Sabtu, 3 Ogos 2019 | 11:00am
- Foto Hiasan

Jangan jadi 'air besar sampan tak hanyut'

LAPORAN Status Mengenai Keselamatan Jalan raya Global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan pada 2018, kemalangan jalan raya di seluruh dunia menyebabkan 1.35 juta kematian, 20 juta kecederaan dan 50 juta kecacatan.

Di Malaysia, kes kemalangan jalan raya sama ada di jalan Persekutuan, negeri, bandaran, lebuh raya dan sebagainya, terus meningkat setiap tahun, khususnya pada musim perayaan. Pada 2017, 533,875 jumlah kemalangan membabitkan 802,523 kenderaan yang menyebabkan 6,740 kematian, 3310 parah dan 6539 cedera ringan (Statistik Kementerian Pengangkutan Malaysia, 2018).

Keadaan jalan raya, masalah kenderaan, cuaca, sikap pengguna dan sebagainya menyumbang kepada berlaku kemalangan. Secara relatif, sikap pengguna jalan raya (tidak bertanggungjawab dan tidak mematuhi peraturan) adalah penyumbang utama kepada berlaku kemalangan.

Sikap ini dimanifestasikan dengan memandu secara berbahaya seperti mengikut kenderaan lain terlalu rapat, menukar lorong ke kiri atau ke kanan tanpa memberi isyarat, menunggang di celah-celah kenderaan, memotong kenderaan tanpa memberi isyarat memotong, memandu sambil memegang telefon bimbit dan memotong di garisan berkembar.

Ini termasuk meletak kenderaan di tempat yang salah, berhenti di tempat bukan sepatutnya, memandu melebihi had laju dibenarkan, memandu dalam keadaan letih atau tidak sihat, memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, memandu dengan lebih muatan (semua jenis kenderaan), memandu dalam cuaca buruk, tidak mematuhi lampu isyarat (kerap kali berlaku, sama ada pemandu kenderaan atau penunggang motosikal), tidak menyelenggara kenderaan dan sebagainya.

Kemalangan ini memberi kesan kepada individu, keluarga, majikan, syarikat insurans dan kerajaan.

Pihak syarikat insurans perlu membayar tuntutan pembaikan kenderaan dan pampasan akibat kematian, kecacatan serta kecederaan.

Di pihak kerajaan pula akan berlaku pengurangan penduduk secara sia-sia, pengurangan sumbangan individu kepada ekonomi dan pendapatan negara, peningkatan kos bagi hospital atau klinik kerajaan, peningkatan siasatan kes kesalahan trafik di balai polis dan juga sebutan serta perbicaraan kes di mahkamah.

Laporan WHO itu menganggarkan kos keseluruhan tuntutan atau pampasan akibat kemalangan adalah tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Kemalangan jalan raya boleh dikurangkan jika kita sebagai pengguna jalan raya mempunyai sikap bertanggungjawab dan sayangkan diri, insan dan haiwan (tanggungjawab terhadap diri dan makhluk lain), memandu dengan berhemah dan selamat serta bertimbang rasa terhadap pengguna jlain (mematuhi semua peraturan jalan raya).

Peka kepada persekitaran dan cuaca (menyelaras gaya pemanduan mengikut keadaan persekitaran seperti memandu perlahan jika hujan) dan menyelenggara kenderaan mengikut jadual ditetapkan (memastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan baik dan selamat digunakan serta tidak berbahaya kepada pengguna lain).

Pihak berkuasa pula boleh mempertimbang kajian menyeluruh dan mencadangkan langkah strategik bagi mengatasi masalah ini, meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas pengguna jalan raya atau lebuh raya.

Memastikan jalan atau lebuh raya selamat digunakan dan mengikut piawaian antarabangsa, mempergiatkan kempen keselamatan pengguna jalan raya, melarang kenderaan berat dan motosikal menggunakan lorong kanan, khususnya di lebuh raya serta mengkaji semula hukuman pesalah trafik bagi mencadangkan hukuman lebih berat kepada pihak yang menyebabkan kematian jika siasatan mendapati ia punca kemalangan berlaku.

Kerajaan melancarkan dua Pelan Keselamatan Jalan Raya iaitu Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2006-2010 dan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020 dengan memfokuskan usaha mengurangkan kadar kemalangan maut.

Pelan ini juga menggariskan lima tonggak strategik bagi mencapai sasaran ditetapkan melalui pelaksanaan strategi pengurusan keselamatan jalan raya, mobiliti dan jalan raya yang lebih selamat, kenderaan lebih selamat, pengguna jalan raya lebih selamat dan pengurusan pasca kemalangan.

Namun, jika jumlah kemalangan, kematian, kecederaan dan kecacatan terus meningkat, maka sasaran pengurangan kemalangan, kematian, kecederaan dan kecacatan dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) menjelang 2020 seperti ‘air besar sampan tak hanyut.’

Penulis adalah Felo Penyelidik Kanan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

320 dibaca
Berita Harian X