Ahad, 9 Jun 2019 | 10:00am
Latheefa ketika menandatangani buku log hari pertama di Ibu Pejabat SPRM. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Latheefa perlu dilihat bebas, telus, adil

Latheefa Beebi Koya, wanita pertama dilantik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkuat kuasa 1 Jun lalu, memulakan tugasnya kelmarin dengan mesej keras, iaitu akan membanteras rasuah sehingga masyarakat alah kepada ‘najis’ itu.

Di sebalik senyuman ketika menandatangani buku log hari pertama di Ibu Pejabat SPRM, fikiran Latheefa sudah tentu mengenai tugas berat menantinya, terutama untuk memenuhi harapan Perdana Menteri dan negara, bantahan pelbagai terhadap pelantikannya, selain bagaimana untuk meyakinkan seluruh warga SPRM beliaulah calon terbaik memimpin mereka.

Pelantikannya mencetuskan kontroversi, termasuk daripada pemimpin dan ahli bekas parti politiknya sendiri, PKR sehingga ada yang sudah memulakan petisyen membantah pelantikannya itu.

Kritikan lebih terarah kepada proses pemilihannya. Pengkritik tidak berpuas hati keputusan dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa merujuk kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Kabinet mahupun Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama (PSC), selain dikatakan bertentangan manifesto PH.

Malah, ada dakwaan pelantikan peguam dan aktivis hak kemanusiaan itu bertentangan dengan Akta SPRM, selain pandangan rasis dikaitkan tempat kelahirannya di Kerala, India. Sebahagian isu dijawab Dr Mahathir pada 1 Syawal lalu, iaitu kuasa melantik adalah prerogatif Perdana Menteri.

Bagi beliau tidak timbul soal mengapa Majlis Presiden PH atau Kabinet atau Parlimen tidak dimaklum. Pendirian Dr Mahathir dalam isu pelantikan ketua pelbagai agensi kerajaan sudah dilihat ketika beliau melantik Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Speaker Dewan Rakyat.

Manifesto PH bukan ‘kitab suci’

Bagi Dr Mahathir manifesto PH bukan ‘kitab suci’ yang wajib dipatuhi, ia hanya panduan. Mengenai peranan Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama, adalah jelas jawatankuasa itu tiada status perundangan dan Perdana Menteri tidak terikat untuk merujuknya.

Peguam kanan dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram menjelaskan Parlimen tiada kuasa dalam pelantikan Jawatan Awam Utama, hanya perlu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri atau kabinet.

Ada juga mesej tular yang mendakwa pelantikanya bertentangan Seksyen 5(1) dan 5(2) akta agensi itu. Kekeliruan ini dijawab menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang, Datuk Liew Vui Keong. Seksyen 5(1) menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh melantik sesiapa sahaja atas nasihat daripada Perdana Menteri. Seksyen 5(2) menyatakan jika individu dilantik daripada perkhidmatan awam, pelantikan mengikut tempoh masa yang masih dalam perkhidmatan awam.

Jawapannya menjelaskan dua perkara yang dipertikaikan, iaitu Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak semestinya dari kalangan kakitangan awam dan Perdana Menteri boleh melantik sesiapa sahaja yang layak.

Latheefa bukan individu pertama dari kalangan bukan perkhidmatan awam atau SPRM dilantik ke jawatan itu. Sejak Badan Pencegah Rasuah (BPR) ditubuhkan pada 1967 (pada 2009 ditukar nama kepada SPRM), 10 daripada 13 ketua agensi itu adalah orang luar.

Berhubung isu pelantikan bersifat politik, Latheefa menjelaskan beliau sudah keluar PKR, sebaik menerima surat pelantikan. Namun, cabaran paling besar menanti Latheefa bukan kontroversi proses pelantikannya, tetapi penerimaannya oleh pegawai dan kakitangan SPRM itu sendiri.

Mampukah beliau memenangi hati dan meyakinkan mereka untuk bergerak bersamanya sebagai satu pasukan dan mengharungi segala persoalan yang timbul?

Sebagai pemimpin agensi yang amat penting, beliau dan SPRM perlulah dilihat bebas, telus dan adil dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Azam Baki mewakili seluruh warga SPRM sudah menyatakan komitmen untuk memberi sokongan dan dukungan kepadanya.

Saya harap ini akan memberi keyakinan kepada Latheefa untuk bermula dengan langkah kanan.

Berita Harian X