Isnin, 30 September 2019 | 11:00am
Antara bentuk perniagaan di Jepun yang sedang berkembang ialah perkhidmatan pencucian bagi kes ‘kodokushi’. - Foto Google

Elak fenomena 'kodokushi' Jepun jangkiti Malaysia

Antara bentuk perniagaan di Jepun yang sedang berkembang ialah perkhidmatan pencucian bagi kes ‘kodokushi’. Istilah ini merujuk kes di mana individu Jepun mati keseorangan tanpa diketahui saudara mara atau jiran.

Ada yang mati berminggu-minggu dan hanya disedari jiran apabila kotak surat apartmen individu berkenaan penuh sarat, atau bil elektrik dan air lama tidak berbayar.

Sudah tentu kerja pembersihan rumit kerana mayat sudah membusuk atau mereput. Tidak ramai sanggup melakukan tugas ini, namun oleh kerana upah lumayan iaitu hampir RM10,000 bagi satu mayat, masih ada yang sanggup menawarkan perkhidmatan pencucian untuk kes kodokushi.

Malah, sektor ini semakin berkembang kerana kes kodokushi bertambah dari tahun ke tahun. Pada 2017 sahaja, dianggarkan hampir 50,000 kes kodokushi berlaku di Jepun.

Faktor utama kodokushi ialah ramai orang Jepun tidak berkahwin atau tidak mempunyai anak. Sebagai contoh, pada 2017, kira-kira 25 peratus lelaki Jepun berusia 50 tahun tidak pernah mempunyai isteri. Kadar kelahiran di Jepun juga jatuh mendadak yang mana sekarang ini pada kadar 1.4 sahaja.

Faktor utama kos sara hidup yang tinggi, terutama kos kediaman dan pengangkutan. Penyebab utama kepada masalah kos sara hidup ialah sistem kewangan yang giat mencipta wang dengan banyak setiap kali individu, badan korporat atau Kerajaan Jepun meminjam daripada sektor ini.

Semakin berkembang sektor kewangan, semakin meningkat tahap permintaan. Oleh itu harga barang dan perkhidmatan juga akan naik. Malangnya, upah dan gaji tidak naik secepat harga barang.

Majikan menghadapi persaingan sengit, oleh itu menghadapi tekanan untuk menurunkan kos operasi, terutama kos upah. Inilah yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup di Jepun. Tidak hairanlah, semakin ramai rakyatnya tidak mampu berkahwin dan berkeluarga.

Masalah berkait akibat keadaan ini ialah bertambahnya jumlah orang tua berbanding orang muda di Jepun. Sekarang ini, 25 peratus penduduk Jepun berusia lebih 65 tahun. Kadar ini dianggar meningkat lebih 33 peratus menjelang 2050.

Akibatnya ekonomi Jepun berkemungkinan besar menghadapi krisis kerana jumlah tenaga kerja semakin hari semakin berkurangan.

Sudah tentu orang tua bukan sahaja tidak mampu bekerja, malah sering menghadapi masalah kesihatan dan memerlukan penjagaan. Namun kerana ketiadaan anak atau saudara mara, ramai terpaksa tinggal di hospital apabila tidak mampu berdikari.

Kerajaan Jepun tidak mampu menanggung kos menjaga mereka kerana hutang kerajaan paling tinggi berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu 250 peratus. Sebagai perbandingan, hutang kerajaan Malaysia RM800 bilion hanya 54 peratus daripada KDNK negara kita.

Masalah kewangan menyebabkan Jepun tidak sanggup membiayai perubatan untuk warga tua yang uzur sehinggakan beberapa tahun lalu, seorang menterinya tergamak menyeru orang yang sakit tua supaya tidak datang ke hospital, sebaliknya tinggal di rumah sehingga ajal tiba.

Walaupun sangat memeranjatkan dan seperti tidak berhati perut, beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan sebegitu kerana kerajaan Jepun menanggung beban hutang sangat serius.

Pakar ekonomi Jepun menyatakan negara itu sepatutnya meningkatkan kadar consumption tax atau cukai penggunaan daripada sembilan peratus sekarang kepada 15 peratus, jika serius untuk menyelesaikan masalah hutangnya.

Namun, langkah itu masih tidak dapat dilaksanakan kerana Jepun sangat bimbang kesan negatif ke atas ekonomi yang akan menguncup apabila rakyatnya keberatan berbelanja. Oleh itu, jumlah hutang terkumpul Jepun terus meningkat dari tahun ke tahun, tanpa sebarang penyelesaian.

Dalam erti kata lain, Jepun kini sangat tenat dari aspek ekonomi dan sosial. Proses pembangunan dan industrialisasi Jepun menyebabkan negara itu maju dari beberapa aspek, namun dalam keadaan teruk bagi kebanyakan aspek lain termasuk ekonomi dan sosial.

Masalah ekonomi dan sosial Jepun semakin serius boleh membuat rakyatnya ‘pupus’ sebelum muncul abad ke-22 atau mungkin dalam hanya beberapa dekad lagi.

Masyarakat dan pemimpin negara kita mesti mengkaji kedudukan Jepun lebih mendalam agar dasar dan kaedah pembangunan negara kita dapat digubal dengan betul, demi menjamin kesejahteraan yang lebih lestari untuk rakyat terutama sekali generasi akan datang.

Tindakan meniru dasar pembangunan Jepun secara total tanpa mengenal pasti dan memahami kelemahan pendekatan mereka, terutama dari aspek kebergantungan kepada industri hutang, akan mengakibatkan negara juga menghadapi masalah sama nanti.

Sekarang ini pun ada tanda negara kita menghadapi trend sama dengan Jepun. Sebagai contoh, kadar kelahiran di Malaysia jatuh dari enam pada 1960 kepada hanya 1.9 pada 2018.

Masalah kenaikan kos sara hidup semakin teruk, terutama sekali di bandar besar. Adakah kita juga mahu mengalami masalah kodokushi sebelum kita sedar mungkin Jepun bukan contoh terbaik.

Penulis adalah Profesor di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya

Berita Harian X