Ahad, 11 Ogos 2019 | 11:00am
KEADAAN kenderaan yang dihempap pokok dalam kejadian ribut di Jalan Lim Lean Teng, Georgetown. - Foto Danial Saad

Sistem amaran bencana kita masih lemah

KEJADIAN taufan yang melanda empat negeri di utara Semenanjung, termasuk Langkawi, malam kelmarin agak mengejutkan. Rata-rata media melaporkan kesannya yang bukan sedikit kepada harta benda awam, selain mencetuskan panik dan ada nyawa penduduk melayang.

Anehnya, mereka yang terjejas seperti tidak membuat persediaan atau adakah berlaku kekurangan maklumat dan amaran awal pihak berkuasa berkaitan atau sikap memandang remeh bencana alam yang boleh membunuh seperti ini?

Taufan Lekima yang menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Selasa memaklumkan bahawa ia tidak memberi kesan signifikan kepada Malaysia.

Namun tatkala ia membadai lewat malam kelmarin, Taufan Lekima yang dianggap ‘ekor’ atau tempias selepas membadai timur China, sebenarnya kekuatan dan kesannya jauh daripada yang diramalkan.

Ketua Pengarah MetMalay- sia, Jailan Simon, menyebut kelajuan angin yang dicatat ialah 28 meter sesaat atau bersamaan 100.8 kilometer sejam.

Jailan menyebut, garis badai atau ribut petir berlaku akibat tumpuan angin di selatan Thailand yang turut menerima kesan sama. Namun katanya, taufan ini dijangkakan berlaku sekali saja, tiada gelombang kedua atau ribut susulan.

Berdasarkan kenyataan pertama MetMalaysia seperti dilaporkan beberapa media massa tempatan, ia cukup ringkas, tanpa menyebut kelajuan taufan dan pengaruh fenomena
angin tempatan atau serantau lain yang memberi kesan besar apabila ia membadai.

Malah, dalam konteks ia akan membadai negara ini, tidak pula menamakan kawasan yang berpotensi dilalui ribut tropika ini. Kita agak pelik kerana walaupun Malaysia bukan rantau yang sering dilanda bencana alam, sebarang ramalan atau amaran awal cuaca adalah cukup penting.

Ramalan berlakunya taufan, ribut, puting beliung, gempa bumi atau tsunami menjadi sebahagian maklumat semasa yang sangat dikehendaki manusia untuk keselesaan dan keselamatan mereka.

Kepentingan ramalan cuaca kepada industri penerbangan awam, nelayan dan aktiviti marin juga tidak ternilai terutama dari segi kesan kerugiannya.

Misalnya juruterbang boleh bertindak awal dengan memilih laluan penerbangan selamat ke destinasi. Kita tidak mahu kejadian taufan di negeri utara ini dipandang enteng oleh pihak yang terbabit langsung dengannya. Alasan terlepas pandang dalam memberi amaran awal, tepat dan berkala ini tidak sewajarnya diterima.

Disebabkan sistem amaran awal dipandang mudah, kejadian banjir besar seperti di Kelantan dan Terengganu pada Disember 2014 dan di Johor pada Disember 2006 serta Januari 2007, membawa kesan bukan kepalang.

Mengikut laporan, banjir besar di Kelantan dan Terengganu pada Disember 2014 menjejaskan lebih 500,000 penduduk dan kerugian harta benda serta infrastruktur mencecah RM3 bilion.

Pastinya jika banjir besar ini boleh diramal lokasi, tarikh dan masa ia berlaku jauh lebih awal, keadaan sama kepada ramalan cuaca ekstrem lain seperti taufan dan angin kencang. Kita mengakui hakikat walaupun sistem ramalan iklim wujud, kecekapan ramalan untuk jangka panjang adalah rendah.

Namun, apa yang penting amaran bersistematik wajar diberi perhatian serius, misalnya model amaran tujuh hari lebih awal, diikuti amaran tiga hari awal, disusuli ramalan jangka masa 24 hingga 48 jam yang dianggap berguna untuk membantu penduduk bersiap siaga.

Kita percaya dengan teknologi satelit yang maju dan canggih, istilah ‘ramalan’ cuaca kini sudah boleh digantikan dengan 'fakta cuaca'. Jika dahulu ada yang merujuk kepada keadaan langit dan awan untuk meramal cuaca ataupun mempercayai ramalan ahli nujum, kini rasanya tidak perlu lagi.

Sekarang, dengan ada satelit cuaca, fenomena alam dapat diramal dengan lebih tepat serta terperinci. Semua data dan maklumat ini hanya dalam beberapa saat saja akan sampai ke tangan orang ramai menerusi aplikasi telefon pintar masing-masing.

Adalah tidak praktikal jika teknologi unggul yang berjuta ringgit dibelanja, tidak digunakan dengan secara efektif. Teknologi bukan sekadar kita berbangga memilikinya tetapi berbangga kerana kita menggunakan manfaat yang diperoleh daripadanya.

Penulis ialah Pengarang Bersekutu Berita dan Digital.

Berita Harian X