Khamis, 5 September 2019 | 11:00am
Sebenarnya kaedah digunakan sekarang di Malaysia (garis penentuan kemiskinan adalah pendapatan bulanan sebanyak RM980) langsung tidak munasabah terutama bagi penduduk yang tinggal di kawasan bandar. - Foto hiasan

Ekonomi berpaksi hutang, riba punca kemiskinan

Baru-baru ini kenyataan wakil khas pelapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Philip Alston, membuatkan ramai terkejut.

Beliau mengisytiharkan kaedah digunakan untuk menentukan kadar kemiskinan di Malaysia tidak sesuai, serta tidak memberikan gambaran sebenar keadaan kemiskinan di negara kita.

Katanya, kaedah digunakan Malaysia tidak wajar kerana berpandukan kepada garisan kemiskinan yang tidak realistik (iaitu RM980 sebulan bagi satu keluarga yang mempunyai empat ahli).

Akibat penggunaan kaedah ini, kadar kemiskinan di Malaysia hanya 0.4 peratus dan dengan itu, memberikan gambaran bahawa Malaysia seolah-olah sudah berjaya menghapuskan terus masalah kemiskinan sedangkan negara Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) masih terbelenggu dengan masalah itu.

Sebenarnya situasi berbeza ini disebabkan penggunaan kaedah pengiraan yang berbeza. Di negara lain, kaedah digunakan adalah ‘kemiskinan relatif’ iaitu sesuatu keluarga dikatakan miskin jika pendapatan adalah kurang 60 peratus daripada pendapatan median dalam negara berkenaan.

Akibat menggunakan cara pengiraan ini, 17 peratus rakyat AS dilaporkan miskin. Di Jepun pula, angkanya lebih kurang 16 peratus.

Sebenarnya jika kaedah pengiraan sama digunakan di Malaysia, kira-kira 20 peratus rakyat Malaysia adalah miskin, kerana 60 peratus daripada pendapatan median (iaitu RM5,228 pada 2016) adalah RM3,136. Sudah tentu ramai rakyat Malaysia berpendapatan bawah RM3,136.

Sebenarnya kaedah digunakan sekarang di Malaysia (garis penentuan kemiskinan adalah pendapatan bulanan sebanyak RM980) langsung tidak munasabah terutama bagi penduduk yang tinggal di kawasan bandar.

Sebagai contoh kos sewa sebuah flet dua bilik di Seksyen 17 Petaling Jaya lebih RM1,000 sebulan. Ini belum masuk kos makanan, pakaian dan pengangkutan. Jadi tidak masuk akal menyatakan keluarga berpendapatan RM980 sebulan tidak lagi tergolong dalam kategori miskin.

Sudah sampai masanya kerajaan mengakui keadaan kemiskinan di negara kita sebenarnya amat tenat, sekali gus perlu mengenal pasti punca kepada masalah ini.

Punca sebenar masalah ialah sistem ekonomi dan kewangan kita yang bertunjangkan kepada industri hutang atau amalan riba. Amalan sistem perbankan negara sama dengan sistem perbankan di negara barat, iaitu bank akan sentiasa mencipta ‘wang baharu’ apabila memberi hutang kepada pelanggan.

Industri perbankan sebenarnya tidak memerlukan kepada deposit daripada mana-mana pihak untuk ia memberi hutang kepada pelanggannya. Bahkan hutang diberikan itu akan direkodkan sebagai deposit di dalam akaun peminjam untuk menunjukkan situasi seolah-olah depositnya adalah tinggi dan bahawa deposit inilah menjadi sumber dana untuk ia memberi hutang.

Perkara ini disahkan sendiri The Bank of England dalam satu penerbitannya iaitu The Bank of England Quarterly Bulletin; 2014. Perkara ini juga boleh disahkan dengan melihat rekod perakaunan bank setiap kali pinjaman atau pembiayaan diberikan.

Akibat jumlah wang baharu yang banyak diciptakan sistem perbankan, maka kos barangan meningkat dengan cepat. Pada masa sama, syarikat dan kerajaan yang juga banyak berhutang dengan sistem perbankan akan berusaha untuk memastikan upah atau gaji diberikan kepada pekerja adalah rendah.

Apabila kos barangan meningkat dengan cepat sedangkan gaji dan upah tidak meningkat pada kadar sama, maka timbullah masalah ‘kenaikan kos sara hidup’. Tidak hairanlah ramai rakyat Malaysia terjebak dengan masalah kemiskinan dengan pendapatan RM3,000 adalah masih tidak mampu untuk menyara sebuah keluarga, terutama di bandar.

Sebenarnya jika industri hutang atau sistem perbankan kita terus berkembang, maka masalah kemiskinan di negara kita bukan sahaja mustahil diselesaikan, bahkan akan menjadi lebih teruk.

Namun, untuk memastikan sektor perbankan tidak berkembang cepat, memerlukan perubahan nilai masyarakat supaya gaya hidup mereka tidak akan membuatkan mereka berhutang kepada industri perbankan untuk membeli kereta, rumah dan sebagainya.

Perubahan nilai ini bukannya mustahil dilakukan. Ia hanya perlu kepada kefahaman mengenai bahaya industri hutang dan juga pandangan hidup yang menjadikan akhirat sebagai matlamat hidup sebenar, bukannya pemilikan harta di dunia.

Kita juga perlu memupuk nilai Islam tulen iaitu amal soleh yang banyak serta akhlak yang baik adalah kayu ukur kejayaan seseorang individu atau masyarakat, bukannya kekayaan material semata-mata.

Penulis adalah Profesor di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya

3835 dibaca
Berita Harian X