Rabu, 21 Ogos 2019 | 11:00am
KPM menjalankan pelbagai inisiatif bagi memastikan Malaysia terus kekal relevan sebagai hab pendidikan pengajian tinggi di rantau ini. - Foto hiasan

Memperkasa pendidikan tinggi negara

TAHUN ini adalah tahun kemerdekaan negara yang ke-62, dan dalam tempoh itu, landskap pengajian tinggi mengalami pelbagai perubahan sejajar evolusi semasa. Perubahan dalam era Revolusi Industri 4.0, dan seterusnya 5.0 harus diterima dengan tangan terbuka dan landskap pengajian tinggi negara perlu bersedia menerima perubahan pesat ini.

Menyedari kepentingan pengajian tinggi negara bergerak ke hadapan bersama-sama perubahan pesat ini, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjalankan pelbagai inisiatif bagi memastikan Malaysia terus kekal relevan sebagai hab pendidikan pengajian tinggi di rantau ini.

Pada Mei lalu, KPM dijemput membentangkan kemajuan pendidikan tinggi Malaysia di Going Global 2019 di Munich. Kehadiran Malaysia pada persidangan ini amat dinantikan kerana ramai tertanya-tanya perubahan landskap pendidikan tinggi di Malaysia dalam masa setahun di bawah Malaysia baharu.

Ramai bertanya mengenai perjalanan Malaysia menjadi hab pendidikan. Banyak perubahan dan penambahbaikan dilalui pendidikan tinggi Malaysia dalam masa setahun ini. Antara perubahan ketara pada landskap pendidikan tinggi adalah dari segi pemerkasaan pelajar.

Pelajar universiti didaya upaya mengurus pilihan raya kampus dan ada juga perubahan klausa 15 dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) berkaitan pelajar berpersatuan. Pelajar kini dibenar menubuhkan kesatuan pelajar dan beberapa universiti awam melaporkan penubuhan kesatuan pelajar, malah mereka juga diberikan peruntukan dan bangunan khas untuk kesatuan.

Perubahan ini pastinya memberi ruang pelajar lebih matang, berdikari, berfikiran kritikal dan mampu menyumbang kepada negara sebaik bergraduat. Tindakan memansuhkan AUKU juga dilihat langkah yang menyokong pemerkasaan penuntut universiti. Malah, ada juga universiti melantik pelajar sebagai ahli Senat Universiti. Perubahan positif di Malaysia menjadi penanda aras bagi negara lain.

Perubahan dan penambahbaikan dalam landskap pendidikan tinggi Malaysia bukan sahaja tertumpu kepada penuntut universiti. Selain pelajar yang didaya upaya, pensyarah universiti awam juga melalui cadangan pengecualian dalam Akta 605. Sebelum ini, Akta 605 menyatakan pensyarah di universiti tidak mempunyai kebebasan bersuara, membuat kenyataan, menerbit dan mengedit.

Klausa dalam Akta 605 dipandang menyekat kebebasan pensyarah. Oleh itu, sejajar perubahan semasa, kementerian pada masa kini mengkaji klausa dalam Akta 605 yang memerlukan pengecualian.

Dalam dunia akademik, pembelajaran dan pengajaran, penyelidikan, hubungan industri dan sumbangan kepada masyarakat adalah tugas utama cendekiawan dalam membangunkan bakat bagi menyemarakkan lagi ekonomi negara. Menyedari kepentingan ini, beberapa inisiatif dilaksanakan dalam masa setahun kebelakangan ini termasuk program Service Learning Malaysia Universiti for Society (SULAM).

SULAM adalah satu inisiatif yang memberi pengalaman pembelajaran dengan menghubungkaitkan teori dan praktis dengan mendedahkan pelajar kepada penyelesaian permasalahan sebenar dalam komuniti. Ia berteraskan kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati.

