Selasa, 20 Ogos 2019 | 11:00am
Semua pihak perlu melihat semula sumbangan dicurahkan anggota tentera yang sanggup bersabung nyawa mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara. - Foto hiasan

Belajar hargai pengorbanan tentera

TATKALA kita sedang bersiap sedia untuk menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, saya berpendapat semua pihak perlu melihat semula sumbangan yang dicurahkan oleh mereka yang bersabung nyawa mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara, terutama anggota tentera.

Amat menyedihkan apabila masih ada rakyat Malaysia yang mempertikaikan peranan anggota beruniform, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) walaupun negara sudah mencapai kemerdekaan selama 62 tahun.

Marilah kita bersama-sama mengetepikan kedudukan kita serta kecenderungan politik masing-masing untuk berfikir sejenak dan merenung kembali apa yang sudah kita kecapi selama ini, terutama nikmat keamanan dan kemakmuran negara.

Adakah kita mampu mencapai kejayaan dalam hidup serta mengecapi segala kemewahan jika negara berada dalam keadaan kucar-kacir seperti yang dapat kita lihat di negara yang berada dalam kancah peperangan atau ketidakstabilan politik?

Semua rakyat Malaysia perlu berterima kasih kepada ATM kerana tanpa pegawai dan anggotanya yang berdedikasi dan sanggup menggadai nyawa, sudah pasti negara berada dalam keadaan lemah dan mudah diceroboh, termasuk dijajah semula.

Oleh itu, saya ingin menyeru semua pihak yang mengaku mereka sebagai rakyat Malaysia sejati supaya berhenti mengeluarkan kenyataan atau sindiran yang boleh menyentuh hati anggota tentera dan keluarga mereka.

Belajarlah untuk menghargai pengorbanan anggota tentera dan keluarga mereka tatkala kita bersenang-lenang menikmati pelbagai kemudahan dan kemewahan dalam negara tercinta. Kita jangan memilih untuk melihat tentera dalam keadaan senang ketika mereka dikatakan sedang berehat, tetapi lihatlah bagaimana sukarnya mereka ketika berada di hutan belantara, lautan luas dan langit membiru demi mempertahankan sempadan negara.

Tempoh di mana mereka dituduh sedang ‘berehat’ juga adalah masa untuk mereka berada di dalam keadaan berjaga-jaga kerana sentiasa perlu mengikuti latihan kawad dan sebagainya agar sentiasa bersiap-sedia dan berdisiplin untuk dihantar bertugas di seluruh pelosok negara.

Berbeza dengan kebanyakan rakyat Malaysia, anggota tentera juga perlu meninggalkan keluarga tersayang demi menjaga kedaulatan negara. Bayangkan perasaan ahli keluarga mereka jika anggota tentera dicaci dan dihina tanpa usul periksa.

Saya amat tertarik dengan tulisan seorang veteran tentera, Lt Kol (B) Heera Singh dari Seremban, yang menyatakan bahawa ‘setiap minit, ada ribuan lelaki dan wanita yang bertugas’ (sebagai anggota tentera) untuk mempertahankan negara kita.

Beliau berkata, mereka ini ‘berada di dalam hutan belantara, lautan bergelora, gunung-ganang dan di pangkalan tentera terpencil untuk bekerja dalam keadaan yang sangat sukar supaya rakyat negara ini dapat hidup dengan aman dan damai’.

Adalah penting untuk kita mempelajari semula sejarah negara, terutama pengorbanan yang dilakukan oleh angkatan bersenjata untuk mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara. Bukan setakat berhadapan dengan ancaman komunis serta pengganas dan penceroboh, mereka juga turut terbabit dalam misi pengaman serta pelbagai operasi kemanusiaan ketika negara dilanda bencana alam.

Kita semua perlu menghayati tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, iaitu ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ yang menekankan kepentingan perpaduan serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

Tema ini tidak akan membawa makna jika masih ada rakyat tidak bersyukur dan terus memperlekehkan peranan anggota beruniform, termasuk ATM. Semua rakyat Malaysia perlu menghormati peranan mereka dan ‘membersihkan’ hati dan fikiran daripada sifat negatif dan prejudis.

Penulis adalah aktivis masyarakat

564 dibaca
Berita Harian X