Khamis, 3 Oktober 2019 | 11:00am
- Gambar hiasan

Fleksibiliti kepemimpinan dalam era digital

Masyarakat pada masa ini hampir keseluruhannya tidak ketinggalan menyertai rangkaian dunia digital dalam pelbagai bentuk. Capaian media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan Instagram menjadi kemestian dalam kehidupan seharian.

Jaringan internet boleh didapati dengan mudah, sama ada dilanggan melalui telefon bimbit, di rumah atau di pejabat serta turut disediakan capaian internet percuma di tempat awam yang memudahkan akses kepada media sosial di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Menurut Global Digital Report 2019, Malaysia menduduki kelompok kelima tertinggi dunia dan tempat teratas di Asia Tenggara dalam penembusan media sosial mudah alih.

Turut dinyatakan penembusan internet di Malaysia kini pada tahap 80 peratus dengan pengguna menghabiskan purata lapan jam lima minit sehari dalam talian.

Interaksi sosial masyarakat kini mengalami fasa transformasi daripada berasaskan interaksi bersemuka manusia dengan manusia, kepada interaksi mesin dengan mesin berasaskan paksi digital. Maklumat diterima dan disebarkan dengan mudah.

Pelbagai bentuk perbincangan dan perdebatan boleh dilihat dalam media sosial pada masa kini. Pembabitan sosial dalam grup maya sama ada sesama keluarga, perkongsian hobi, jabatan dan pelbagai lagi menjadikan manusia lebih dekat antara satu sama lain di alam maya, walaupun ribuan batu jaraknya secara fizikal.

Menurut Heimans & Timms dalam buku berjudul New Power, dalam era hyper-connected yang bermaksud capaian kepada rangkaian digital yang meluas di mana sahaja dan pada bila-bila masa, individu lebih cenderung bekerja dalam keadaan tidak terlalu formal dan kebanyakan organisasi diperkukuhkan berasaskan jaringan dan keterbukaan.

Ini sekali gus mendorong pembabitan setiap ahli dalam organisasi untuk berkomunikasi dengan aktif di alam maya mengenai pelbagai urusan kerja tanpa mengira tempat dan masa.

Ia membantu meningkatkan potensi individu, sekali gus mempromosikan budaya kerja lebih terbuka. Perhubungan tanpa sempadan ini, membolehkan pekerja berhubung dengan pihak pengurusan sesebuah organisasi secara terus, contohnya melalui aplikasi WhatsApp, menghendaki kepada perubahan pendekatan kepemimpinan.

Ini sangat menarik dibincangkan dari sudut kepemimpinan. Dalam situasi ini, pendekatan kepemimpinan yang bersifat hierarki dan berstruktur, formal, berasaskan arahan dan tertutup perlu disesuaikan dan memerlukan transformasi.

Memandangkan generasi millenial masa kini adalah kelompok terkehadapan dalam dunia digital negara, maka pemimpin perlu mempunyai pendekatan kepemimpinan bersesuaian dengan masyarakat yang sudah hyper-connected melalui dunia digital.

Pendekatan kepemimpinan dalam era digital menjadi cabaran kepada pemimpin, yang mana ia memerlukan fleksibiliti antara pemimpin dan yang dipimpin. Pendekatan baharu perlu diadaptasi dalam organisasi untuk memastikan komunikasi dan segala urusan berlaku atas talian, terkawal dan tidak melampaui batas.

Pemimpin juga perlu memastikan ahli organisasi tidak terganggu dengan wujudnya capaian tanpa batasan kepada internet di tempat kerja. Pada masa sama, ahli organisasi perlu diberi kebebasan menggunakan teknologi untuk memastikan tugasan diberi dapat diselesaikan secara sempurna dengan menggunakan kemudahan teknologi yang ada.

Cabarannya di sini adalah memastikan bagaimana untuk mengawal dan pada masa sama menggalakkan penggunaan teknologi bagi memudahkan urusan seharian organisasi.

Pemimpin perlu kreatif dalam menangani hal ini seperti mewujudkan pengawalan atas talian supaya ahli organisasi maklum, bahawa mereka diawasi dan tidak melakukan perkara yang boleh memburukkan imej organisasi dan mengganggu produktiviti kerja.

Peringatan perlu diberi kepada ahli yang dipimpin agar sentiasa berfikir sebelum menekan butang send atau hantar bagi sesuatu mesej yang ingin disampaikan.

Penghantar mesej tidak lagi boleh bersembunyi di sebalik papan kekunci sebagai keyboard warrior kerana pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan mudah boleh mengesan.

Kemahiran insaniah (soft skills) adalah sifat peribadi yang merangkumi pelbagai kebolehan individu antaranya kemahiran berinteraksi, menguruskan maklumat, bekerja dalam kumpulan dan sebagainya.

Pada masa ini, kemahiran berkomunikasi dalam talian antara yang perlu dititikberatkan pemimpin bagi memastikan kepemimpinan lebih efektif. Pemimpin perlu melengkapkan diri dengan ilmu menyampaikan atau menulis mesej di media sosial yang jelas dan telus, serta berhati-hati agar tidak disalah erti.

Ini bagi memastikan pemimpin dapat menjaga imej dan reputasi sewaktu berkomunikasi dalam talian. Mesej disampaikan melalui media sosial semestinya tiada nada dan emosi, lantas membuka ruang luas untuk berlakunya salah faham dalam perbincangan.

Sesungguhnya cabaran terbesar kepada pemimpin masa kini ialah melengkapkan diri dengan kemahiran kontemporari sama ada melalui pembacaan, pemerhatian atau pengalaman, sekali gus menyesuaikannya dengan peredaran zaman.

Penulis adalah Ketua Kluster Organizational Dynamics di Pusat Penciptaan Nilai dan Kesejahteraan Insan (INSAN), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM

Berita Harian X