Jumaat, 20 September 2019 | 11:00am
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

Ahlul Sunnah Wal Jamaah dalam konteks Islam di Malaysia

MUTAKHIR ini timbul persoalan ajaran Islam yang diterima sebagai amalan. Tidak dinafikan Perlembagaan Persekutuan menetapkan Islam ialah agama bagi Persekutuan, tanpa menyatakan fahaman Ahlul Sunnah Wal Jama’ah sebagai satu-satunya pegangan dan amalan yang sah.

Namun begitu, pegangan dan amalan yang diterima dalam kerangka undang-undang Persekutuan dan Negeri dari sudut niat dan tujuannya, termaktub dalam peruntukan yang sama. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan mengandungi prinsip penting seperti berikut:

1. Yang di-Pertuan Agong ialah ketua agama Islam bagi Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, juga negeri baginda sendiri.

2. Raja-Raja Melayu ialah ketua agama Islam bagi negeri baginda masing-masing; tertakluk pada perlembagaan negeri itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa dinikmati olehnya sebagai ketua agama Islam tidaklah tersentuh.

3. Yang di-Pertuan Agong ialah ketua agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan memiliki bidang kuasa diberikan Majlis Raja-Raja untuk mewakili Raja-Raja Melayu dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara menyentuh agama Islam.

4. Suatu majlis boleh ditubuhkan oleh Parlimen untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong, mengenai perkara berhubungan dengan agama Islam dan Parlimen boleh menggubal undang-undang bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam.

Majlis yang dimaksudkan di atas bagi Wilayah Persekutuan ialah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Dari sudut undang-undang, Parlimen sudah menggubal akta mengawal selia hal ehwal agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan, antaranya Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Seksyen 31 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 memperuntukkan: “Majlis hendaklah membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara yang berhubungan dengan agama Islam di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan, kecuali perkara hukum syarak dan yang berhubungan dengan pentadbiran keadilan dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam akta ini.”

Untuk menjawab isu pandangan ulama atau mazhab diterima pakai dalam pentafsiran ajaran Islam di sisi Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3 perlu dibaca bersama-sama dengan undang-undang yang diperbuat oleh Parlimen bagi mengawal selia hal ehwal hukum Syarak.

Seksyen 33 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 memperuntukkan: “Mufti hendaklah membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan perkara Hukum Syarak dan dalam semua perkara sedemikian, hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Wilayah-Wilayah Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Akta ini.”

Dalam akta yang sama diperuntukkan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak untuk membantu seorang mufti. Pandangan ulama dalam ajaran Islam tidak dinafikan berbeza dalam perkara-perkara tertentu, termasuklah pentaakulan sumber perundangan. Bagaimanapun, perbezaan itu dapat diuruskan melalui kaedah fatwa.

Dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993, fatwa ditakrifkan di bawah Subseksyen 39(1), iaitu mengikut pandangan diterima (qaul muktamad) Mazhab Syafie. Subseksyen 39(2) membenarkan pemakaian qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali jika qaul muktamad Mazhab Syafie akan membawa kepada keadaan berlawanan dengan ketenteraman awam.

Fatwa ialah pandangan mufti atas persoalan yang belum diselesaikan atau menimbulkan pertikaian, mengenai atau berhubungan hukum Syarak. Suatu pandangan mufti dianggap fatwa sekiranya diwartakan menurut Subseksyen 34(1).

Dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, hukum syarak ditakrifkan mengikut Mazhab Syafie atau mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi atau Hanbali. Begitu juga di bawah Enakmen Negeri, wujud tafsiran ajaran Islam yang diterima.

Dari sudut sejarah, ajaran Islam berfahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah pegangan di Tanah Melayu. Amalan sama terpakai di Sabah dan Sarawak. Hal ini kerana Yang di-Pertuan Agong ialah ketua agama Islam bagi Sabah dan Sarawak, selain negeri yang dinyatakan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Kedudukan ajaran Islam menurut fahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah mempunyai legitimasi di sisi Perlembagaan Persekutuan, seperti dihuraikan di atas.

Kedudukan fahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan negeri Kedah dan Perlis, manakala Undang-Undang Tubuh Kerajaan negeri-negeri lain menetapkan ajaran Islam seperti amalan sedia ada sebagai pegangan yang sah.

Seperti sedia maklum, Islam juga agama bagi negeri di dalam Persekutuan, hanya Sarawak sahaja tidak memperuntukkannya dalam Perlembagaan. Namun begitu, Perlembagaan Negeri Sarawak menetapkan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Negeri dan peranan majlis agama Islam untuk menasihati baginda dalam hal ehwal agama Islam.

Di dalam setiap Enakmen Negeri berhubungan dengan pentadbiran agama Islam, ada peruntukan fatwa di bawah bidang kuasa negeri masing-masing. Seperti Wilayah Persekutuan, mazhab empat Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah pegangan dan amalan diterima selama ini.

Ringkasnya, ajaran Islam di Malaysia ialah menurut fahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah dalam empat mazhab yang dinyatakan di atas. Sekiranya ada kekhilafan dalam pentafsiran ajaran sebenar agama Islam di Malaysia, undang-undang Persekutuan dan negeri menetapkan fatwa sebagai rujukan berwibawa untuk mengadilinya.

Penulis adalah Penasihat Undang-Undang Universiti Malaysia Perlis/ Penasihat Gabungan MI’RAJ

Berita Harian X