Khamis, 22 Ogos 2019 | 11:00am
Usaha mengetengahkan agenda pemerkasaan pengkaedahan penyelidikan dalam sektor awam perlu disegerakan dan disambut penjawat awam dengan minda terbuka dan dilaksanakan secara berstruktur. - Foto hiasan

Ilmu mantap kukuh jati diri penjawat awam

PERNAHKAH terlintas di benak pemikiran kenapa kadangkala setiap dasar digubal dan inisiatif dilaksanakan kerajaan mengundang kritikan dan tentangan? Dikatakan penjawat awam berada dalam dunia mereka sendiri sehingga terlupa bahawa sasaran penggubalan dasar dan pelaksanaan inisiatif untuk rakyat, selain kelompok sasaran khusus yang lain.

Oleh itu, cadangan untuk kejayaan dasar dan inisiatif itu mesti datangnya daripada rakyat, antara kelompok sasar terbesar dalam sesebuah negara. Ramai antara kita tidak menyedari ilmu pengkaedahan penyelidikan sebenarnya tidak terpisah daripada proses penggubalan dasar dan pembuatan keputusan kerajaan.

Persepsi sempit pemikiran kita terhadap aplikasi ilmu ini dilihat terbatas semata-mata dalam konteks pembelajaran di universiti, terutama pada peringkat ijazah doktor falsafah perlu diubah segera.

Istilah kualitatif dan kuantitatif tidak asing dalam dunia penyelidikan. Kedua-duanya adalah metodologi penyelidikan berasaskan paradigma berbeza mengenai fenomena sosial dan realiti kehidupan manusia.

Berbanding metodologi kuantitatif, kualitatif menekankan kepada pemahaman terhadap fenomena sosial dari perspektif subjek kajian (responden) dan bukan daripada perspektif penyelidik. Adalah penting memahami perspektif subjek kajian (responden) mengenai sesuatu isu melalui pendapat, pengalaman dan perasaan mereka.

Bukan membandingkan metodologi mana lebih baik, tetapi untuk melihat isu dihadapi kelompok sasar itu dengan lebih berkesan dan memberikan penyelesaian, maka elok dilihat dari kaca mata kelompok sasar itu sendiri.

Mereka yang merasai tamparan dan kesan, maka elok mereka yang memberikan jawapannya. Pilihan metodologi mempengaruhi pilihan metod yang hendak digunakan. Bukan sesuka hati dan semberono sahaja membuat keputusan.

Umpamanya, metodologi kualitatif yang bersifat interpretif menyediakan ruang mendapatkan input melalui metod temu bual, pemerhatian dan penelitian sumber dokumen. Ibarat seorang cef profesional di hotel yang menyediakan hidangan untuk pelanggannya. Yang pertama dilakukan adalah menentukan pilihan daripada menu masakan itu terlebih dahulu.

Kemudian barulah bahan mentah, rempah ratus serta rencah khusus disediakan di atas meja dan keperluan peralatan memasak bersesuaian dikeluarkan daripada simpanan berdasarkan pilihan daripada menu itu tadi. Pilihan daripada menu itu adalah metodologi dan bahan mentah, rempah ratus, serbaneka rencah serta pilihan peralatan memasak bersesuaian adalah metodnya.

Pilihan metod salah, tidak sesuai dan tidak sepatutnya menyebabkan goyangnya metodologi itu nanti. Melihat sesuatu isu sama ada dari perspektif subjek kajian (responden) mahupun penyelidik akan menghasilkan kerangka penilaian berbeza yang mempengaruhi bukan sahaja permasalahan dikaji, tetapi juga cadangan penyelesaian yang hendak diutarakan.

Oleh itu, metodologi dan metod digunakan haruslah pilihan yang bijaksana agar sesuatu isu itu dirungkai secara sistematik dan nikmat keberhasilan dasar digubal dan inisiatif dilaksanakan benar-benar dirasai rakyat serta kelompok sasar yang lain.

Tidak dapat dinafikan semangat ditunjukkan penjawat awam untuk berkhidmat kepada rakyat dan menyelesaikan permasalahan mereka sangat tinggi. Tetapi cukupkah dengan memiliki semangat yang sekali-sekala ada pasang surutnya?

Justeru, semangat ini perlu disertai dengan ilmu pengetahuan yang benar-benar mantap bagi mengukuhkan jati diri penjawat awam. Bukan sahaja dalam penggubalan dasar dan pembuatan keputusan, bahkan dalam perancangan strategik serta penjanaan idea baharu di pelbagai peringkat kerajaan.

Ini termasuk sama ada Persekutuan, negeri dan tempatan, terutama di agensi hadapan merangkumi isu pendidikan, pertanian, ekonomi, sukan, kesihatan, pertahanan, kewangan, pentadbiran tanah, sumber manusia, pelancongan dan banyak lagi menuntut kepada penguasaan penjawat awam dalam ilmu pengkaedahan penyelidikan.

Paling penting, mereka harus berupaya membezakan paradigma kedua-dua metodologi penyelidikan itu supaya berada pada landasan betul untuk menjayakan matlamat dan objektif dihasratkan kerajaan.

Sekiranya perunding luar terpaksa dilantik menjalankan kajian membantu kerajaan dalam penggubalan dasar, setidak-tidaknya, ada juga ‘peluru’ untuk perbincangan pada peringkat teknikal dan pemandu mengikat kedua-dua belah pihak agar sepakat dalam pendekatan supaya terhasilnya dapatan yang boleh dipercayai, berwibawa serta diterima pelaksanaannya nanti.

Mustahil untuk melihat ilmu pengetahuan dan kemahiran penjawat awam dalam pengkaedahan penyelidikan mencapai tahap penyelidik profesional atau ahli akademik, tetapi menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran tahap asas pun sudah mencukupi sebagai permulaan.

Namun, usaha mengetengahkan agenda pemerkasaan pengkaedahan penyelidikan dalam sektor awam perlu disegerakan dan disambut penjawat awam dengan minda terbuka dan dilaksanakan secara berstruktur.

Penulis adalah Timbalan Ketua Kluster Pembangunan Kepakaran, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

292 dibaca
Berita Harian X