Khamis, 12 September 2019 | 11:00am
PIHAK berkuasa kena ambil langkah ampuh tangani aktiviti pemusnahan hutan di Malaysia. - Foto hiasan

Elak nasib hutan Amazon berulang di Malaysia

KEBAKARAN hutan Amazon di Brazil baru-baru ini, meninggalkan impak yang sangat besar kepada penduduk dunia. Hutan yang menjadi ‘paru-paru’ dunia ini dilaporkan musnah sebahagiannya.

Kebakaran di hutan Amazon melepaskan 228 mega tan karbon monoksida, sekali gus mengancam lebih 300 spesies flora dan fauna.

Akan tetapi apakah kaitan kebakaran hutan Amazon ini dengan negara kita Malaysia? Apakah iktibar yang boleh diambil rakyat Malaysia, yang jaraknya kira-kira 16,000 kilometer (km) dari hutan ini?

Hutan Malaysia dan Amazon, kedua-duanya dikategorikan hutan hujan tropika. Kedua-duanya mempunyai iklim yang hampir sama.

Kajian dijalankan pada 2015 mendapati Malaysia antara negara yang mengalami kehilangan hutan paling cepat dan tertinggi di Asia Tenggara untuk tempoh antara 2000 hingga 2012.

Kajian ini dijalankan Global Forest Map dengan kerjasama Google Map. Statistik ini sangat mengejutkan bagi kemandirian hutan di Malaysia. Jika tiada langkah sewajarnya diambil, hutan di negara ini akan mengalami nasib seperti kebakaran yang berlaku di Amazon.

Kita hanya menyedari akan kepentingan sesuatu apabila ia sudah hilang atau rosak. Kebakaran hutan Amazon berlaku sejak dahulu dengan skala kecil, akan tetapi tidak diendahkan oleh pihak berkuasa Brazil dan masyarakat dunia.

Apabila kejadian kebakaran besar berlaku dan didedahkan kepentingan hutan Amazon ini yang membekalkan 20 peratus jumlah oksigen dunia, barulah masyarakat dunia cakna akan kepentingannya.

Begitu jugalah keadaannya di Malaysia, wujud banyak hutan simpan dan hutan dara yang dikategorikan sebagai terancam akibat pembangunan yang terlampau pesat.

Bukanlah untuk menidakkan pembangunan, tetapi pembangunan dan aktiviti konservasi hutan harus berjalan seiring.

Sebagai contoh, isu pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) di Selangor yang dijangka siap pada akhir tahun ini memusnahkan sebahagian hutan simpan.

Walaupun pihak berwajib berjanji menggantikan semula hutan yang ditarah, pertumbuhan hutan yang diganti ini memakan masa dan belum pasti dapat berfungsi bagi mengembalikan keseimbangan ekosistem seperti sebelum ini.

Kebakaran hutan adalah hasil kerakusan manusia. Aktiviti pembalakan tidak terkawal dan pembalakan haram di Malaysia mengancam kemandirian dan kelestarian hutan di Malaysia.

Dilaporkan sepanjang 2008 hingga 2017, ada 187 kes pembalakan haram dan 2,617 kes kesalahan lain berkaitan hutan dikesan dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Kes ini membabitkan 514.61 hektar hutan di Semenanjung.

Pihak berwajib harus melaksanakan langkah yang sesuai bagi menghapuskan aktiviti pembalakan haram ini. Antaranya dengan mengubah Akta Perhutanan Negara 1984, iaitu Akta 313 untuk memperkuatkan aspek penguatkuasaan dari segi denda dan hukuman.

Selain itu, akta ini harus ditambah baik dengan meningkatkan kadar penalti tambahan untuk membendung dan membanteras kegiatan pembalakan haram.

Kebakaran hutan Amazon harus dititikberatkan dan diambil iktibar. Kesedaran rakyat Malaysia seharusnya meningkat dan meninggalkan kesan di hati untuk sama-sama menjaga alam sekitar.

Kejadian seperti kebakaran hutan Amazon mungkin akan terjadi di Malaysia jika semua pihak tidak mengendahkan dan tidak mengambil pengajaran sebaik mungkin.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang

430 dibaca
Berita Harian X