Rabu, 31 Julai 2019 | 11:00am
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersemayam di Singgahsana pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Istana Negara, semalam. - Foto BERNAMA

Seri Paduka, Permaisuri sumber inspirasi

SAYA percaya rakyat Malaysia di seluruh negara serta yang berada di tanah asing teruja menyaksikan Istiadat Pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Ke-16.

Lebih mengujakan, media memaparkan pelbagai kisah menarik Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang belum pernah dikongsi sebelum ini.

Sebagai rakyat Malaysia yang sering mengikuti perkembangan baginda berdua, saya amat terharu, gembira malah bangga membaca kisah menarik serta mencuit hati dikongsikan pasangan diraja itu.

Membaca dan menonton kisah serta luahan rasa baginda berdua membuatkan kita merasakan amat rapat dengan YDPA dan Raja Permaisuri Agong.

Saya sendiri terkejut apabila Al-Sultan Abdullah menyapa saya ketika baginda menaiki buggy untuk ke dewan pameran selepas merasmikan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019 di Dataran Merdeka pada 20 Julai lalu. Walaupun lama tidak bertemu, YDPA masih mengingati nama saya.

Kali terakhir bersemuka ketika Al-Sultan Abdullah merasmikan program memerangi jenayah dalam kalangan pelajar anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Kuantan pada 2008.

Baginda amat prihatin dengan masalah sosial dan jenayah membabitkan remaja, terutamanya isu penyalahgunaan dadah yang membelenggu generasi muda termasuk pelajar sekolah.

Selain menzahirkan kebimbangan terhadap isu yang melanda, baginda turut melontar pelbagai idea bernas untuk menangani penyalahgunaan dadah, terutama dalam kalangan remaja dan murid sekolah.

YDPA amat bertuah mendapat sokongan padu ahli keluarga terutama Raja Permaisuri Agong.

Sebenarnya, sifat merendah diri serta keprihatinan amat tinggi terhadap masalah rakyat begitu sebati dalam diri baginda berdua.

Istiadat Pertabalan Al-Sultan Abdullah mencatat sejarah tersendiri kerana Al-Sultan Abdullah adalah anakanda kepada YDPA Ketujuh, Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, manakala Tunku Azizah anakanda YDPA Kelapan, Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.

Al-Sultan Abdullah jelas mewarisi sifat mulia daripada Almarhum Paduka Ayahanda baginda, yang sinonim dengan frasa ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’.

Rakan saya di Pahang termasuk wartawan dan jurugambar sering berkongsi pengalaman mengiringi YDPA ketika lawatan ke kawasan ditimpa bencana. Sikap baginda saling tak tumpah seperti Almarhum Sultan Ahmad Shah. Setiap kali melihat sebarang kekurangan akan terus menitahkan pegawai untuk segera mengambil tindakan.

Keprihatinan Al-Sultan Abdullah ketika melawat mangsa bencana memberi semangat untuk saya dan ramai sukarelawan bekerja lebih keras demi membantu mereka yang memerlukan.

Sepertimana Almarhum Sultan Ahmad Shah, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga menjadi sumber inspirasi untuk saya melakukan kerja amal bagi membantu mereka yang memerlukan. Sebagai aktivis sosial, saya sentiasa menjadikan baginda berdua ikon yang tidak pernah kenal erti penat dalam hal membantu orang ramai.

Walaupun kini menduduki singgahsana tertinggi di Istana Negara, baginda berdua masih melakukan aktiviti biasa termasuk menikmati juadah di restoran makanan segera serta membantu mangsa kemalangan.

Raja Permaisuri Agong juga langsung tidak murka apabila rakyat jelata tidak mengenali baginda, lantas menggunakan ganti nama ‘kakak’ atau ‘puan’ ketika berjual beli.

Saya amat tertarik membaca petikan kata-kata Al-Sultan Abdullah yang berharap “rakyat tidak selalu menganggap orang istana tidak keluar istana.”

Menurut Al-Sultan Abdullah anggapan itu salah dan perlu diperbetulkan kerana baginda lebih selesa melawat dan bertemu rakyat. Baginda suka melihat cara hidup dan membantu orang ramai.

Istiadat pertabalan di Istana Negara kali ini menandakan permulaan pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Al-Sultan Abdullah meneruskan pusingan kedua sistem penggiliran Raja-Raja Melayu yang diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957, menaiki takhta menggantikan Sultan Muhammad V yang meletakkan jawatan berkuat kuasa 6 Januari lalu.

Diharap seluruh rakyat Malaysia terutamanya generasi muda dapat mencontohi YDPA dan Raja Permaisuri Agong yang sering turun padang demi membantu mereka yang memerlukan.

Adakalanya baginda berdua sanggup mengetepikan protokol dan mencemar duli demi membantu dan memudahkan urusan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Sesungguhnya saya amat menghargai peranan murni dimainkan pasangan diraja itu kerana tugas saya sebagai aktivis masyarakat, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) suatu ketika dahulu mengajar erti pengorbanan demi mereka yang memerlukan.

Jika seorang insan bergelar YDPA dan Raja Permaisuri Agong boleh melakukannya, tidak ada alasan untuk kita sebagai pemimpin atau rakyat biasa untuk mengelak daripada tanggungjawab sama.

Semoga semangat, keprihatinan dan limpah kasih baginda berdua akan sentiasa tersemat di hati kita sebagai rakyat Malaysia demi menjadikan negara lebih harmoni dan dipenuhi kasih sayang.

Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Penulis adalah Naib Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

578 dibaca
Berita Harian X