Jumaat, 26 April 2019 | 11:00am
Seorang askar mengawal di hadapan Gereja St Anthony's Shrine, beberapa hari selepas serangan bom bunuh diri ke atas gereja-gereja dan hotel-hotel mewah di seluruh pulau pada Ahad, di Colombo, Sri Lanka. - Foto REUTERS

Naratif serangan di Christchurch, Sri Lanka kaitkan Islam

Dunia sekali lagi dikejutkan dengan kekejaman. Kali ini pengeboman berangkai membabitkan beberapa gereja dan hotel di Sri Lanka ketika perayaan Easter Sunday membunuh sehingga 300 orang.

Di Sri Lanka, penduduk Kristian hanya minoriti iaitu 7.4 peratus, manakala 70 peratus lagi beragama Buddha. Sebelum ini pernah terjadi ketegangan dan pembunuhan membabitkan orang Islam oleh pelampau Buddha.

Semua juga maklum mengenai perang saudara penduduk Sinhala Buddha dan Harimau Pembebasan Tamil Ealam (LTTE) selama 30 tahun. Namun, hubungan antara penduduk Kristian dan Islam adalah baik sepanjang masa tanpa sebarang konflik.

Tragedi terbaru di Sri Lanka berlaku ketika dunia masih dikejutkan dengan serangan ekstremis Kristian di Christchurch yang membunuh 51 orang Islam di Masjid Al–Noor dan Linwood Mosque.

Insiden di Christchurch menampakkan ciri keganasan spontan kumpulan kecil ekstremis kulit putih Kristian. Mereka dipengaruhi propaganda, terutama media anti-Islam dan antipendatang asing ke negara itu kerana berasakan kononnya mereka penduduk asal.

Kajian One Path Network ke atas lima akhbar utama di Australia pada 2017 mendapati 3,000 rencana mengaitkan Islam dengan perkataan keganasan, ekstremis dan kepengganasan. Purata lapan rencana sehari dengan 152 rencana terbabit disiarkan di muka depan atau purata satu rencana muka depan setiap dua hari.

Usaha terancang kaitkan Islam dengan keganasan

Ini membuktikan ada usaha terancang dan jahat untuk mengaitkan imej Islam dan Muslim dengan keganasan.

Islamophobia Register of Australia merumuskan, kadar jenayah kebencian agama dan bangsa meningkat dengan mendadak apabila media melaporkan berita negatif secara berterusan.

Insiden Christchurch, mengubah dengan drastik imej Islam yang sebelum ini cuba dilakarkan secara cukup sinis oleh media yang dikuasai kumpulan zionis. Kesannya, dunia mula bersimpati dengan umat Islam.

Mereka menerima Islam sebagai agama keamanan dan kasih sayang. Masyarakat bukan Islam bukan sahaja di New Zealand, tetapi seluruh dunia mula cuba mempelajari dan memahami Islam. Ini menggerunkan musuh Islam.

Rangkaian insiden (lapan serangan yang hampir serentak) di Sri Lanka pula mempunyai ciri-ciri serangan terancang dengan rapi dan dikoordinasi dengan ketepatan luar biasa, hanya boleh dilakukan tentera atau ejen perisik kebangsaan seperti Mossad, Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan MI5.

Hampir mustahil untuk kumpulan pinggiran kecil melaksanakan operasi yang sedemikian sulit.

Siapakah yang mendapat faedah daripada tindakan ini? Bukan orang Kristian yang menjadi mangsa. Sudah tentu bukan orang Islam yang mungkin akan dituduh dan terus dikaitkan dengan keganasan. Ditambah pula, orang Kristian dan Islam di Sri Lanka selama ini hidup rukun damai.

Seorang rakan Muslim dari Afrika Selatan yang kebetulan melawat Malaysia, ketika diberitahu insiden di Sri Lanka, terus berkata: “Mereka tidak menunggu lama. Cemas dengan simpati dan sokongan sedunia kepada umat Islam selepas tragedi Christchurch, mereka terus membuat sesuatu untuk memastikan naratif yang mengaitkan Islam dan Muslim dengan keganasan terus hidup.”

Seorang Profesor dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berpendapat, “Pengeboman ialah untuk mengajar Sri Lanka kerana terlalu akrab dengan China dari segi ekonomi dan ketenteraan. Kemudian disalahkan golongan wahabi dan Islam sebagai strategi serampang dua mata. Tangan jahat Netanyahu (Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu) boleh dilihat.”

Percaturan agensi perisik

Strategi false flag operation’(operasi bendera palsu) bukan perkara baharu dalam percaturan agensi perisik kebangsaan. Banyak contoh didedahkan bekas ejen perisik. Satu tindakan keganasan dilakukan mereka dan kemudian disalahkan kumpulan lain dengan bukti direka untuk tujuan dan tindakan tertentu.

Media yang dikuasai juga bersubahat untuk pastikan naratif diterima majoriti, walaupun cerita dan hujahnya tidak masuk akal.

Keganasan di Christchurch dan Sri Lanka ada perbezaan ketara. Namun, kedua-duanya membawa kepada pembunuhan dan kerosakan besar serta mendalam. Tidak ada keganasan boleh dijustifikasikan. Kepengganasan tidak mengenal agama.

Kalau keganasan dilaksanakan individu atau kumpulan serpihan kecil, punca dan pelaku boleh dikenal pasti dengan lebih mudah. Namun, kalau ia dilaksanakan agensi perisik yang disokong penuh kerajaan tertentu, amat sukar untuk merungkai kebenaran berlaku kerana banyak halangan akan diletakkan supaya kebenaran tidak akan timbul.

Media pula berperanan kritikal untuk menimbulkan kebenaran atau menenggelamkannya.

Penulis adalah Pengarah Eksekutif Gabungan Perikatan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN)

Berita Harian X