Ahad, 7 Julai 2019 | 10:31am
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Utama agenda pembaharuan berbanding peralihan kuasa

SEKURANG-KURANGNYA 10 kali Tun Dr Mahathir Mohamad secara terbuka menyebut Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penggantinya, sejak hari pertama Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan sehingga setahun kemudian, baru-baru ini.

Perdana Menteri mengulangi perkara itu, termasuk pada forum di New York dan London, masing-masing pada September dan Oktober 2018. Ia turut diulangi di Brunei dan terbaru di Tokyo serta Bangkok tahun ini.

Semua jawapannya dalam isu Perdana Menteri Kelapan termasuk ketika sidang media di dalam negara sama ada selepas mesyuarat PH, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) atau majlis keramaian tertentu, adalah konsisten.

Ini sejajar persetujuan pimpinan PH dianggotai PKR, DAP, BERSATU dan Parti Amanah Negara (AMANAH) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu untuk melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Ketujuh dan selepas itu, Anwar mengambil alih.

Cuma yang menjadi tanda tanya ialah bila ia akan berlaku.

Anwar sendiri mengakui tersinggung dengan media yang didakwa sering mengutamakan laporan mengenai proses peralihan jawatan antara beliau dengan Dr Mahathir kerana baginya yang lebih mustahak ketika ini adalah usaha melaksanakan janji PH kepada rakyat, berbanding proses peralihan kuasa.

“Saya kadangkala rasa tersinggung juga dalam penulisan (media) kerana mereka lebih utamakan soal alih kuasa ini, sedangkan keutamaan sepatutnya adalah kepada perkara kita untuk tunaikan janji.

“Saya nak ulang, (soal jadi Perdana Menteri) ini tidak jadi masalah pada saya, yang penting PH dengan dasarnya untuk jaga kepentingan rakyat, tolak penyalahgunaan kuasa dan beri ruang pada Dr Mahathir untuk mengemudi negara pada waktu sukar ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Wisma PKR Pulau Pinang di Bayan Baru, baru-baru ini.

Berdasarkan ulasan konsisten Dr Mahathir dan keyakinan Anwar untuk Dr Mahathir memenuhi janjinya itu, semacam ada sesuatu yang tidak kena apabila soal peralihan kuasa ini masih terus menjadi tumpuan media tertentu, terutama media asing.

Apakah ada muslihat di sebaliknya? Kenapa mahu diberi tekanan kepada yang akan melepaskan dan yang akan mengambil alih jawatan itu.

Kita akui bagi pelabur dan peniaga soal kestabilan dasar adalah penting. Semestinya peralihan tampuk kepemimpinan membawa banyak soal berhubung kemungkinan perubahan dasar.

Kebimbangan ini adalah nyata dan mungkin sedikit sebanyak memberi kesan kepada sentimen pelaburan. Sebab itu Dr Mahathir dan Anwar sering mengadakan pertemuan. Sekurang-kurangnya pertemuan ini dapat memberi persepsi mereka sekata dalam agenda besar negara.

Apa sekalipun, kedua-duanya adalah daripada PH, gabungan parti yang berjanji untuk membawa pembaharuan kepada negara.

Rakyat yang sudah serik dengan berleluasanya penyalahgunaan kuasa sebelum ini, menuntut agenda pembaharuan ini.

Sesiapa sahaja yang menjadi pemimpin - baik Dr Mahathir mahupun Anwar atau sesiapa sekalipun tidak harus lebih besar daripada agenda pembaharuan ini.

Berikutan agenda itulah kerajaan rakus Najib Razak-Zahid Hamidi ditumbang rakyat dan PH diberi amanah memperbetulkan sistem yang sudah rosak teruk.

Walaupun belum terbukti, pendedahan demi pendedahan dibentangkan dalam beberapa kes membabitkan rasuah dan salah guna kuasa yang dibicara ketika ini, membuat kita terasa amat malu.

Betapa mudahnya institusi negara diperkotak-katik semata-mata untuk wang ringgit.

Tidakkah mereka ini yang menggelar diri masing-masing pejuang agama, bangsa dan negara berasa malu. Kalau tidak berasa malu masakan mereka masih tersenyum-senyum kepada jurugambar di luar kamar mahkamah dan tidak menundukkan kepala kerana didakwa.

Kita menolak rejim sebelum ini kerana kita berpegang kepada tuntutan agama yang menolak kefasikan. Harapan kita tidak lagi akan muncul pemimpin yang akan menggadai masa depan bangsa dan negara semata-mata untuk kepentingan diri dan keluarga.

Berikutan itu, hentilah spekulasi berhubung peralihan kuasa. Mereka yang terus membuatnya, hanya yang mempunyai kepentingan sempit diri masing-masing yang tiada kaitan langsung dengan agenda pembaharuan.

Sumber rapat dengan Putrajaya memberitahu penulis, apa yang berlaku atau dilakukan oleh orang tertentu itu, tidak relevan kerana Dr Mahathir sudah membuat keputusannya dan Perdana Menteri dikenali sebagai seorang yang menepati janjinya.

Penulis adalah Pengarang Bersekutu (Rencana/Mingguan) Berita Harian

Berita Harian X