRM minggu lalu sebenarnya tidak akan berjaya jika JPJ sendiri gagal memberi kerjasama dan berkolaborasi.

Menyentuh kolaborasi antara agensi, ia sebenarnya penting kerana masing-masing tertakluk bidang kuasa tersendiri dan jika mahu harapkan satu agensi seperti SPRM sahaja bertindak, tidak mustahil isu rasuah ini berulang dan tidak pernah selesai.

Kes mendapat habuan dan ‘tutup sebelah mata’ oleh penguat kuasa bukanlah perkara baharu, sebaliknya berlaku di semua agensi. Ia adalah soal di mana penguat kuasa diberi peluang serta mendapat peluang rasuah.

Jika masih ada yang tidak mempunyai kesedaran dan bersikap tamak, isu rasuah tidak akan pernah selesai. Pada JPJ, sudah sampai masanya untuk mengkaji semula standard kerja yang ada dengan menampilkan pelan strategik menghapus dan menutup semua peluang rasuah.

JPJ harus ‘bermuhasabah’ di mana silapnya sistem sedia ada dan lakukan transformasi kerana rasuah seperti di Pulau Pinang itu tidak hanya berlaku di negeri itu sahaja. Pastinya risiko turut terhidang di negeri lain, cuma modus operandi sahaja berbeza.

Berita Harian X