Rabu, 2 Oktober 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Menginspirasi akademia sebenar

Pada 5 Oktober Sabtu ini, Malaysia buat kali pertama akan merayakan Hari Akademia. Terima kasih kepada Kementerian Pendidikan (KPM) kerana menghargai kelompok kecil masyarakat madani yang jarang diberikan perhatian.

Sebelum ini, kita hanya merayakan Hari Guru. Istilah yang membawa maksud, pengajar di semua institusi pendidikan, iaitu sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi.

Siapakah ahli akademik? Kelompok ini sering digelar sebagai pensyarah dan mereka berperanan sebagai mengajar di universiti. Pada hakikatnya, ahli akademik memainkan peranan lebih luas daripada seorang guru.

Ahli akademik bukan sekadar guru, tetapi seorang mahaguru yang menyampaikan ilmu dan menginspirasi pelajar berasaskan bidang kepakaran masing-masing.

Lazimnya, ahli akademik juga menulis buku teks sebagai bahan rujukan pelajar yang mempunyai minat mendalami terhadap sesuatu ilmu khusus.

Mereka juga ialah penyelidik (sarjana), menjalankan penyelidikan di ufuk ilmu dan menerbitkan hasil penyelidikan dalam jurnal berimpak atau monograf penyelidikan.

Pada masa sama, mereka juga ialah intelek awam, menyampaikan pendapat dan pandangan kepada masyarakat melalui tulisan atau syarahan umum.

Ahli akademik ialah ilmuwan yang ditempatkan di sesebuah universiti yang memberikan khidmat kepada rakan kesepakaran, pelajar, pegawai agensi awam dan swasta, serta masyarakat awam.

Dalam urusan tradisi, ahli akademik dikawal oleh gagasan Wibawa, Integriti dan Profesionalisme (WIP) dan ditentukan oleh Nilai Teras Akademik, iaitu mencari kebenaran, mengejar kecemerlangan, berkongsi ilmu, menghormati kepelbagaian pendapat dan menjunjung etika akademik.

Dengan lain perkataan, institusi akademik matang tidak perlu dikawal dengan pelbagai bentuk indeks pencapaian utama (KPI) atau hasilan akademik yang bersifat kuantitatif. Sistem ‘semak dan imbang’ sudah terbina dalam dunia akademik melalui penilaian kesepakaran bagi menentukan sanjungan dan kenaikan pangkat.

Mencari dan menyampaikan kebenaran adalah asas dalam kerjaya akademik. Atas keperluan ini, ahli akademik perlu menjalankan penyelidikan secara berterusan, memantapkan kepakaran dan merujuk kepada dapatan kajian ahli akademik lain.

Dalam konteks menyampaikan kebenaran ini, mereka tidak perlu takut dan bersikap berat sebelah. Inilah maksud ‘kebebasan akademik’ yang selalu diperdebatkan dalam dunia akademik.

Mengejar kecemerlangan bermaksud sentiasa berada pada tahap sumbangan terbaik, dan mengatasi piawaian kerja semasa. Kualiti hasilan hari ini perlu lebih baik dari semalam, dan perlu terus dipertingkatkan untuk esok.

Cemerlang bererti terbaik pada saat ini, dan nilai kecemerlangan berbeza antara seorang akademik dengan akademik lain, atau antara ahli akademik muda dan yang matang.

Rakan kesepakaran mengetahui kualiti ahli akademik dalam kumpulannya, dan usaha bimbingan (mentoran) sentiasa diamalkan bagi memastikan tahap kecemerlangan terkawal dalam semua urusan syarahan dan penerbitan ilmiah.

Ilmu tidak mungkin boleh diterokai secara bersendirian. Jika beberapa ilmu baharu berjaya dikupas, masih banyak lagi yang perlu diterokai.

Dapatan ilmu yang terpisah-pisah perlu disatukan melalui ‘jaringan dan kerjasama akademik’. Setiap tahun, kelompok ahli akademik sepakar berjumpa dan membentangkan hasil kajian dalam seminar, persidangan dan simposium.

Begitu juga dengan menulis dalam jurnal sebidang, masing-masing belajar antara satu sama lain untuk memperluaskan ‘sampul ilmu’. Inilah maksud berkongsi ilmu.

Satu ciri asas dalam kerjaya akademik ialah menghormati kepelbagaian idea atau pendapat. Berasaskan dapatan kajian, setiap ahli akademik digalakkan berhujah dan menyatakan pandangan masing-masing. Walaupun kurang bersetuju, kita tidak perlu menyatakan ‘dapatan atau pandangan anda salah’.

Kita juga perlu berhujah berasaskan pendekatan dan hasilan penyelidikan. Dengan pertukaran pendapat secara membina, akhirnya kita akan semakin hampir kepada kebenaran. Tiada ruang bagi ahli akademik yang taasub dan tidak menghormati pandangan rakan lain.

Semua kerja akademik terikat dengan etika akademik. Etika akademik ialah prinsip atau pegangan yang lebih berat daripada peraturan dan garis panduan. Ia menentukan kewibawaan dan sanjungan dalam dunia akademik.

Antara etika yang penting ialah plagiat, memalsukan fakta dan berbohong. Institusi akademik terkemuka lazimnya mempunyai jawatankuasa etika yang sentiasa memerhatikan tingkah laku ahli akademiknya.

Hari ini, institusi pengajian tinggi sudah banyak berubah daripada tradisi keakademikan tradisi. Universiti sudah banyak dipengaruhi oleh dunia korporat. Kewibawaan akademik dan pengalaman tidak lagi diberikan keutamaan.

Kini, semua ditentukan oleh pengurus akademik yang mempertimbangkan pencapaian berasaskan kuantiti hasilan iaitu jumlah penerbitan dan rujukan, jumlah dana penyelidikan diraih, dan tahap kebolehpasaran pelajar.

Sempena sambutan Hari Akademia, marilah kita merenung kembali, apakah perubahan begini diperlukan, dan kita masih berada di atas landasan akademik yang direstui?

Penulis adalah Penyandang Kursi Iskandar Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berita Harian X