Sebagai langkah meningkatkan kebolehpasaran graduan di Malaysia serta memupuk kemahiran kepemimpinan dalam kalangan pensyarah muda, program CEO@Faculty 2.0 dilaksanakan di universiti awam. Program CEO@Faculty 2.0 ini meningkatkan hubungan di antara universiti dan industri.

Melalui program ini, pengarah syarikat antarabangsa mengajar 30 jam di universiti awam. Pengalaman dikongsikan CEO atau pengarah syarikat ini akan memberi manfaat kepada pelajar, pensyarah dan juga warga universiti. Selain itu, satu lagi inisiatif menghubungkan universiti dan industri adalah penubuhan pusat kecemerlangan industri di universiti, contohnya Huawei di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan juga geran padanan antara Malaysia dan negara luar.

Bagi memastikan universiti bergerak sejajar perubahan teknologi dalam menghasilkan graduan kalis masa hadapan pula, audit program di universiti awam dilaksanakan. Sehingga kini lebih 30 peratus program dijumudkan dan diganti dengan program berkaitan teknologi digital yang penting dalam era IR4.0.

Program yang sejajar dengan permintaan industri masa hadapan dan mereka bentuk semula kurikulum dijangka menghasilkan graduan yang mempunyai ciri belajar kendiri, menanamkan pembelajaran sepanjang hayat, meningkatkan jati diri dan boleh berkomunikasi dengan baik, terutama dalam bahasa Inggeris.

Untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan dan memberi pengalaman industri kepada pelajar, program berbentuk ‘apparentis’ juga diperkenalkan bagi memberi ruang kepada pelajar menjalani latihan praktikal di industri lebih lama daripada biasa.

Dengan bilangan institusi banyak, ketidaksamaan dan ketidakrataan menjadi cabaran utama, tetapi universiti awam di Malaysia berjaya membuktikan mereka menyahut cabaran itu dengan positif. Antara buktinya adalah peningkatan dalam kedudukan di QS World University Rankings 2020.

Negara amat berbangga dengan pencapaian Universiti Malaya yang melonjak ke tangga 70 universiti terbaik dan fakulti kejuruteraan Universiti Malaya, antara 10 terbaik di dunia. Bagaimanapun, ada juga institusi yang masih setahun jagung, memerlukan pemantauan dan galakkan, dan pihak kementerian akan sentiasa memberi sokongan padu kepada institusi ini.

Begitu juga dengan kualiti profesor yang tersohor di universiti penyelidikan. Walaupun ramai profesor dan pensyarah universiti berkualiti tinggi, masih ada yang memerlukan pemantauan. Untuk itu, kementerian akan sentiasa bekerjasama dengan pihak universiti dalam memastikan kualiti pensyarah, serta pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di universiti.

Untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan, pihak kementerian menekankan kefasihan berkomunikasi dan menggunakan bahasa Inggeris di mana pelajar perlu mencapai sekurang-kurangnya B2 CEFR.

Dalam menjalankan inisiatif yang sejajar dengan perubahan semasa, ada juga perkara yang dirasakan perlu diberi perhatian. Antara yang menjadi tumpuan pihak kementerian adalah nilai gaji graduan yang didapati tidak meningkat sejak 1980an. Senario ini adalah sama seperti dihadapi graduan di United Kingdom (UK), di mana akhirnya mereka terpaksa tinggal bersama ibubapa mereka. Adalah diharapkan agar nilai gaji graduan akan dapat dikaji semula supaya keadaan ekonomi mereka akan lebih memberangsangkan.

Apa yang dinyatakan diatas adalah sebahagian inisiatif yang menjadi tumpuan pendidikan tinggi. Tidak semua dapat dikongsikan kerana pembangunan pendidikan tinggi adalah satu perjalanan yang tidak akan berakhir kerana harapannya adalah agar hari esok lebih baik dari hari ini.

Apa yang paling penting adalah fokus diberi kepada perkara yang memberi impak kepada kewibawaan dan kesarjaaan graduan yang dihasilkan, serta sumbangan kepada ilmu dan masyarakat.

Penulis adalah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan

399 dibaca
Berita Harian X