Isnin, 22 Julai 2019 | 11:01am

Hanya AirAsia berbaloi beli MAS

Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) sekali lagi muncul di dada akhbar. Kali ini berhubung usaha beberapa pihak yang berminat membeli syarikat penerbangan nasional itu.

Hairan juga kita melihat perkembangan ini. Bukankah Malaysia Airlines masih mencatat kerugian?

Di manakah nilai yang mereka lihat dalam Malaysia Airlines yang tidak memiliki banyak aset, bahkan liabilitinya juga agak tinggi.

Kata seorang pemerhati industri: “Dalam industri penerbangan, apabila pintu pesawat ditutup, setiap kerusi yang tidak diisi menjadi basi.”

Dan sejak beberapa tahun lalu, banyak kerusi ini kosong berikutan keadaan terlebih bekalan atau overcapacity. Kalau diisi penuh pun ia dijual pada harga yang tersangat rendah sehingga mengecilkan margin keuntungan syarikat penerbangan terbabit.

Bayangkan negara kecil seperti Malaysia mempunyai empat syarikat penerbangan - Malaysia Airlines, AirAsia, AirAsia X dan Malindo.

Berikutan itu, menurut sumber industri kadar bekalan kerusi berbanding penumpang atau seat-to-pax ratio pada 2017 ialah hampir 1.8X di hab Kuala Lumpur. Hab utama lain di ASEAN juga mengalami kadar seat-to-pax yang tidak memberangsangkan seperti Singapura 1.69X, Bangkok 1.62X dan Jakarta 1.54X.

Keadaan ini boleh bertambah buruk pada masa depan kerana setiap syarikat penerbangan di negara ini sudah banyak menempah pesawat baharu bagi menambah pesawat masing-masing.

Kadangkala terfikir juga kenapa ada yang masih berminat untuk melabur dalam syarikat penerbangan. Industri ini bukan sesuatu yang mudah untuk diuruskan.

Pelbagai faktor boleh merumitkan perniagaannya seperti turun naik harga minyak, mata wang, kemalangan, tercetusnya perang, kemasukan peserta baharu dan perubahan peraturan penerbangan.

Apakah mereka yang berminat membeli Malaysia Airlines ini, memang tergolong dalam kelompok yang kaya raya? Mereka yang tidak risau sekiranya berbilion ringgit duit mereka hangus.

Bagi saya, hanya AirAsia yang berbaloi mengambil alih Malaysia Airlines. Logiknya agak mudah, syarikat tambang murah itu kini menguasai lebih 60 peratus daripada pasaran tempatan dan sekiranya ia menambah 20 peratus penguasaan pasaran yang dimiliki Malaysia Airlines, AirAsia akan dapat menentukan harga tiket di pasaran, agar ia memberi margin keuntungan berpatutan.

Ini dapat dilakukannya kerana di negara ini tidak ada peraturan yang menetap harga tiket minimum atau maksimum, seperti di Indonesia dan Jepun.

Di Indonesia misalnya, ditetapkan harga lantai dan harga siling tiket, iaitu perbezaannya tidak melebihi 30 peratus (dinaikkan 35 peratus baru-baru ini).

Ini antara lain menyebabkan harga tiket satu hala dari Medan ke Jakarta lebih mahal daripada Medan-Kuala Lumpur-Jakarta, iaitu kira-kira RM451 berbanding RM406. Begitu juga bagi sektor Medan-Surabaya, RM530 berbanding RM450.

Ini membayangkan harga tiket penerbangan membabitkan sektor Malaysia amat murah ekoran persaingan sengit harga tiket dalam negara yang tidak dikawal selia oleh peraturan harga siling atau lantai, seperti di Indonesia dan banyak negara lain.

Namun, setakat ini AirAsia bukan dalam kalangan pihak yang disenaraikan berminat untuk membeli Malaysia Airlines. Itu yang sukar difahami.

Apakah, syarikat yang mahu mengambil alih Malaysia Airlines sudah letak syarat peraturan harga lantai-siling diperkenalkan kerajaan sebelum mereka mengambil alih Malaysia Airlines?

Jika tidak, kita percaya mereka akan berdepan masalah paling besar dihadapi peserta industri penerbangan sekarang iaitu perang harga tiket yang tidak berkesudahan.

Penulis adalah Pengarang Kumpulan BH

5347 dibaca
Berita Harian X