Khamis, 20 Jun 2019 | 11:00am
PERKAMPUNGAN Orang Asli Suku Batek, di Kampung Kuala Koh. - Foto Fathil Asri

Kesedaran program imunisasi elak tragedi Kuala Koh

TEKA-TEKI lebih dua minggu mengenai laporan awal kematian yang disangka agak ‘misteri’ ke atas kumpulan Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang Kelantan akhirnya terjawab. Punca kematian mereka terungkai dengan penemuan ujian makmal yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas mangsa.

Kematian mereka disahkan akibat wabak demam campak atau juga dikenali sebagai ‘measles’.

Sebanyak 37 kes demam campak itu disahkan melalui ujian makmal manakala keputusan ujian makmal yang lain seperti tuberkulosis, meliodosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif.

Sehingga semalam laporan yang dikeluarkan oleh KKM, daripada 112 kes Orang Asli itu, tiga kematian direkodkan, dengan mangsa terbaharu seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun 6 bulan akibat komplikasi demam campak.

Vaksin dan Imuniti Kelompok Maklumat yang diperoleh pasukan perubatan KKM mengenal pasti bahawa faktor penyumbang kepada penularan jangkitan demam campak dalam komuniti Orang Asli ini akibat liputan imunisasi ‘measles’ yang rendah iaitu hanya 61.5 peratus bagi suntikan dos pertama vaksin Measles-Mumps-Rubella (MMR) dan 30 peratus bagi suntikan dos kedua.

Peratusan liputan imunisasi dalam kalangan Orang Asli ini didapati jauh lebih rendah daripada sasaran iaitu 90 hingga 95 peratus liputan imunisasi untuk mencapai ‘imuniti kelompok’ (herd immunity) apabila vaksin diberikan kepada komuniti itu.

Imuniti kelompok berlaku apabila sesuatu agen infektif (atau jangkitan) tidak dapat memasuki atau menyebar dalam kalangan suatu kelompok komuniti oleh kerana sebahagian besar daripada anggota komuniti berkenaan mempunyai imuniti dan terlindung daripada penyebab jangkitan itu.

Cara terbaik mencapai imuniti kelompok adalah melalui program vaksinasi, dan sasaran sekurang-kurangnya 90 hingga 95 peratus liputan perlu dicapai sepertimana disarankan oleh pihak berwajib kesihatan.

Kurang kesedaran

Justeru, keseluruhan ahli dalam mana-mana komuniti bertanggungjawab untuk memastikan suntikan vaksinasi diterima dan mereka juga harus mengikut dos susulan vaksinasi yang ditetapkan. Pada waktu sama, didapati suntikan dos kedua MMR dalam kalangan Orang Asli Batek ini hanya sekadar 30 peratus.

Ini bermaksud, kebanyakan anak serta ahli keluarga Orang Asli ini tidak menerima vaksin MMR dan tidak mengambil secukupnya dos susulan vaksin MMR. Antara komplikasi yang sering dikaitkan dengan wabak demam campak termasuklah radang paru-paru, jangkitan telinga, radang mata dan otak serta juga mengakibatkan kematian.

Jika ditelusuri, komplikasi sedemikian agak serius dan boleh membawa maut akibat tidak menerima rawatan awal dan sistem imuniti badan tidak mampu menghalang jangkitan virus itu.

Antara penyebab utama menyumbang kepada wabak ini ialah kerana kurangnya kesedaran terhadap kepentingan suntikan vaksinasi dan cara hidup suku kaum Batek ini yang kerap berpindah-randah dari suatu tempat ke tempat yang lain.

Perpindahan ini diakibatkan oleh faktor kumpulan Orang Asli perlu mencari sumber makanan dari hutan, faktor sumber air, keluarga terdekat dalam kalangan kelompok yang sama, dan mereka juga sering melawat suku-suku yang sama berada jauh di pedalaman.

Dengan jumlah kes kematian yang besar serta masih ramai dijangkiti wabak campak, ternyata wabak demam campak ini dikategorikan sebagai serius dan memudaratkan keseluruhan komuniti Orang Asli.

Penularan infeksi campak ini berlaku akibat kontaminasi melalui air ludah atau cecair badan daripada pesakit campak. Jadi, mereka yang sihat juga akan terdedah kepada penyakit demam campak.

Mengambil pengajaran

Wabak penularan demam campak ini boleh dicegah dengan pengambilan suntikan vaksin seperti disarankan oleh pihak berwajib kesihatan negara kita. Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah memberi peringatan dan membuat saranan pentingnya pengawalan kes kematian akibat penularan wabak, dan campak ialah satu dari empat penyakit yang berisiko tinggi mengakibatkan komplikasi kematian.

Pihak berwajib melalui pasukan perubatan KKM serta JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) perlu mengambil langkah lebih tegas dan efektif supaya penularan virus ini dapat dikawal dan dihadkan. Kejadian wabak kali ini dengan jumlah kematian yang besar akibat komplikasi campak ini dikategorikan serius.

Apa yang berlaku ini seharusnya menyedarkan semua pihak. Komitmen pihak kerajaan untuk memastikan masyarakat di negara kita menerima program imunisasi perlu disokong oleh semua pihak. Ini terbukti dengan pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP) yang diperkenal pada awal tahun 1950 dan statistik insiden ke atas kes-kes penularan penyakit semakin berkurangan.

Sebagai rujukan untuk kes berkaitan campak, Malaysia sudah memulakan Program Imunisasi Campak Kebangsaan (PICK) sejak 1982, dan didapati insiden jangkitan campak menurun daripada 65.6 bagi setiap 100,000 populasi kepada 2.7 bagi setiap 100,000 pada 2002.

Pada 2004, Kempen Imunisasi Campak Kebangsaan (KICK) dua dos vaksin diperkenalkan dalam bentuk suntikan MMR kepada kanak-kanak.

Namun begitu, dengan beberapa laporan semasa berkaitan dengan penolakan suntikan vaksin oleh pihak tertentu dan ibu bapa kanak-kanak perlu diberi perhatian yang lebih serius. Kita perlu mengambil pengajaran supaya kejadian yang berlaku di Kuala Koh tidak berulang semula.

Penulis adalah Penolong Pengarah Institut Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (IRDI), Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) / Timbalan Presiden Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (IMEDIK)

Berita Harian X